ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Peristiwa-Peristiwa Konspirasi Politik di Malaysia

Posted by kurator on March 3, 2013

Di dalam dunia ini, terdapat pelbagai peristiwa yang berlaku yang sukar untuk dijelaskan apakah motif kejadiannya, siapakah yang perancang utama, siapakah pula yang mendapat manfaat (qui bono?) hasil daripada peristiwa tersebut.

Sebagai contoh, peristiwa Serangan Pearl Harbour, Pembunuhan Abraham Lincoln/ John F. Kennedy/ Malcolm X/ Martin Luther King / Lady Diana, Tragedi Holocaust, Pengeboman Pesawat Pan Am 103, Serangan Pesawat 9/11, Perang Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq, Penyebaran Penyakit HIV/AIDS/Influenza sebagai Biological Weapons dan banyak lagi merupakan peristiwa yang gagal dijelaskan serta masih lagi menimbulkan teka-teki. Apatah lagi, peristiwa-peristiwa ini dimanipulasikan oleh media dan pihak berkuasa untuk mengawal minda masyarakat serta menimbulkan rasa takut dan terancam malahan mendapat keuntungan hasil daripada peristiwa-peristiwa tersebut.

Di Malaysia juga terdapat kejadian-kejadian yang menimbulkan banyak persoalan sehingga kita tertanya-tanya adakah ini merupakan suatu konspirasi politik yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu demi mengaut laba keuntungan walaupun terpaksa menyebabkan nyawa terkorban:

1. Serangan Rumah Pasong Bukit Kepong

bm110908mat_indera Peristiwa yang berlaku tanggal 23 Februari 1950 ini seringkali diangkat sebagai peristiwa membangkitkan patriotisme rakyat serta menjadi alasan menanamkan kebencian rakyat terhadap komunism. Hakikatnya, pada waktu itu, polis-polis Tanah Melayu berkhidmat dan menumpahkan taat setia kepada kerajaan British dan Queen Elizabeth (sebagaimana dinukilkan SN Usman Awang malalui pengalamannya sebagai mata-mata dalam novel Tulang-Tulang Berserakan). Pihak Polis hanya mendapat gelaran DiRaja pada tahun 1958.

Rumah Pasong Bukit Kepong pula merupakan gudang senjata penjajah British di selatan Tanah Melayu. Ketua Balainya, Raymond Dancey, merupakan pegawai British yang pernah berkhidmat di bawah British Mandate for Palestine yang membentuk negara haram Israel dan membunuh rakyat Palestine pada 1948 bersama-sama Sir Henry Gurney.

Ustaz Mat Indera yang mengetuai serangan ini merupakan seorang guru agama di Parit Setongkat, Muar. Beliau seorang hafiz al-quran, gemar bernasyid, berkasidah dan berzanji. Antara gurunya Kiayi Haji Fazil Bentan yang menjadi salah seorang  penasihat DYMM Sultan Ibrahim. Beliau dikurniakan butang perak oleh Istana Johor kerana pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama Johor.

Mat Indera juga pernah dipenjarakan kerana membela kepentingan kaum buruh. Beliau melibatkan diri  dalam politik dengan tujuan memerdekakan tahahair daripada penjajahan inggeris dan  menjadi ahli sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Mohammad, dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API).

Kerana tentangan berterusan oleh golongan Pembebasan Rakyat Malaya (KMM, PKMM, PKM, API, AWAS dan Hisbul Muslimin) , British terpaksa mengisytiharkan darurat pada 1948 dan kesemua parti politik diharamkan kecuali parti politik yang mesra dengan penjajah British. Kemuncak ancaman (1948-1960) memaksa British membawa dan melatih 500,000 tentera dari Ghana, Kenya, Fiji, Nepal dan  anak tempatan sebagai polis upahan.

Serangan ke atas Rumah Pasong ini ditujukan untuk menumpaskan Raymond Dancey, malangnya Raymond Dancey tidak berada di Bukit Kepong sewaktu peristiwa itu berlaku. Sebaliknya serangan terhadap Rumah Pasung terpaksa dilancarkan kerana pihak polis enggan menyerah diri dan membuang senjata walaupun berkali-kali diminta oleh Mat Indera. Pertempuran meletus kerana Mata-Mata Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak seorang anggota komunis yang sedang memotong kawat duri.

Ustaz Mat Indera mencuba pelbagai cara untuk meminta pihak polis menyerah seperti meminta isteri-isteri polis iaitu Mariam dan Fatimah Yaaba untuk memujuk pihak polis menyerah. Malangnya, polis enggan menyerah dan meneruskan penentangan sehinggalah akhirnya 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban.

Pihak British berjaya memanipulasikan peristiwa ini sepenuhnya  untuk menyemarakkan kebencian rakyat terhadap komunis dan menekan perjuangan Pembebasan Rakyat Malaya. Walau bagaimapun, buku Pengukir Nama Johor terbitan Yayasan Warisan Johor mengangkat Ustaz Mat Indera sebagai seorang pejuang.

Yang menjadi persoalan: Adakah pihak British awal-awal lagi telah sedia maklum bahawa serangan ini akan berlaku lalu Raymond Dancey mengambil keputusan untuk keluar dari Bukit Kepong? Mengapa Rumah Pasong ini dijadikan lokasi gudang simpanan senjata sedangkan kedudukannya terpencil & mengalami kesukaran sistem perhubungan? Ke manakah hilangnya askar-askar upahan dari Ghana dan Fiji yang sering mengganggu penduduk kampung sewaktu serangan itu? Mengapa polis mengalami kekurangan senjata sedangkan Rumah Pasong itu adalah gudang senjata? Ke manakah senjata-senjata itu menghilang?

2. Tragedi 13 Mei 1969

1

Dalam  pilihanraya umum 1969 Parti Perikatan telah gagal memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen, jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.

Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman. Tetapi terdapat segelintir pengikut perarakan (identiti mereka tidak dapat diketahui) telah mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Orang Melayu berkumpul di rumah Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor, di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru.  Terdapat dakwaan bahawa mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu arahan daripada Dato’ Harun Idris untuk mengamuk.

Dr Kua Kia Soong, Pengetua Kolej New Era, London telah mengkaji rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan sebagai rahsia selepas tempoh 30 tahun. Dokumen yang telah dideklafisikasikan itu termasuk laporan-laporan yang dibuat oleh wartawan asing yang berada di Kuala Lumpur pada masa itu, laporan kakitangan Pesuruhjaya Tinggi British yang memantau insiden tersebut dan pelbagai lagi laporan sulit dari kalangan diplomat.

Dia menyifatkan  rusuhan 13 Mei itu bukanlah berpunca daripada keganasan kaum, sepertimana yang telah digambar kepada rakyat Malaysia. Sebaliknya pihak yang bertanggungjawab adalah golongan kapitalis, elemen-elemen dalaman yang merancang dan melaksanakan pelan ini.

Dokumen-dokumen itu juga menunjukkan, kurang daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, yang mempengerusikan Majlis Operasi Negara, diberi kuasa penuh untuk mentadbir negara – satu petanda wujudnya komplot mengenainya.

Satu dokumen rahsia dari pejabat kabinet Britain yang dimuat dalam buku tersebut, menunjukkan, tidak sampai seminggu selepas rusuhan itu berlaku, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dapat mengesan apa yang sedang dirancang oleh Tun Razak – ‘untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu, meminggirkan kaum Cina dan mengenepikan Tunku’.

Angka rasmi korban rusuhan 13 Mei adalah 196 orang, 180 cedera akibat senjatapi dan 259 lagi cedera kerana senjata lain, 9,143 orang ditangkap dan 5,561 daripadanya didakwa di mahkamah, 6,000 kehilangan tempat tinggal, dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan telah musnah atau mengalami kerosakan.

Tunku Abdul Rahman juga menyifatkan  peristiwa ini dalam bukunya 13 Mei: Sebelum dan Selepas merupakan satu ‘coup d’etat’ atau rampasan kuasa oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu – yang disokong oleh polis dan tentera – untuk menggulingkannya. Dr. Mahathir yang kecewa kerana tewas dalam pilihanraya 1969 melakukan sidang akhbar dan penyebaran surat layang untuk menyalahkanTunku Abdul Rahman atas peristiwa ini. Tunku akhirnya berundur sebagai PM akibat desakan yang kuat. Tun Razak mendapat kuasa penuh untuk memerintah melalui penubuhan MAGERAN. Dr. Mahathir yang dipecat oleh Tunku daripada UMNO juga dibawa masuk ke dalam kerajaan oleh Tun Razak dan diberikan jawatan dalam kabinet.

 Yang Menjadi Persoalan: Pasukan keselamatan Malaysia adalah sebuah pasukan yang bereputasi tinggi dan berpengalaman luas sewaktu melancarkan peperangan terhadap pengganas komunis yang lebih sukar daripada mengawal rusuhanantara tahun 1948 dan 1960 tetapi mengapa mereka tidak dapat mengawal (rusuhan) pada 1969 sehingga berlanjutan berminggu-minggu? Mengapa banyak laporan wartawan asing telah diharamkan di samping tiada akses terhadap dokumen tempatan? Mengapa banyak dokumen berkaitan diklasifikasikan sebagai rahsia? Mengapa jumlah korban sebenar peristiwa ini masih dirahsiakan? Kalangan diplomatik juga bertanya-tanya mengapakah, pada hari rusuhan itu berlaku, Tun Razak bertemu dengan pegawai tertinggi polis dan tentera, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. 

3. Nahas Pesawat Tun Fuad Stephen

fuad1Tragedi yang digelar Double 6 ini berlaku pada 6/6/1976. Enam pemimpin Negeri Sabah menaiki sebuah pesawat yang dijadualkan berlepas dari Labuan pada pukul 6 petang. Antaranya  Tun Fuad Stephens (Donald Stephens) yang merupakan Ketua Menteri Sabah. Kejadian berlaku ketika Tun Fuad baru berusia 56 tahun dan baru 53 hari menjadi Ketua Menteri Sabah selepas parti Berjaya yang ditubuhkan pada 15 Julai 1975 menang 28 daripada 48 kerusi DUN Sabah pada pilihanraya negeri April 1976.

Walau bagaimanapun,  Tun Fuad Stephen Tun mempunyai banyak syarat untuk bersetuju dalam proses menggabungkan Sabah, Malaya, Sarawak dan Singapura menjadi Malaysia. Ini kerana Sabah ialah sebuah negeri yang kaya dengan hasil mahsul seperti petroleum, balak dan lain-lain.  Beliau tidak menyenangi campurtangan Malaya dalam ekonomi Sabah.

Tun dan Kabinetnya tidak menandatangani perjanjian itu kerana tidak setuju dengan perjanjian yang dirangka oleh Kerajaan Persekutuan. Kejadian berlaku hari Ahad ketika pesawat dalam penerbangan pulang ke Kota Kinablau dari Labuan. Pada Isnin, 7 Jun 1976, Tun Fuad sepatutnya mewakili Sabah menanda tangani perjanjian dengan ESSO. Tun Fuad membawa bersama pemimpin-pemimpin Sabah kerana mahu menuntut kadar royalti yang lebih munasabah atau Sabah tidak akan bergabung dengan Malaysia.

Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya menaiki kapal terbang yang sama tetapi pada saat-saat akhir telah di ajak turun daripada pesawat oleh Timbalan Ketua Menteri pada masa itu iaitu Datuk Harris Mohd. Salleh untuk merasmikan projek ladang lembu di Pulau Banggi, Kudat. Datuk Harris Salleh ‘secara kebetulan’ tidak menyertai rombongan tersebut.

Datuk Haris Salleh terus diisytiharkan menjadi Ketua Menteri Sabah. Sejak hari itu, Sabah tidak pernah lagi membuat tuntutan royalti petroleum ataupun mengugut keluar Malaysia. Sabah kekal bersama negeri Terengganu dan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia walaupun mempunyai hasil minyak dan balak.

Yang Menjadi Persoalan: Mengapakah kapal terbang Nomad itu dibenarkan melebihi muatan sedangkan ia boleh membahayakan penumpang? Mengapa pengawal lapangan terbang tidak membenarkan kapal tersebut mendarat mengikut masa yang sepatutnya? Mengapa letupan berlaku di udara sebelum kapal tersebut terjunam setelah berlegar beberapa ketika sementara menunggu kebenaran untuk mendarat? Ke mana hilangnya kotak hitam pesawat? Mengapa Datuk Harris Salleh tiba-tiba  menjemput Tengku Razaleigh keluar dari pesawat itu?

4. Nahas Pesawat Tun Ghazali Shafie

ru_02.1

Di Malaysia, kemalangan udara jarang-jarang berlaku tetapi jika ia terjadi, kebiasaannya ia akan melibatkan VIP. Antaranya, nahas pesawat melibatkan Tun Ghazali Shafie yang digelar King Ghaz.

Beliau merupakan seorang tokoh politik yang amat penting di Malaysia. Pernah menjadi penasihat tetap Suruhanjaya Cobbold dan berperanan penting dalam pembentukan negara Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak. Beliau pernah menjadi Menteri Penerangan Malaysia (1970) dan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tugas-Tugas Khas

Beliau pernah menjadi Menteri Penerangan Malaysia (1970) dan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tugas-Tugas Khas di zaman pemerintahan  Tun Abdul Razak. Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau bertanggungjawab membentuk, merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970-1975 serta memperkenalkan Rukunegara dan menghentikan Kempen Ganyang Malaysia yang dilancarkan Indonesia. Kebijaksanaan King Ghaz menjadi perunding utama kerajaan dalam membebaskan sejumlah tebusan oleh lapan orang pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) pada Ahad 4 Ogos 1975 juga sukar dilupakan.

Pada 10 Januari 1982, pesawat Cessna 206 yang dipandunya  terhempas di Kampung Janda Baik. Ketika mereka dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur dalam penerbangan ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya. Bagaimanapun Mohd Ghazali terselamat kerana jatuh di atas rimbunan pokok buluh. Manakala pembantu juruterbang dan pengawal peribadinya (ASP Charon Daam dan co-pilot Vergis Chacko) terbunuh. Dua mayat ditemui dalam helikopter yang terhempas jam 3.00 petang dan diterbangkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Beliau diketahui amat tidak disenangi oleh Dr. Mahathir kerana King Ghaz telah menangkap Sidek Ghause yang merupakan Setiausaha Politik Dr Mahathir Mohamed di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. King Ghaz adalah yang terakhir dalam senarai yang diberikan anugerah Tun dari semua orang yang pernah berkhidmat dalam kerajaan Malaysia. Beliau menerima anugerah Tun hanya pada tahun 2005, di zaman Abdulah Hj Ahmad Badawi sedangkan pegawai bawahannya yang bernama Hanif Omar menerima gelaran Tun pada tahun 1993 dan juga Khalil Yaakob pada tahun 2004.  Setelah Dato Hussein Onn meletakan jawatan, akhirnya King Ghaz dikeluarkan dari Kementerian Dalam Negeri dan pindah ke Kementerian Luar dan dibersarakan pada tahun 1985. Beliau juga sebenarnya antara calon yang paling layak menjadi Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Hussein Onn kerana jasa dan sumbangannnya.

5. Tragedi Memali Berdarah

memali_victimsUstaz Ibrahim Libya, seorang graduan Universiti al-Azhar, telah memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha ulama pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Sebelum itu beliau bekerja sebagai pegawai pendakwah di Bahagian Agama (JAKIM) di Jabatan Perdana Menteri. Beliau kerap berceramah mengenai Islam di saluran RTM 1. Beliau pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik oleh Pusat Islam Malaysia.

Kepetahannya berceramah menyebabkan beliau sering diundang berceramah di sekitar negeri Kedah. Ibrahim Libya kemudian menyertai PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya tahun 1978 di kawasan Bayu yang terletak dalam daerah Baling. Beliau mendapat undi sebanyak 5,081 manakala calon BN mendapat 6,169 undi. Dalam pilihan raya tahun 1982 beliau turut bertanding di kawasan yang sama tetapi kalah.

Beliau adalah seorang pendakwah yang popular. Setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam.

Tanggal November 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3,500 anggota keselamatan dikerah oleh kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta penduduk Kampung Memali.

Pada ketika itu, kerajaan Malaysia menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai itu dengan alasan Ibrahim  membawa ajaran sesat. Kemudian pertuduhan diubah – Ibrahim dikatakan membawa fahaman subversif yang berniat untuk mencetuskan huru-hara.

Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Pihak berkuasa pula menyediakan berpuluh-puluh kereta perisai, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis.

Pada 19 November 1985, akhirnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya gugur ke bumi sebagai syuhada selepas bertempur dengan anggota keselamatan.

Yang Menjadi Persoalan: Mengapa Ops Hapus ini menipu pihak polis dengan mengatakan sasarannya adalah pengganas komunis walhal yang diserang adalah orang kampung yang lemah? Mengapa Tun Musa Hitam mengarahkan agar serangan diteruskan sekalipun pihak polis hutan berkali-kali telah mengesahkan bahawa sasaran mereka adalah Ustaz Ibrahim bukannya komunis? Mengapa pasukan sebesar 3500 orang lengkap bersenjata dan berkereta perisai  diperlukan untuk mengepung sebuah kampung yang kecil? Mengapa Sultan Kedah berkenan menyiram air mawar ke atas pusara syuhada Memali dan tidak mengiktiraf mereka sebagai penjenayah? Mengapakah Dr. Mahathir  sering mengaitkan isu Memali ini untuk menuduh PAS ialah parti yang radikal sedangkan pihak berkuasa lebih bersifat radikal lalu menjadi isu yang sentiasa digunakan oleh Zainuddin Maidin untuk menakutkan rakyat terhadap PAS?

6. Al-Maunah di Bukit Sauk

Maunah-3 (1)Mohamed Amin bin Mohamed Razali yang merupakan pemimpin kepada 29 ahli kumpulan Al-Ma’unah mengetuai misi untuk menggulingkan kerajaan Malaysia. Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah diEmpangan Temenggor, Gerik, negeri Perak. Mereka berjaya melarikan senjata-senjata di kem tersebut.

Pada awal pagi 2 Julai 2000, 20 ahli kumpulan Al-Maunah menaiki tiga kenderaan Pajero dan bergerak ke Pos 2 Kem Kuala Rhui pada jam 2.50 pagi dan kemudian ke Kem Bn 304 Rejimen Askar Wataniah pada jam 4.15 pagi.

Mereka berkata kepada pegawai kem tersebut dengan alasan ingin mengadakan pemeriksaan mengejut, dengan memberitahu ingin membuat pemeriksaan kecemasan ke atas jumlah semua peluru yang disimpan di dalam kem tersebut. Anggota tentera di dua kem tersebut berjaya diperdayakan dengan membawa mereka masuk ke dalam kem dan telah membantu kumpulan itu membawa senjata-senjata itu ke dalam tiga Pajero. Mereka berjaya melarikan sejumlah besar senjata api dan imunisasi, iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan, lima pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras tambahan mesingan kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan, 26 bilah pisau benet, 9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60 butir kartus peluru bom tangan berkaliber 40mm.

27 orang ahli tersebut kemudiannya menyembunyikan diri di dalam hutan Bukit Jenalik, Sauk, Perak. Amin mengagih-agihkan semua senjata-senjata yang dilarikan tersebut kepada orang-orangnya untuk dilatih. Bunyi tembakan yang jarang di dengar oleh penduduk kampong hasil daripada tembakan senjataapi tersebut telah menarik perhatian polis. Kumpulan tersebut membuat persediaan untuk menjayakan rancangan mereka, termasuk mengumpul bekalan makanan dan membawanya ke dalam pengkalan mereka di Bukit Jenalik.

Sepasukan polis dihantar mengepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan mereka. Sejumlah anggota pasukan keselamatan dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Ma’unah. Walaubagaimanapun, dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah bin Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta penduduk kampung Jaafar bin Puteh dan seorang anggota komando ATM, Truper Matthews anak Medan, telah dijadikan tebusan oleh Al-Ma’unah. Dalam radio komunikasi yang digunakan oleh kumpulan itu, mereka memaklumkan bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi.

Pada pagi 5 Julai 2000, kumpulan Al-Ma’unah kemudiannya menyerah diri. Kerajaan Malaysia bertindak memerangi ahli kumpulan Al-Ma’unah selepas memberi peluang untuk kumpulan tersebut menyerah diri dan menghentikan sebarang percubaan untuk mendapatkan sokongan awam kepada ahli kumpulan Al-Ma’unah dan menyatupadukan mereka kembali kepada masyarakat.

Yang Menjadi Persoalan:  Siapakah Mohammed Amin ini? Hebat sungguh dia sehingga kegiatannya merekrut pengikutnya seramai 2,000 baik di Malaysia atau Brunei dibiarkan. Apakah hubungannya dengan ATM? Bagaimana  Al-Ma’unah dalam masa 20 minit boleh memuatkan semua senjata berat & pelbagai jenis peluru (114 senjata, 15,200 peluru & 287 peralatan tentera) ke dalam ketiga-tiga Pajero yang digunakan  dalam rompakan itu? Mustahil Al-Ma’unah dapat masuk ke kem yang dikawal ketat tu dengan mudah. Adakah kedatangan mereka diketahui lebih awal atau ada pakatan dari orang dalam? Kenapa begitu mudah mereka dapat masuk ke gudang peluru & senjata kerana kebiasaannya senjata dalam gudang  dirantai satu sama lain.Malah pintu senjata tu sendiri ada prosedur yang ketat? Kenapa Al-Ma’unah yang dah bertindak sungguh professional  boleh bersembunyi di belakang sebuah sekolah yang jaraknya cuma lebih kurang 80 kilameter dari Kem 304 (kem yang dirompak). Seolah-olah mereka sengaja menjemput pasukan keselamatan untuk kepung & tangkap mereka. Segala-galanya seperti telah diatur secara sistematik? Benarkah Al-Ma’unah begitu mudah menyerah diri hanya lepas diperdengarkan lagu Allahyarham P.Ramlee ‘Getaran Jiwa’? Perlukah Dr.Mahathir mengaitkan kejadian ini dengan PAS walaupun kes ini belum habis disiasat?

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: