ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Archive for the ‘Cerita Sejarah’ Category

Bagaimanakah Corak Ekonomi Masyarakat Tradisional Bani Melayu Menghasilkan Sebuah Negara Yang Madani & Harmoni?

Posted by kurator on July 19, 2014

  Masyarakat Melayu merupakan suatu bangsa yang dahulunya amat terkenal sebagai bangsa yang hidup dalam keadaan yang aman lagi harmoni. Tanah Melayu pernah dikenali kitab-kitab Buddha Theravada sebagai Suvarnabhumi atau Lembah Emas. Claudius Ptolemy  turut menggelarkannya sebagai Chersonesus Aurea atau Semenanjung Emas disebabkan oleh kemakmurannya. Walaubagaimanapun, kemakmuran Tanah Melayu yang dikecapi ini bukanlah disebabkan oleh banyaknya galian emas dan perak yang dijumpai tetapi disebabkan oleh corak Ekonomi Bani Melayu itu sendiri.

Peta dari Inskripsi Claudius Ptolemy

Peta dari Inskripsi Claudius Ptolemy

Masyarakat Bani Melayu suatu masa dahulu telah mengamalkan sebuah sistem ekonomi yang terbaik pernah diamalkan di dunia. Sistem ekonomi yang digunapakai ialah masyarakat tradisional pada zaman dahulu ialah Sistem Gotong-Royong. Melalui sistem ini, masyarakat Bani Melayu telah mencapai keharmonian dan kemakmuran yang optimum. Melalui sistem ekonomi Gotong-Royong, banyak masalah berkaitan ekonomi berjaya diatasi.

Antara krisis ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini ialah masalah hartanah terutamanya membabitkan rumah kediaman. Rakyat Malaysia kini tidak lagi mampu memiliki rumah kediaman akibat inflasi yang menyebabkan kos pembelian rumah meningkat. Harga rumah yang melambung tinggi sehingga RM600,000 sekurang-kurangnya bagi sebuah rumah teres di Lembah Klang menyebabkan rakyat terbeban. Kadar pendapatan isi rumah yang semakin menguncup membuatkan rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Walau bagaimanapun,  masalah ini tidak pernah berlaku kepada masyarakat tradisional Melayu pada zaman dahulu. Ini kerana sistem ekonomi Gotong Royong telah banyak menyelesaikan isu perumahan. Sistem ini mengutamakan konsep permuafakatan, bantu-membantu dan saling lengkap-melengkapi.

Ianya dimulakan dengan proses musyawarah. Sekiranya seseorang ingin mendirikan sebuah rumah, perbincangan dan permuafakatan akan dijalankan di dalam sesebuah kampung. Ketua kampung biasanya akan menjadi rujukan dan pemberi kata putus. Masyarakat Melayu akan  berpegang kepada pepatah: ” Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat”. Apabila permuafakatan telah tercapai, pembahagian tugas pun dilaksanakan. Setelah itu, proses pembinaan rumah secara gotong-royong pun akan diadakan. Konsep ini juga disebut sebagai At-Takaful di dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam Al-Qur’an: “…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksaan-Nya.” (Al Maidah: 2)

Amalan Gotong Royong Membawa Berkat

Amalan Gotong Royong Membawa Berkat

Sistem ini juga digunapakai untuk pembinaan pusat-pusat komuniti seperti balairaya, masjid  serta kemudahan masyarakat yang lain seperti terusan, jambatan, jalan raya dan sebagainya. Terusan Wan Mat Saman merupakan suatu contoh bagaimana konsep Gotong-Royong berjaya membantu memakmurkan ekonomi masyarakat setempat dan menjimatkan kos yang memakan belanja yang besar. Perdana Menteri Kedah Wan Muhammad Saman telah membahagikan tugas membina terusan sepanjang 35 kilometer dari kaki Gunung Jerai hingga ke Tandop, Alor Setar kepada penduduk negeri Kedah. Seramai 5,000 orang terlibat membina terusan ini. Pembinaan dibina mengikut kampung yang terlibat dengan ketua kampung mengarahkan anak-anak buahnya memastikan projek berjalan lancar.

Terusan Wan  Mat Saman

Terusan Wan
Mat Saman

 

Sistem ekonomi Gotong-Royong ini sentiasa berkesinambungan dengan mengamalkan konsep Mengenang Budi. Masyarakat Bani Melayu amat sensitif dengan budi yang ditaburkan. Kerana itulah pepatah menyebut: ” Pisang emas dibawa berlayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati”. Apabila seseorang itu menerima bantuan, menjadi kewajipannya pula untuk menolong orang yang telah memberikannya bantuan sebelum ini. Amalan inilah yang menghidupkan sistem Gotong-Royong malahan merancakkan lagi ekonomi masyarakat. Apabila seseorang itu membantu membina rumah, dia pula akan membantu orang lain melakukan perkara yang sama.  Ia menghasilkan satu Vicious Cycle yang berulang. Perkara ini tidak terhad kepada membina rumah sahaja, malahan amalan ini juga digunakan untuk membuka kawasan pertanian, kawasan perladangan dan menuai hasil semaian. Pohon-pohon akan ditebang dan semak-samun ditebas bersama-sama, memugar tanah pertanian dilakukan beramai-ramai dan hasilnya dipungut dan dibahagikan sama-rata. Kerana itulah kemakmuran ekonomi dapat dicapai.

DSC09343

Masyarakat tradisional Melayu juga kreatif dalam mempelbagaikan sumber ekonomi.  Jika dilihat kepada pola pemakanan masyarakat tradisional Melayu, masyarakat tradisional Melayu merupakan antara bangsa yang mengamalkan gizi pemakanan seimbang. Manakan tidaknya, sumber alam yang melimpah ruah menjadikan masyarakat tradisional Melayu bijak menggunakan peluang dan sumber yang dikurniakan Tuhan.  

Pepatah Melayu mengatakan: “Berjagung-jagunglah dahulu sementara menantikan padi masak”

Pepatah ini mengajarkan masyarakat tradisional Melayu agar memperbanyakkan kegiatan ekonomi dan jangan hanya memfokuskan pendapatan hanya daripada satu sumber sahaja. Sebagai contoh, di samping menanam padi dan berhuma, penanaman tumbuhan lain seperti ubi, jagung, pisang, rambutan, kelapa, duku, langsat, durian, cempedak, nangka dan lain-lain amat digalakkan. Masyarakat Melayu juga biasanya menanam tumbuh-tumbuhan berkhasiat seperti pegaga, halia, lengkuas, kunyit dan sebagainya. Mereka juga masing-masing biasanya menternak ayam, itik, lembu dan kambing.

Bani Melayu juga kreatif memburu hidupan liar seperti landak, rusa, kijang, ayam hutan dan menjerat burung. Mereka juga turut memancing dan memasang lukah di sungai-sungai dan lautan untuk menangkap ikan dan pelbagai hasil tangkapan lain seperti udang, sotong, siput, ketam dan sebagainya. Kerana itulah, Bani Melayu mempunyai pelbagai petua yang diamalkan hasil kajian ilmu Alam dan pemerhatian mereka yang mendalam.

Sebagai contoh, aktiviti memancing udang galah tidak digalakkan ketika air pasang dan cuaca dengan hujan yang turun lebat.  Waktu terbaik memancing udang galah ialah pada saat kemarau dan air surut. Waktu udang galah sangat agresif ialah pada malam hari. Habitat biasa bagi udang ialah di antara longgokan kayu yang terendam di sungai. Selain itu Udang galah juga sering bermain-main di dasar sungai.

 Mereka juga memerhatikan beberapa faktor untuk membantu aktiviti memancing seperti:
1. Mengenali  struktur dasar sungai tempat  memancing. Selalunya dasar sungai berbentuk liku liku dan beralun-alun.
 2. Pada sungai lazimnya aliran air agak perlahan atau alirannya tidak terlalu deras.
3. Pada arus deras menandakan kawasan tersebut lebih dalam, manakala aliran perlahan pula adalah sebaliknya.

43641314 

Keakraban Bani Melayu dengan alam dengan mengkaji faktor ekologi, geografi, metereologi dan zoologi inilah yang membantu mereka dari segi ekonomi dan menjadikan mereka hidup sejahtera. Gizi makanan mereka juga seimbang mencakupi sumber karbohidrat, protein, vitamin, mineral yang lengkap.

Oleh sebab itu, bolehlah disimpulkan bahawa Bani Melayu antara bangsa yang amat rajin. Kebiasannya, seorang lelaki Melayu dewasa perlu sekurang-kurangnya mahir dalam mengetahui ilmu pertukangan, pertanian, perikanan, pemburuan, penternakan serta ilmu Alam. Kaum ibu pula biasanya mahir memasak, menjahit, bertani, mengawet makanan seperti menghasilkan ikan kering, pekasam serta pelbagai lagi kemahiran untuk kemandirian hidup dan menambah pendapatan. Ini merupakan suatu bukti bahawa Bani Melayu bukanlah suatu bangsa yang pemalas. Sesetengah pihak mengatakan bahawa orang Melayu dalam dilema kerana mereka secara tradisinya adalah pemalas adalah satu gambaran yang salah dan jelek untuk merendah-rendahkan Bangsa Melayu.  Corak ekonomi masyarakat Melayu tradisional membuktikan masyarakat Melayu pada zaman dahulu hidup selesa lagi sejahtera dan mereka tidak pernah berada dalam dilema. 

Kelebihan Bani Melayu Tradisional yang paling utama ialah mereka mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan. Mereka bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan walaupun ia sedikit cuma. Bani Melayu Tradisional tidak suka bermewah-mewah atau bermegah-megah. Ini dapat dilihat dari struktur binaan rumah yang berasaskan pokok kayu yang mudah diperolehi dan menggunakan bahan binaan yang semulajadi seperti daun nipah, daun rumbia, buluh dan rotan. Bani Melayu Tradisional juga jarang membina mahligai agam yang besar atau mengumpul bahan galian seperti emas, perak atau berlian seperti sesetengah kaum yang lain. Gaya hidup ringkas mereka menjadikan mereka bebas daripada perasaan tamak haloba, dengki-mendengki, khianat apatah lagi mempunyai nafsu untuk menjajah atau menindas bangsa lain.

Rumah tradisional Melayu

Rumah tradisional Melayu

Sistem Ekonomi Gotong -Royong dan Berkemahiran Mempelbagaikan Sumber Pendapatan menyebabkan masyarakat Bani Melayu Tradisional tidak memerlukan mata wang untuk meneruskan kehidupan. Mereka sejahtera dan harmoni dengan cara hidup mereka yang bebas daripada cengkaman hutang-piutang  dan tidak perlu bergantung kepada bank atau institusi kewangan untuk memenuhi keperluan hidup. Tidak seperti masyarakat moden, mereka hidup secara individualistik dan terpaksa berhutang kepada institusi kewangan demi memenuhi keperluan kehidupan menyebabkan ramai yang sengsara dan menderita. Tanah Melayu sejahtera dan kaya-raya bukanlah disebabkan bahan-bahan galian tetapi gaya hidup dan sistem ekonomi tradisionallah yang membantu kerukunan mereka. Sifat ekonomi tradisional Bani Melayu  juga amat jauh daripada sistem ekonomi kapitalis yang tamak haloba dengan mempergunakan sumber semaksimum mungkin untuk menjana kepentingan individu. Sistem kapitalis inilah yang banyak membuatkan dunia ini sengsara dengan hanya segelintir individu mengaut keuntungan dan sistem kapitalis jugalah yang merancakkan budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam masyarakat.

Contoh bagaimana sistem kapitalis yang gilakan keuntungan merosakkan masyarakat

Contoh bagaimana sistem kapitalis yang gilakan keuntungan merosakkan masyarakat

Malangnya hari ini, bangsa Melayu menjadi suatu bangsa yang lemah akibat mereka mengabaikan Sistem Ekonomi Gotong-Royong.  Mereka membiarkan hidup mereka dikuasai sistem ekonomi kapitalis yang menjerat diri mereka sendiri lalu mebuatkan mereka lupa peranan masing-masing dalam membina komuniti yang madani. Walaupun hasil galian yang ditemui di Malaysia semakin banyak seperti emas, perak dan petroleum, tetapi Bani Melayu di Malaysia menjadi semakin miskin dan terhimpit. Mereka lupa bahawa sistem Gotong-Royong yang diamalkan oleh nenek moyang merekalah yang mandatangkan keberkatan lalu menjadikan Tanah Melayu ini kaya-raya sebenarnya, bukanlah bahan-bahan galian yang dijumpai. Bahan-bahan galian ini menjadikan sesetengah mereka semakin tamak hingga menindas golongan yang lain. Mereka juga tidak betah untuk hidup berdikari tetapi hanya mengharapkan bantuan kerajaan.

Pada kurun ke-21 ini, masyarakat yang masih mengamalkan sistem ekonomi tradisional hanyalah Bangsa Amish ( sekumpulan Kristian Protestan dikenali sebagai Anabaptist) yang berasal dari Switzerland. Bangsa Amish dipercayai wujud pada tahun 1693 dan mereka berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1727. Kebanyakannya menetap di Pennsylvania dan Lancaster County.

 

Bangsa Amish tegar mengamalkan cara hidup kurun ke-17 walaupun hidup di kurun ke-21

Bangsa Amish tegar mengamalkan cara hidup kurun ke-17 walaupun hidup di kurun ke-21

Sekalipun mereka hidup secara ortodoks,  beberapa kajian yang dijalankan mengenai bangsa Amish berkaitan ekonomi menghasilkan penemuan  yang amat mengejutkan. Menurut kajian Erik Wesner dari AmishAmerica.com, ramai golongan Amish berjaya dalam perniagaan serta tidak menghairankan jika ramai daripada  mereka bergelar jutawan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka berpendapatan tinggi, antaranya:

1. Mereka mementingkan gotong-royong dan kerjasama dalam masyarakat – Seperti amalan masyarakat Melayu, kaum Amish mementingkan kerjasama dan bantu-membantu. Apabila ada pasangan  yang muda ingin berkahwin, ahli keluarga akan menyediakan tapak untuk membina rumah serta mengumpulkan wang  untuk membeli bahan-bahan binaan. Selepas itu, mereka akan brgotong-royong untuk membina rumah untuk pasangan tersebut. Melalui kaedah ini, mereka tidak perlu berhutang untuk membiyai keperluan perumahan mereka. 

Bangsa Amish bergotong-royong membina rumah

Bangsa Amish bergotong-royong membina rumah

2. Mereka menanam sendiri keperluan makanan harian mereka. Mereka bercucuk tanam, bertani, menternak dan bertukang untuk kemandirian hidup.  Mereka juga menjual hasil-hasil tanaman dan ternakan mereka dan menjana pendapatan lumayan. Kerana mereka menternak secara organik, kebanyakan mereka hidup sihat dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. 

3. Mereka tidak terpengaruh dengan jenama dan hanya membeli barang keperluan yang penting. Mereka tidak membazirkan wang untuk hiburan atau keseronokan. Kadangkala mereka membeli barangan terpakai yang lebih murah.

4. Disebabkan mereka tidak dibenarkan membeli kereta moden, mereka hanya menggunakan pedati kuda untuk pengangkutan dan pertanian. Mereka juga hanya menggunakan eletrik untuk keperluan yang minimum dan tidak dibenarkan membeli peralatan elektronik yang mahal seperti televisyen, telefon dan komputer. Jadi mereka boleh menjimatkan wang yang banyak.

Kaum Amish menggunakan haiwan ternakan untuk bertani. Ini dapat mengelakkan penemaran daripada petrol dan gasolin.

Kaum Amish menggunakan haiwan ternakan untuk bertani. Ini dapat mengelakkan pencemaran daripada petrol dan gasolin.

5.  Golongan Amish ialah antara yang mempunyai simpanan kewangan yang tinggi. Mereka menyimpan sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan, berbanding 6% bagi kebanyakan rakyat Amerika yang lain.

6. Golongan Amish tidak suka berhutang. Jika mereka berhutang sekalipun hanya dalam keadaan terdesak dan mereka akan segera melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin. Berbanding rakyat Amerika yang lain, kebiasaannya mempunyai 3 atau 4 kad kredit setiap seorang dengan hutang  purata US 16,000 seorang.

7. Mereka tidak suka membazir dan suka mengitar semula setiap bahan yang berlebihan. Mereka kekal mengamalkan hidup yang sederhana.  Mereka tidk makan di rangkaian restoran makanan segera atau berbelanja di butik yang mahal mahupun minum di kedai kopi moden yang menghidangkan kopi biasa tetapi harganya terlajak mahal. 

8. Golongan Amish biasanya akan menyumbang semula kekayaan mereka kepada masyarakat. Kebiasaannya, komuniti Amish akan menggunakan wang yang dikumpulkan bagi menyediakan kemudahan pinjaman kewangan bagi golongan muda untuk keperluan hidup dan memulakan perniagaan. Kadar faedah yang dikenakan juga rendah.  Melalui program ini, mereka dapat berbakti dan membantu golongan yang memerlukan.

Jika dilihat dari pelbagai sudut, gaya hidup masyarakat Amish tidak banyak bezanya dengan masyarakat Melayu Tradisional. Namun Bangsa Amish berjaya mengekalkan jati diri mereka sekalipun mereka diasak kemodenan manakala Bani Melayu tewas dalam mengekalkan gaya hidup mereka bahkan mereka telah hanyut dibawa arus kemodenan dan telah lama meninggalkan ajaran nenek moyang mereka.

Kesimpulannya, bolehlah dirumuskan bahawa Corak Ekonomi Masyarakat Melayu Tradisional yang berdasarkan 3 konsep utama iaitu: Gotong-Royong, Mempelbagaikan Sumber Pendapatan dan Kesederhanaan ialah rahsia yang menyebabkan Masyarakat Melayu Tradisional hidup selesa dan sejahtera lalu melahirkan sebuah negara yang madani lagi harmoni. 3 konsep utama inilah yang menjadi rahsia kemakmuran ekonomi Tanah Melayu sekalipun tanpa kewujudan bahan-bahan galian seperti emas, perak, berlian atau petroleum. Ia juga menjadi bukti bahawa kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa, bukannya pada banyaknya harta yang dimiliki.

~RAZI AHMAD~

Posted in Cerita Pengetahuan Am, Cerita Sejarah | Leave a Comment »

Peristiwa-Peristiwa Konspirasi Politik di Malaysia

Posted by kurator on March 3, 2013

Di dalam dunia ini, terdapat pelbagai peristiwa yang berlaku yang sukar untuk dijelaskan apakah motif kejadiannya, siapakah yang perancang utama, siapakah pula yang mendapat manfaat (qui bono?) hasil daripada peristiwa tersebut.

Sebagai contoh, peristiwa Serangan Pearl Harbour, Pembunuhan Abraham Lincoln/ John F. Kennedy/ Malcolm X/ Martin Luther King / Lady Diana, Tragedi Holocaust, Pengeboman Pesawat Pan Am 103, Serangan Pesawat 9/11, Perang Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq, Penyebaran Penyakit HIV/AIDS/Influenza sebagai Biological Weapons dan banyak lagi merupakan peristiwa yang gagal dijelaskan serta masih lagi menimbulkan teka-teki. Apatah lagi, peristiwa-peristiwa ini dimanipulasikan oleh media dan pihak berkuasa untuk mengawal minda masyarakat serta menimbulkan rasa takut dan terancam malahan mendapat keuntungan hasil daripada peristiwa-peristiwa tersebut.

Di Malaysia juga terdapat kejadian-kejadian yang menimbulkan banyak persoalan sehingga kita tertanya-tanya adakah ini merupakan suatu konspirasi politik yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu demi mengaut laba keuntungan walaupun terpaksa menyebabkan nyawa terkorban:

1. Serangan Rumah Pasong Bukit Kepong

bm110908mat_indera Peristiwa yang berlaku tanggal 23 Februari 1950 ini seringkali diangkat sebagai peristiwa membangkitkan patriotisme rakyat serta menjadi alasan menanamkan kebencian rakyat terhadap komunism. Hakikatnya, pada waktu itu, polis-polis Tanah Melayu berkhidmat dan menumpahkan taat setia kepada kerajaan British dan Queen Elizabeth (sebagaimana dinukilkan SN Usman Awang malalui pengalamannya sebagai mata-mata dalam novel Tulang-Tulang Berserakan). Pihak Polis hanya mendapat gelaran DiRaja pada tahun 1958.

Rumah Pasong Bukit Kepong pula merupakan gudang senjata penjajah British di selatan Tanah Melayu. Ketua Balainya, Raymond Dancey, merupakan pegawai British yang pernah berkhidmat di bawah British Mandate for Palestine yang membentuk negara haram Israel dan membunuh rakyat Palestine pada 1948 bersama-sama Sir Henry Gurney.

Ustaz Mat Indera yang mengetuai serangan ini merupakan seorang guru agama di Parit Setongkat, Muar. Beliau seorang hafiz al-quran, gemar bernasyid, berkasidah dan berzanji. Antara gurunya Kiayi Haji Fazil Bentan yang menjadi salah seorang  penasihat DYMM Sultan Ibrahim. Beliau dikurniakan butang perak oleh Istana Johor kerana pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama Johor.

Mat Indera juga pernah dipenjarakan kerana membela kepentingan kaum buruh. Beliau melibatkan diri  dalam politik dengan tujuan memerdekakan tahahair daripada penjajahan inggeris dan  menjadi ahli sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Mohammad, dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API).

Kerana tentangan berterusan oleh golongan Pembebasan Rakyat Malaya (KMM, PKMM, PKM, API, AWAS dan Hisbul Muslimin) , British terpaksa mengisytiharkan darurat pada 1948 dan kesemua parti politik diharamkan kecuali parti politik yang mesra dengan penjajah British. Kemuncak ancaman (1948-1960) memaksa British membawa dan melatih 500,000 tentera dari Ghana, Kenya, Fiji, Nepal dan  anak tempatan sebagai polis upahan.

Serangan ke atas Rumah Pasong ini ditujukan untuk menumpaskan Raymond Dancey, malangnya Raymond Dancey tidak berada di Bukit Kepong sewaktu peristiwa itu berlaku. Sebaliknya serangan terhadap Rumah Pasung terpaksa dilancarkan kerana pihak polis enggan menyerah diri dan membuang senjata walaupun berkali-kali diminta oleh Mat Indera. Pertempuran meletus kerana Mata-Mata Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak seorang anggota komunis yang sedang memotong kawat duri.

Ustaz Mat Indera mencuba pelbagai cara untuk meminta pihak polis menyerah seperti meminta isteri-isteri polis iaitu Mariam dan Fatimah Yaaba untuk memujuk pihak polis menyerah. Malangnya, polis enggan menyerah dan meneruskan penentangan sehinggalah akhirnya 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban.

Pihak British berjaya memanipulasikan peristiwa ini sepenuhnya  untuk menyemarakkan kebencian rakyat terhadap komunis dan menekan perjuangan Pembebasan Rakyat Malaya. Walau bagaimapun, buku Pengukir Nama Johor terbitan Yayasan Warisan Johor mengangkat Ustaz Mat Indera sebagai seorang pejuang.

Yang menjadi persoalan: Adakah pihak British awal-awal lagi telah sedia maklum bahawa serangan ini akan berlaku lalu Raymond Dancey mengambil keputusan untuk keluar dari Bukit Kepong? Mengapa Rumah Pasong ini dijadikan lokasi gudang simpanan senjata sedangkan kedudukannya terpencil & mengalami kesukaran sistem perhubungan? Ke manakah hilangnya askar-askar upahan dari Ghana dan Fiji yang sering mengganggu penduduk kampung sewaktu serangan itu? Mengapa polis mengalami kekurangan senjata sedangkan Rumah Pasong itu adalah gudang senjata? Ke manakah senjata-senjata itu menghilang?

Read the rest of this entry »

Posted in Cerita Gempar, Cerita Sejarah | Leave a Comment »

10 Universiti Tertua Di Dunia

Posted by kurator on February 20, 2013

Berikut adalah nama-nama universiti tertua di dunia  yang disenaraikan oleh Collegestats.Org mengikut piawaian yang ditetapkan oleh UNESCO. Ia mengambil kira tarikh pembinaan, proses pengajian dan pengijazahan yang berterusan serta kemandirian institusi itu dari awal penubuhan hingga kini. Terdapat juga beberapa institusi pengajian yang dibina lebih awal tetapi kebanyakannya musnah dan sudah pun hilang dari sejarah, tidak seperti universiti-universiti ini:

1. Universiti Al-Qaraouine: Terletak di Fes, Morocco, universiti ini asalnya sebuah masjid yang dibina oleh seorang wanita, Fatimah al-Fihri yang mahu membangunkan sebuah tempat beribadah untuk komunitinya pada tahun 859. Ia berkembang menjadi institusi yang bukan setakat menawarkan pengajian teologi malah turut menawarkan pengajian dalam bidang sains, matematik, perubatan dan astrologi. Universiti ini diiktiraf oleh Guiness Book of World Records sebagai Universiti Tertua di Dunia yang masih wujud dan kekal berterusan menawarkan pengijazahan.images

2. Universiti Al-Azhar : Universiti di Mesir ini dibina pada tahun 970-972 yang berasal daripada sebuah madrasah yang merupakan pusat untuk pengajian sastera Arab dan pengajian dalam bidang teologi. Ia memberikan perhatian dalam bidang keagamaan yang menumpukan tentang Al-Qur’an dan falsafah ajaran Nabi Muhammad SAW. Dibina pada era Dinasti Fatimiyyah oleh Komander Jawhar atas arahan Khalifah Al-Muiz Al-Ismaili. Bermula dengan pengajian undang-undang Islam, falsafah, sastera Arab, astronomi, logika, retorika, ia terus berkembang dan turut menawarkan pengajian dalam semua bidang sains moden. 6004

3. Universiti An-Nizamiyya: Universiti ini adalah satu daripada universiti yang didirikan oleh Khwaja Nizam Al-Mulk pada abad 11 di Iran. Daripada beberapa cawangan, yang paling terkenal dari semua Universiti Nizamiyyah adalah Al-Nizamiyyah di Baghdad, didirikan pada 1065 di Dhu’l Qa’da dan beroperasi di Isfahan. Cawangan yang lain terletak di Nishapur, Amul, Mosul, Herat, Damascus dan Basrah.  Ia menjadi model kepada institusi pengajian tinggi kontemporari di serata dunia dan Khalifah Al-Mulk menjadi tokoh yang memperkenalkan era baru keilmuan. Khwaja Nizam al-Mulk turut melantik ahli falsafah dan teologi, Al-Ghazali, sebagai seorang profesor. Penyair Farsi Sa’diadalah seorang pelajar Nizamiyyah Baghdad. Nizam ul-Mulk akhirnya dibunuh dalam perjalan dari Esfahan ke Baghdad pada tahun 1092. Menurut pelbagai buku, dia dibunuh oleh seorang ahli Hashashin, sekumpulan mazhab Ismailiyyah dari Syria.Baghdad-University

4.Universiti Bologna: Institusi ini adalah pusat pengajian tinggi pertama yang didirikan di dunia Eropah pada tahun 1088, di Bologna, Italia. Perkataan Universiti juga diambil bersempena penubuhannya (universitas magistrorum et scholarium, komuniti para guru dan cendekiawan). Terletak di Bologna, Itali, ia menjadi universiti terhebat di Eropah sehingga  tercetusnya perang dunia kedua. Pengaruhnya juga besar hingga pada masa itu, para pemimpin meminta pihak universiti untuk menjalinkan hubungan dengan institusi-institusi di negara yang lebih maju untuk memperkuatkan falsafah masing-masing dalam bidang  pendidikan. Hingga saat ini, Universiti Bologna masih dianggap sebagai salah satu universiti yang maju dalam hal sistem pendidikan di Eropah. images

5. Universiti Paris: Pengasas sebenar universiti ini adalah tidak jelas, bagaimanapun, pengajaran dari universiti ini wujud sejak 1096. Universiti telah disusun semula sebagai 13 universiti autonomi pada tahun 1970. Sering dirujuk sebagai Sorbonne selepas College de Sorbonne (diasaskan kira-kira 1257), institut ini membesar di bahagian akhir abad ke-12 sekitar Cathedral Notre Dame sebagai institusi yang tertumpu kepada bidang seni, perubatan, undang-undang dan teologi. Ia hanya pernah ditutup selama tiga kali, Kali pertama pada tahun 1229, dan kedua adalah disebabkan oleh pencerobohan oleh tentera Jerman tahun 1940. Pada tahun 1968 revolusi kebudayaan yang dikenali sebagai “Bulan Mei Perancis” mengakibatkan penutupan universiti untuk kali ketiga dalam sejarah.

601px-Sorbonne-saint-jacques

6. Universiti Oxford: Seperti Universiti Paris, tarikh sebenar penubuhan universiti ini adalah tidak jelas. Tarikh penubuhan rasmi, bagaimanapun, adalah 1096 – walaupun aktiviti pengajiannya bermula lebih awal daripada tarikh ini. Institut ini dibangunkan dengan pesat dari 1167, apabila Henry II melarang pelajar Inggeris dari belajar di University of Paris. Institusi ini pernah ditutup sementara sebanyak dua kali, sekali pada tahun 1209 apabila dua cendekiawannya  dihukum dan diusir mengakibatkan pemberontakan serta pada tahun 1355 kerana  rusuhan St Scholastica

download

7. Universiti Montpelier: Terletak di Montpelier, Perancis, universiti ini juga adalah jauh lebih tua daripada tarikh penubuhannya 1150. Satu arahan yang dikeluarkan oleh Pope Nicholas IV di 1289 agar digabungkan semua sekolah lama ada ke satu universiti utama. Universiti ini telah ditindas semasa Revolusi Perancis 1793, tetapi fakulti sains dan surat telah ditubuhkan semula pada tahun 1810, undang-undang pada tahun 1880. Universiti ini, dalam semangat modernisme, “diasaskan semula” pada tahun 1969. Fokus moden adalah dalam bidang sains dan teknologi.Montpellier_2_University_1

8.University Cambridge: Dikenali sebagai universiti kedua tertua di dunia berbahasa Inggeris, universiti ini telah dibentuk oleh cendekiawan yang meninggalkan Universiti Oxford atas pertikaian pada tahun 1209. Kerana itulah dua institusi itu saling bermusuhan dan mempunyai sejarah persaingan yang berpanjangan antara mereka. Pada masa ini, Cambridge disenaraikan sebagai salah satu daripada lima universiti terbaik di dunia dan merupakan sebuah universiti terulung terkemuka di Eropah. Sehingga 2009, 85 alumni dari universiti ini terpilih sebagai pemenang Anugerah Nobel. Cambridge kini terdiri daripada 31 kolej yang terdiri daripada lebih 150 jabatan, fakulti, sekolah dan institusi lain.

images (1)

9.University Salamanca: Terletak di Salamanca, Sepanyol, sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1218 dan mendapat gelaran “universiti” oleh Pope Alexander IV dalam 1225. Sekolah asalnya ditubuhkan oleh Leonese Raja Alfonso IX untuk membenarkan orang Leonese belajar di Salamnca sebagai kemudahan dan tidak perlu lagi mengembara ke Castile yang lebih jauh untuk menuntut ilmu. Antara saat bersejarah universiti ini adalah apabila Columbus berunding dengan cendekiawan institut ini dalam mencari laluan barat ke Hindia. Hari ini, Salamanca kekal universiti pilihan bagi pelajar Sepanyol yang mahu memberi tumpuan ke atas kemanusiaan dan kajian bahasa.

800px-University_of_Salamanca_Fray_Luis_de_Leon

10. Universiti Padua: Ini adalah universiti kedua tertua di Itali, ketinggalan Universiti Bologna. Universiti ini diasaskan pada 1222 apabila kumpulan pelajar dan profesor meninggalkan Universiti Bologna dalam mencari lebih banyak kebebasan akademik. Antara kemegahan pencapaiannya adalah teater anatomi, yang ditubuhkan pada 1595, yang menarik artis dan saintis mengkaji badan manusia. Taman-taman dan muzium telah dibina pada tahun 1545, dan kekal sebagai bukti untuk memberi tumpuan kepada botani dan sejarah. Pada tahun 2003, universiti ini mempunyai kira-kira 65.000 pelajar. Galileo pernah mengajar di sani pada awal 1600.

University_of_Padua

Di bawah pula adalah senarai universiti tertua di dunia yang pernah disiarkan oleh Wikipedia suatu ketika dahulu tetapi data-data ini telah dipadam. Ini kerana pihak Wikipedia telah mengubah standard sesebuah universiti itu dan hanya mengiktiraf Universiti Era Pertengahan (Medieval Universities) dan enggan mengiktiraf institusi dari era Greek, Rom, Byzantium, Dinasti Cina, India mahupun Arab atas alasan perbezaan budaya, sejarah dan struktur pentadbiran institusi pengajian tinggi Eropah di Era Pertengahan (Medieval Ages)

Read the rest of this entry »

Posted in Cerita Sejarah | Leave a Comment »

Kisah Hang Nadim : Pengkhianatan Terhadap Pejuang Rakyat Dalam Sejarah Melayu (2)

Posted by kurator on February 19, 2013

Hang Nadim adalah seorang kanak-kanak lelaki Melayu yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam usaha untuk menyelamatkan  Temasek (Singapura) daripada serangan sekumpulan besar ikan todak (spearfish)dalam cerita lagenda Melayu Singapura Dilanggar Todak. Ada kisah yang menyebut bahawa sebenarnya Hang Jebat telah bernikah dengan Dang Wangi dan semasa Hang Jebat terbunuh, Dang Wangi sedang hamil anak Hang Jebat iaitu Hang Nadim.

 

Hang Nadim Pahlawan Kecil

Hang Nadim Pahlawan Kecil

 

Mengikut hikayat, pada suatu ketika, ikan todak telah menyerang kebanyakan masyarakat Melayu Asli yang tinggal di sekitar perairan pantai Tanjong Pagar sehinggakan ramai masyarakat Melayu Asli tersebut telah menemui ajalnya akibat dari serangan Ikan Todak yang bertubi-tubi.

Serangan Ikan Todak ini dikatakan mula berpunca daripada tindakan Sri Maharaja yang telah menghukum bunuh Tun Jana Khatib (merupakan seorang alim dan warak dalam menyampaikan ajaran Islam di bumi Temasek, namun tindakan dakwahnya itu ditolak oleh Sri Maharaja dan penduduk kampung).

Akibat angka korban nyawa yang semakin meningkat akibat serangan Ikan todak, maka Hang Nadim yang masih kecil itu telah mengesyorkan kepada pemerintah Temasek ketika itu untuk membina sebuah tembok panjang dan tebal berasaskan batang pisang mengelilingi pantai yang bertindak sebagai penghadang daripada serangan ikan todak. Syor Hang Nadim itu diterima baik, lalu kerja-kerja pembinaan diusahakan, hasilnya tuntas dan berjaya. Banyak ikan todak telah tersangkut muncungnya pada batang-batang pisang.

Berdasarkan lagenda, Tanjong Pagar, Singapura merupakan tempat di mana berlakunya kisah serangan dan penyelamatan tersebut. Perkataan pagar diambil sempena kisah pembinaan pagar tembok daripada batang pisang untuk melawan serangan ikan todak.

Atas kejayaan yang memberansangkan, Hang Nadim telah diberi pujian dan penghargaan oleh masyarakat Tanjung Pagar dan rakyat Temasek. Hang Nadim juga telah diberikan pingat jasa bakti tertinggi daripada Mahkamah DiRaja atas hasil ideanya yang bernas itu.

Hal ini telah membuatkan segelintir ahli tertinggi Mahkamah DiRaja yang lain berasa iri hati dan tidak puas hati dengan penghargaan yang diperolehi oleh Hang Nadim. Pantang orang Melayu melihat orang lain mendapat kurniaan dan nikmat tanpa ada sekelumit pun perasaan dengki dalam hati. Orang Melayu banyak yang busuk dan kotor hatinya. Maka mereka telah bersepakat untuk berkonspirasi menghapuskan Hang Nadim.

Mereka telah menghasut Sultan supaya  membunuh Hang Nadim. Mereka mengatakan pada Sultan jika pada waktu kecil lagi sudah bijaksana dan disanjung rakyat, sudah pasti apabila dewasa kelak Hang Nadim akan merampas takhta. Sultan Melayu juga kebiasaan dan adatnya pendek akal lalu takutlah Sultan akan Hang Nadim yang baru berusia tujuh tahun itu. Keluarlah perintah agar membunuh Hang Nadim yang tidak berdosa dengan cara membuangnya ke dalam laut dan dibiarkan Hang Nadim mati lemas. Akhirnya Hang Nadim telah menemui ajalnya di dalam laut akibat pengkhianatan dan dengki orang Melayu. Kerana itulah orang Melayu sukar untuk maju kerana dalam budaya Melayu, golongan cerdik pandai biasanya dicantas dan selalu disingkirkan. Tinggallah golongan bodoh sombong menjadi penguasa.

Posted in Cerita Kritis, Cerita Sejarah | Leave a Comment »

Kisah Hang Jebat : Pengkhianatan Terhadap Pejuang Rakyat Dalam Sejarah Melayu (1)

Posted by kurator on February 11, 2013

Setiap perjuangan itu pasti akan menuntut pengorbanan.

Kemenangan dalam perjuangan memerlukan kita memeras keringat, air mata dan darah.

Malah, kita juga tidak dapat lari daripada dikhianati dan ditikam oleh sahabat sendiri di dalam perjuangan.

Makam Hang Jebat

Makam Hang Jebat

 

Kisah epik ini lekat di dalam ingatan setiap umat Melayu. Malangnya Hang Jebat dilabelkan sebagai penderhaka dan pemberontak di dalam kisah ini. Hakikatnya, Hang Jebat hanyalah seorang pejuang tulen yang ingin menuntut bela atas kematian sahabatnya, Hang Tuah.

Hang Tuah yang sering digambarkan sebagai hero alam Melayu sebenarnya merupakan lambang kepada jiwa yang suka diperhambakan malah tidak keterlaluan jika kita sifatkan sebagai seorang kaki bodek yang tulen. Manakan tidak, Hang Tuah sentiasa membuta tuli menurut arahan Sultan walaupun arahan itu bertentangan dengan agama dan etika.

Read the rest of this entry »

Posted in Cerita Kritis, Cerita Sejarah, Cerita Tragedi | Leave a Comment »

Cerita Botak Chin : Menteri Belajar Dari Si Pencuri.

Posted by kurator on October 21, 2012

Sayyidina Ali K.W pernah berkata: ” Lihat kepada hikmah yang diperkatakan, usah melihat kepada siapa yang mengatakannya”

Hikmah dan kebenaran itu ada di mana-mana sahaja. Ia merupakan permata orang mukmin yang hilang yang perlu dikutip. Mungkin ia boleh datang daripada orang yang paling kita benci. Oleh itu, usahlah bersikap double standard dalam mencari kebenaran.

Kisah Tan Sri Sanusi Junid bertemu Botak Chin amat menarik untuk dikongsi. Kisah seorang menteri yang mendapat pengajaran daripada seorang penjenayah yang amat digeruni.

Jobless Cinese

Dalam tahun 60′ -70′ an,  Malaysia digegarkan dengan pelbagai kes rompakan senjata api dan samun melibatkan jutaan ringgit oleh kumpulan gangster cina yang bermaharajalela di Kuala Lumpur.

Ketuanya Wong Swee Chin yang digelar Botak Chin (‘Bo = tiada, Tak = Kerja, Chin= Orang Cina’ ).

Cubaan demi cubaan pihak polis untuk memberkasnya gagal. Dikatakan Botak Chin kebal dan tidak lut senjata. Bahkan Botak Chin mendapat bantuan dan pertolongan orang kampung kerana bagi mereka dialah si Robin Hood yang memberikan banyak bantuan kepada mereka.

Akhirnya Botak Chin ditangkap juga tanggal 16 Februari 1976. Kata khabar angin, kerana tangkalnya lupa dipakai.

 

Read the rest of this entry »

Posted in Cerita Gempar, Cerita Sejarah | Leave a Comment »

Cerita Thomas Edison: Ingin berjaya dalam hidup? Pekakkan telinga (dan jauhi sekolah)

Posted by kurator on October 21, 2012

Siapa tak kenal Thomas Edison? Manusia yang menerangi dunia dengan ciptaannya: Phonograph, Kamera Gambar Bergerak dan paling utama ialah Mentol Elektrik. Peneraju General Electric dan yang pertama menghasilkan makmal pengkajian dan memperkenalkan konsep penghasilan produk besar-besaran dengan sebuah pasukan pekerja yang besar.

Tapi awal hidupnya memang menyedihkan. Digelar telur, bodoh dan tolol oleh gurunya Reverend Engle kerana mindanya selalu menerawang. Akhirnya, dia hanya bersekolah 3 bulan.

Tapi ibunya tahu dia tidak bodoh. Dengan bantuan ibu, Edison belajar di rumah dengan silibus dari School of Natural Philosophy oleh R.G.Parker. Ibunya meyakinkan Edison bahawa dia tidaklah telur seperti yang sangka. Tohmahan gurunya dipekakkan.

Edison si Telur

Kata Edison: “My mother was the making of me. She was so true, so sure of me; and I felt I had something to live for, someone I must not disappoint.” 

Edison juga benar-benar pekak kerana dijangkiti Scarlet Fever sewaktu kecil dan gagal merawat jangkitan telinganya. Dia juga pernah mengalami kemalangan sewaktu bekerja di makmalnya.

Seawal usia kanak-kanak, dia mula berniaga gula-gula dan surat khabar di atas keretapi dari Port Huron ke Detroit. Juga sayur untuk pendapatan tambahan.

Jika di sekolah, pelajaran mengikut sukatan. Tapi hakikat ilmu ialah tanpa sukatan atau batasan.Dia berdikari mempelajari Quantitative Analysis dan menjalankan eksperimen kimia di atas keretapi sehinggalah dihentikan oleh satu kemalangan melibatkan eksperimennya

Dia juga pernah menerbitkan akhbar Grand Trunk Herald yang dijual dengan akhbar lain. Dari situlah, bakatnya dalam bisnes dikembangkan dan membantunya membina 14 syarikat yang berjaya.

Pesan Edison: Many of life’s failures are people who did not realize how close they were to success when they gave up” 

Posted in Cerita Inspirasi, Cerita Sejarah, Cerita Usahawan | Leave a Comment »