ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

“Jadilah Pendakwah, Bukan Penceramah”: Syeikh Al Bahi Al Khauly

Posted by kurator on May 23, 2013

Seorang penceramah hanya beraksi hebat di pentas ceramah. Tetapi seorang pendakwah menggunakan semua sumber dan medium yang ada untuk memahamkan masyarakat

Seorang penceramah hanya beraksi hebat di pentas ceramah. Tetapi seorang pendakwah menggunakan semua sumber dan medium yang ada untuk menjadikan masyarakat cintakan Allah

 

Syeikh Sa’id Hawwa di dalam bukunya ‘Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan’ telah menyebutkan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap individu Muslim ;

  1. Membina individu yang beridentiti Islam.
  2. Menegakkan hukum Islam di seluruh pelusuk benua.
  3. Menyatukan kuasa politik bagi umat Islam.
  4. Mengembalikan sistem khilafah bagi umat Islam.
  5. Memastikan syariat Allah dilestarikan di seluruh dunia.

Itulah tugas yang maha berat bagi pendakwah. Namun terkadang wujud kekeliruan istilah antara pendakwah dan penceramah. Seorang tokoh tarbiyyah Ikhwan Muslimin, Syeikh Al Bahi Al Khauly telah menegaskan tentang perbezaan dua gelaran tersebut di awal karya beliau yang berjudul –Tazkirah ad Du’at – :

“Sesungguhnya pendakwah tidak sama seperti penceramah. Jika penceramah, tugasnya hanya berceramah. Manakala pendakwah, individu yang optimis dengan pemikirannya. Tugasnya menyampaikan risalah dakwah dengan penulisan, ucapan, perbualan biasa, segala kerja yang dibuat serta segala apa medium yang dirasakan bermanfaat untuk dakwah.”

Penceramah hanya akan beraksi apabila diberi peluang di pentas ceramah. Populariti dan pengikut merupakan bonus baginya. Apa yang disebut belum tentu menggambarkan hakikat keadaannya yang sebenar.

Sebaliknya aksi pendakwah tidak terhad. Mana-mana peluang yang sempat dicapai akan digunakan dengan sebaiknya untuk menyampaikan risalah Islam. Mereka sangat takut dengan sanjungan, bimbang populariti tersebut akan memesongkan misi dakwahnya. Apa yang disebut, itulah yang terbit dari hatinya.

Kesungguhan dan kejujuran pendakwah tiada tandingan. Kesungguhan tersebut pernah ditatah dari kisah Imam Hasan al Banna berdakwah sambil bersosial di kedai kopi. Usaha tersebut berterusan sehingga melewati pintu arena panggung.

Banyak lagi sifat bagi pendakwah yang disebutkan oleh Syeikh Al Bahi Al Khauly. Jika diamati kriteria yang telah tersenarai di dalam buku tersebut, sehingga membuatkan penulis amat malu untuk mengaku bahawa diri ini sebagai pendakwah.

Kerap kali kita mencari idea bombastik dan rumit yang mengujakan untuk disampaikan kepada sasaran dakwah. Moga-moga dengan isi dan gaya penyampaian yang mengujakan itu mampu memukau pendengar-pendengar. Kesungguhan tersebut jika tidak dikawal boleh mengakibatkan kita terlupa bahawa kita belum pun melaksanakan apa yang diucapkan.

Terkadang kita menganggap bahawa dakwah seperti menyediakan pentas persembahan yang membenarkan kita melakonkan pelbagai gaya tanpa pantauan amanah terhadap agama dan diri sendiri. Itulah beza antara pendakwah dan penceramah.

Penceramah bebas mengucapkan 1001 mutiara kata walaupun amalan dirinya jauh menyimpang dari apa yang diucapnya. Manakala bagi pendakwah, mereka perlu memastikan dirinya benar-benar layak untuk menyampaikan sesuatu mesej Islami merujuk kepada tanggungjawab dirinya sebagai hamba Allah. Firman Allah Taala :

“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedang kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al Kitab. Tidakkah kamu berakal.”  (Al Baqarah:44)

“Amat besar kemurkaan Allah apabila kamu berkata perkara yang kamu tidak buat.”  (As Saff:3)

Mesej dakwah yang membekas adalah apabila ia keluar dari individu yang bercakap melalui hatinya.Hanya hati yang jujur dengan misi dakwah, layak mengetuk hati orang lain. Itulah resepi kejayaan tokoh-tokoh pendidik umat mengetuk hati-hati manusia agar menerima kebenaran.

Syeikh Al Bahi Al Khauly turut menegaskan, “Apa yang penting hubungan antara juru da’wah dan sasaran da’wah adalah dengan ruh mereka. Bukan dengan seni bicara dan kelancaran tutur kata.”

Bagi pendakwah, cukuplah jika diberi peluang berkata dari lubuk hatinya tentang kebenaran. Walaupun isinya versi ulangan atau tidak dilihat begitu ‘akademik’, ia dirasakan mencukupi sesedap rasa dengan apa yang perlu diterima oleh sasaran dakwah.

Oleh kerana itu Syeikh Al Bahi Al Khauly berterus-terang mengungkapkan,

“Saya tidak kesal jika karya ini tidak disajikan dengan tutur kata yang indah berseni. Bahkan saya sangat redha dengan cara tersebut. Bukanlah karya ini ditujukan kepada penceramah-penceramah atau mereka yang ingin belajar seni pidato. Sebaliknya karya ini dedikasi kepada para pendakwah yang jujur menyeru manusia kembali kepada Allah.”

Justeru, tidak hairanlah sejarah Para Sahabat terdahulu hanya membaca beberapa potong ayat Al Quran dan tidak akan menyambung bacaannya melainkan mesej di dalam ayat tersebut telah dilaksanakan. Mereka sangat memelihara akhlak ‘cakap serupa bikin’.

Sehingga ada riwayat yang dinaqalkan daripada Ibnu Umar bahawa ayahnya, Umar Al Khattab R.A mendalami dan mengamalkan Surah Al Baqarah selama 12 tahun. Berikutan itu, Umar kerap bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai RasulAllah, adakah kehidupanku telah mencerminkan surah Al Baqarah, jika belum maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya”. Begitu jugalah yang berlaku kepada Ibn Umar, beliau turut berusaha menjadi seorang yang faqih (faham) setiap petikan ayat di dalam Surah Al Baqarah selama 8 tahun.

Terdapat hadith riwayat Imam Bukhari yang menceritakan perihal penceramah yang ‘cakap tidak serupa bikin’, mafhumnya,

“Dicampak seseorang ke dalam api neraka pada hari kiamat. Maka dia diikat seperti ikatan keldai. Dia berpusing-pusing seperti keldai mengikut arah ikatan tersebut. Lantas ahli neraka yang lain mengerumuninya lalu bertanya: Mengapa kamu jadi begini? Bukankah dahulu kamu yang menyeru kami perkara kebaikan dan melarang kami dari perkara kemungkaran? Lalu dijawab: Memang aku yang menyeru kalian agar berbuat perkara kebaikan tapi aku tidak melaksanakannya, dan aku melarang kalian dari melakukan perkara kemungkaran tapi aku yang melaksanakannya.”

Berdasarkan pengamatan penulis tentang buku – Tazkirah ad Du’at – penulis boleh menyimpulkan bahawa Syeikh Al Bahi Al Khauly sedikit kecewa dengan keghairahan sesetengah golongan yang bersungguh ingin menjadi penceramah sehingga lupa matlamat asal, iaitu tanggungjawab menyeru ke jalan Allah.

Mereka yang menggalas tanggungjawab sebagai penceramah hendaklah benar-benar memfokuskan penglibatannya sebagai peluang untuknya menyeru kepada Islam, bukannya menagih populariti agar ia tidak dilihat sebagai pencemaran terhadap kemuliaan dakwah Islamiyyah.

Apa yang ingin disampaikan di sini adalah agar kita semua menjadi pendakwah yang terarah meneruskan perjuangan Baginda Nabi saw. Jalan dakwah Baginda bukanlah jalan yang mudah, jalan yang dihemburkan dengan bunga-bunga pujian, jalan yang dibentangkan dengan permaidani merah, tetapi jalan Baginda penuh dengan liku dan tarbiyah dari Allah Taala.

 

Sumberhttp://www.tarbawi.my/2013/05/antara-pendakwah-dan-penceramah.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: