ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Teguran Allah Kepada Nabi Muhammad: Bukti Al-Qur’an Kalam Tuhan

Posted by kurator on June 18, 2013

Al-Qur’an merupakan kalam Allah SWT yang benar.  Ia  bukanlah tulisan ataupun rekaan Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW merupakan seorang manusia yang tidak dapat membaca dan menulis (‘ummi). Dari manakah Nabi Muhammad SAW memperolehi ayat-ayat di dalam Al-Qur’an yang lengkap dengan hakikat ketuhanan dan falsafah kehidupan, kisah-kisah sejarah dan ketamadunan, sistem perundangan, sains dan teknologi , sistem ekonomi & kewangan dan lain-lain ilmu lagi yang mendahului zaman? Tidak lain dan tidak bukan, Al-Qur’an ini datangnya hanya daripada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Al-Qur’an juga bukanlah diari yang merakamkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW sehari-harian. Al-Qur’an tidak pernah menyuruh manusia untuk menyembah  Nabi Muhammad SAW sebaliknya ia menyuruh sekelian manusia agar kembali kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang sebenar. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri melarang umat Islam daripada merakamkan imej dan wajahnya baik di dalam bentuk lakaran, lukisan, ukiran ataupun arca. Ini kerana, Nabi Muhammad SAW ingin mengelakkan umatnya daripada mendewa-dewakannya lalu mungkin akan terpesong menjadikan dirinya sebagai objek sembahan. Walhal, tuhan yang layak disembah hanya Allah SWT.

al-quran (1)

Al-Qur’an juga menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad SAW  tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjadikan dirinya kelihatan hebat dan agung. Ini kerana di dalam Al-Qur’an,  nama Nabi Muhammad SAW hanya disebut sebanyak 4 kali. Manakala nama Nabi Isa AS disebut sebanyak 25 kali (di samping Al-Masih 11 kali, Ibn Maryam 23 kali). Nama Nabi Musa pula disebut sebanyak 136 kali. Nabi Ibrahim sebanyak 69 kali. Nabi Ismail sebanyak 12 kali. Nabi Ishaq 17 kali. Nabi Lut sebanyak 27 kali. Nama Nabi Nuh 43 kali. Nabi Soleh 9 kali. Nabi Syu’ayb  10 kali. Nabi Sulaiman 17 kali. Nabi Yahya 5 kali. Nabi Ya’qub 16 kali. Nabi Yusuf 27 kali. Nabi Zakaria 7 kali.

Di dalam Al-Qur’an juga tidak terdapat nama ibu, isteri atau anak Nabi Muhammad SAW seperti Aminah,  Khadijah, A’isyah, Fatimah, Ruqayyah, Zainab, Ummi Kalthum. Sebaliknya satu-satunya nama wanita yang disebut  ialah  Maryam AS (yang disebut sebanyak 34 kali) melambangkan penghormatan Allah SWT kepada ibu Nabi Isa AS tersebut.

Selain daripada itu, Allah SWT juga pernah menegur Nabi Muhammad SAW jika  rasul-Nya melakukan perkara-perkara yang tidak bertepatan dengan kehendak-Nya. Nabi Muhammad SAW sebagai insan yang amanah pula tidaklah menyembunyikan teguran-teguran tersebut kerana ia merupakan wahyu Allah SWT dan ia juga menjadi bukti bahawa Al-Qur’an ini benar-benar diturunkan oleh Allah SWT dan bukanlah hasil karangan nabi Muhammad SAW. Ini kerana, jika Al-Qur’an ini merupakan biografi Nabi Muhammad SAW, sudah pasti kejelekannya akan disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Antara teguran-teguran Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah;

(1) Hanya Allah SWT Yang Boleh Memberikan Petunjuk (hidayah)

Abu Talib merupakan bapa sudara Nabi Muhammad SAW yang amat mengasihinya. Abu Taliblah yang menjaga Nabi Muhammad selepas kematian ibu bapa dan datuknya. Abu Talib jugalah telah banyak membantu Nabi Muhammad terutamanya dalam menghalang gangguan golongan bukan Islam yang memerangi Nabi Muhammad SAW.

Walaupun kasih Abu Talib terhadap nabi Muhammad SAW amat kental, namun Abu Talib belum lagi mengucapkan dua kalimah syahadah dan enggan beriman dengan Allah SWT walaupun ketika itu Abu Talib hampir-hampir meninggal dunia. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW telah berkata “Sungguh, akan aku mintakan ampunan untukmu, selama aku tidak dilarang”. Oleh sebab itu, Allah SWT telah menegur Nabi Muhammad SAW:

“Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka bahwa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam”. (At Taubah, 9: 113)

Selain daripada itu, Allah SWT juga menegaskan bahawa hanya Allah SWT sahajalah yang layak memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima hidayah dengan memberikan keimanan & ketaatan, serta mengubah dari kesesatan & kekufuran. Tidak ada sesiapa yang berkuasa melakukannya walaupun dia merupakan seorang nabi. Allah berfirman:

” Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Al-Qasas, 28:56)

(2) Jangan Bersikap Pilih Kasih

Sewaktu Nabi Muhammad SAW mula berdakwah di Makkah, baginda merasakan bahawa Islam akan lebih mudah tersebar jika lebih ramai golongan kaya dan bangsawan memeluk agama Islam. Oleh sebab itu, suatu hari, ketika Nabi Muhammad SAW sedang berdakwah kepada golongan bangsawan, tiba-tiba datanglah Abdullah Bin Ummi Maktum, seorang yang buta dan miskin kepada Nabi Muhammad SAW bertanyakan tentang Islam. Nabi Muhammad SAW tidak melayaninya, sebaliknya meneruskan dakwahnya kepada golongan bangsawan tersebut. Lalu, Allah SWT menurunkan Surah A’basa sebagai teguran terhadap sikapnya:

  1. Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,
  2. karena telah datang seorang buta kepadanya.
  3. tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa),
  4. atau Dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?
  5. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup,
  6. Maka kamu melayaninya.
  7. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau Dia tidak membersihkan diri (beriman).
  8. dan Adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),
  9. sedang ia takut kepada (Allah),
  10. Maka kamu mengabaikannya.
  11. sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan

Dan ketika turun ayat-ayat di atas, Nabi Muhammad SAW terus segera melayani permintaan sahabatnya itu. Bahkan Abdullah bin Ummi Maktum ra. sendiri setelah kejadian itu tidak berasa kecil hati, sebaliknya beliau malah merasa bangga. Ini kerana disebabkan dirinya, seorang nabi telah ditegur Tuhannya.

Sampai ketika perang Qadisiyah sepeninggalan Rasulullah SAW, sahabat nabi yang buta ini mempunyai permintaan untuk membawa bendera umat Islam di medan tempur. Ketika para panglima perang menolaknya kerana beliau seorang tuna netra, beliau pun mengeluarkan ancaman yang tidak boleh dibantah.  “Apakah kalian menolak permintaanku, padahal Rasulullah SAW ketika dahulu menolak permintaanku, langsung ditegur Allah?”. Maka bendera itu pun diserahkan kepadanya, meskipun beliau seorang yang buta.

Surah ini juga secara umumnya mengajar umat Islam agar tidak memilih kasih di dalam berdakwah dan tidak menjadikan harta, pangkat, bangsa, keturunan sebagai ukuran kemuliaan seseorang. Yang paling mulia di kalangan manusia ialah golongan yang bertaqwa.

(3) Jangan Berjanji Kecuali dengan Insya Allah

Suatu hari, kaum Quraisy mengutus an-Nadir bin al-Harts dan Uqbah bin Abi Mu’ith menemui seorang pendeta Yahudi di Madinah untuk bertanyakan tentang kenabian Nabi Muhammad. Lalu, kedua utusan itu menceritakan segala hal yang berkaitan dengan sikap, perkataan, dan perbuatan Muhammad. Mereka juga bertanya bagaimanakah caranya untuk mengetahui bahawa Muhammad itu seorang nabi ataupun seorang penipu?

Lalu, pendeta Yahudi berkata, “Tanyakanlah kepada Muhammad akan tiga hal. Jika dapat menjawabnya, ia Nabi yang diutus. Akan tetapi, jika tak dapat menjawabnya, ia hanyalah orang yang mengaku sebagai Nabi. Pertama, tanyakan tentang pemuda-pemuda pada zaman dahulu yang bepergian dan apa yang terjadi kepada mereka (Ashabul Kahfi). Kedua, tanyakan juga tentang seorang pengembara yang sampai ke Timur dan Barat (Zulqarnain) dan apa yang terjadi padanya. Ketiga, tanyakan pula kepadanya tentang roh.”

Pulanglah utusan itu kepada kaum Quraisy. Lalu, mereka berangkat menemui Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan menanyakan ketiga persoalan tersebut di atas. Tanpa banyak bicara, nabi Muhammad SAW berkata, “Aku akan menjawab pertanyaan kalian besok.”

Pada keesokan hari, kaum Quraisy mulai datang bertanyakan jawapan. Malangnya wahyu Allah tidak diturunkan. Lalu Nabi Muhammad tidak dapat memberitahu mereka apa-apa. Begitulah sehingga hari – hari berikutnya, Allah tidak menurunkan sebarang wahyu.  Orang-orang Makkah mulai mencemuh dan Nabi Muhammad SAW  sendiri sangat sedih, gundah gulana, dan malu karena tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada kaum Quraisy.

Hanya pada hari ke-15,  barulah  Jibril datang membawa wahyu yang menegur Nabi Muhammad SAW:

“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi, kecuali (dengan menyebut); ‘Insya Allah’.” (Al-Kahfi, 16:23-24) 

Rupa-rupanya, Allah ingin menegur Nabi Muhammad supaya menyebut Insya Allah terlebih dahulu sebelum berjanji melakukan sesuatu. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW seorang yang tidak akan mereka-cipta ayat Al-Qur’an sehinggalah Allah sendiri yang akan mewahyukan kepadanya.

(4)  Menjaga Bacaan Al-Qur’an dan Jangan Tergesa-gesa

Ketika Nabi Muhammad SAW menerima wahyu, baginda akan menjadi sangat bimbang jika baginda akan terlupa satu ayat, satu perkataan mahupun satu huruf sehingga apabila Jibril (AS) menyampaikan wahyu, Rasulullah dengan pantasnya akan mengulangi terus perkataan demi perkataan, untuk menghafalnya dengan cepat.  Seperti contoh apabila kita sedang melefon seseorang dan kita perlu menghafal sesuatu maklumat yang diberikan, kita akan cepat-cepat mengulanginya supaya kita dapat menghafalnya. Begitu juga nabi Muhammad, baginda akan tergesa-gesa menghafal sejurus selepas Jibril (AS) menyampaikan wahyu kepada Baginda.

Lalu Allah menegur Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Al-Qiyamah ayat 16 – 19:

16. “Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

17. Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

18. Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

19. Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). “

(5) Larangan Mengharamkan Perkara Yang Halal

Beberapa orang isteri nabi (Hafsah dan ‘Aisyah) berasa cemburu dengan Zainab yang pandai melayani Nabi Muhammad SAW. Zainab akan menghidangkan madu yang menjadi kegemaran Rasulullah setiap kali Nabi Muhammad mengunjunginya. Lalu Hafsah dan Aisyah telah berpakat supaya mereka berdua mengatakan mulut nabi berbau busuk sebaik sahaja nabi Muhammad SAW pulang daripada bertemu Zainab.

Oleh kerana menyangkakan bahawa minuman madu yang dihidangkan oleh Zainab menyebabkan mulutnya berbau busuk, Nabi Muhammad SAW mengharamkan dirinya daripada meminum madu hanya untuk menyenangkan hati para isteri baginda. Lalu Allah SWT menceritakan perihal bicara Aisyah dan Hafsah ini kepada Rasulullah. Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW kerana mengharamkan meminum madu yang halal kerana ingin memuaskan hati isteri-isterinya. Allah juga menegur sikap para isteri baginda  di dalam Surah Al-Tahrim, ayat 1-5;

1. Wahai Nabi! mengapa Engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa Yang Dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) Engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

2. Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (Wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda – kaffarah); dan Allah ialah Pelindung Yang mentadbirkan keadaan kamu, dan ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

3. Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia Yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia Yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan Yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: “Siapakah Yang memberi tahu hal ini kepada tuan? ” Nabi menjawab: “Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya (tentang Segala perkara Yang nyata dan Yang tersembunyi) “.

4. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (Wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah Yang sewajibnya), kerana Sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara Yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka Yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana Sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang Yang soleh dari kalangan orang-orang Yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.

5. Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri Yang lebih baik daripada kamu, – Yang menurut perintah, Yang ikhlas imannya, Yang taat, Yang bertaubat, Yang tetap beribadat, Yang berpuasa, – (meliputi) Yang janda dan Yang anak dara.

Kisah ini juga menjadi iktibar buat umat Islam tentang kehidupan alam rumah tangga yang ada masam manisnya. Perasaan cemburu dan iri hati boleh berlaku di dalam rumah tangga. Hanya kejujuran, keikhlasan dan kasih sayang yang mampu menghalang keberantakan ikatan perkahwinan yang tercipta.

6) Hukum Zihar Dalam Islam

Allah SWT telah berfirman di dalam surah Al-Mujadalah, ayat 1- 4:

1. Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. 

2. Orang-orang yang “ziharkan” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

3. Dan orang-orang yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

4. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliah) dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Surah Al Mujadalah ini menceritakan tentang dialog yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW dan seorang sahabiah iaitu Khaulah Binti Tha’labah yang mengadukan perihal dirinya yang telah dizihar oleh suaminya iaitu Aus Bin Shamit.

Pada mulanya Nabi Muhammad SAW menyatakan kepada Khaulah bahawa dia tidak boleh lagi bersama dengan suaminya, seperti kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat Arab. Khaulah yang tidak berpuas hati kemudiannya terus bertanya lagi kepada Rasulullah, namun jawapannya tetap sama. Setelah beberapa kali bertanyakan soalan yang sama, Nabi Muhammad SAW tetap memberikan jawapan yang sama. Khaulah akhirnya menadahkan tangannya ke langit dan berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikan keputusan terhadap permasalahan yang sedang dihadapinya itu.

Lalu Allah memperkenankan doa Khaulah dan turunlah ayat surah Al Mujadalah (1-4) yang membicarakan persoalan zhihar dan penyelesaiannya. Melalui surah ini, Allah SWT juga ingin memberitahu bahawa A

llah mendengar dialog yang berlaku di antara Nabi Muhammad SAW dan Khaulah dan Allah juga mendengar segala doa yang dipanjatkan oleh hambaNya.
(7)Berlemah lembut dan Berhikmah dalam Berdakwah
Rasulullah SAW merupakan Pendidik yang terunggul sepanjang zaman. Sebagai pendidik yang mahu menerapkan kebaikan dalam masyarakat, Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW agar mendidik manusia dengan penh hikmah
Firman Allah yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu Muhammad) engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kamu. Oleh itu, maafkan mereka (terhadap kesalahan mereka terhadap kamu) dan pohonlah keampunan bagi mereka. Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk melakukan sesuatu) maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang yang bertawakal pada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Leave a comment