ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Bagaimanakah Corak Ekonomi Masyarakat Tradisional Bani Melayu Menghasilkan Sebuah Negara Yang Madani & Harmoni?

Posted by kurator on July 19, 2014

  Masyarakat Melayu merupakan suatu bangsa yang dahulunya amat terkenal sebagai bangsa yang hidup dalam keadaan yang aman lagi harmoni. Tanah Melayu pernah dikenali kitab-kitab Buddha Theravada sebagai Suvarnabhumi atau Lembah Emas. Claudius Ptolemy  turut menggelarkannya sebagai Chersonesus Aurea atau Semenanjung Emas disebabkan oleh kemakmurannya. Walaubagaimanapun, kemakmuran Tanah Melayu yang dikecapi ini bukanlah disebabkan oleh banyaknya galian emas dan perak yang dijumpai tetapi disebabkan oleh corak Ekonomi Bani Melayu itu sendiri.

Peta dari Inskripsi Claudius Ptolemy

Peta dari Inskripsi Claudius Ptolemy

Masyarakat Bani Melayu suatu masa dahulu telah mengamalkan sebuah sistem ekonomi yang terbaik pernah diamalkan di dunia. Sistem ekonomi yang digunapakai ialah masyarakat tradisional pada zaman dahulu ialah Sistem Gotong-Royong. Melalui sistem ini, masyarakat Bani Melayu telah mencapai keharmonian dan kemakmuran yang optimum. Melalui sistem ekonomi Gotong-Royong, banyak masalah berkaitan ekonomi berjaya diatasi.

Antara krisis ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini ialah masalah hartanah terutamanya membabitkan rumah kediaman. Rakyat Malaysia kini tidak lagi mampu memiliki rumah kediaman akibat inflasi yang menyebabkan kos pembelian rumah meningkat. Harga rumah yang melambung tinggi sehingga RM600,000 sekurang-kurangnya bagi sebuah rumah teres di Lembah Klang menyebabkan rakyat terbeban. Kadar pendapatan isi rumah yang semakin menguncup membuatkan rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Walau bagaimanapun,  masalah ini tidak pernah berlaku kepada masyarakat tradisional Melayu pada zaman dahulu. Ini kerana sistem ekonomi Gotong Royong telah banyak menyelesaikan isu perumahan. Sistem ini mengutamakan konsep permuafakatan, bantu-membantu dan saling lengkap-melengkapi.

Ianya dimulakan dengan proses musyawarah. Sekiranya seseorang ingin mendirikan sebuah rumah, perbincangan dan permuafakatan akan dijalankan di dalam sesebuah kampung. Ketua kampung biasanya akan menjadi rujukan dan pemberi kata putus. Masyarakat Melayu akan  berpegang kepada pepatah: ” Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat”. Apabila permuafakatan telah tercapai, pembahagian tugas pun dilaksanakan. Setelah itu, proses pembinaan rumah secara gotong-royong pun akan diadakan. Konsep ini juga disebut sebagai At-Takaful di dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam Al-Qur’an: “…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksaan-Nya.” (Al Maidah: 2)

Amalan Gotong Royong Membawa Berkat

Amalan Gotong Royong Membawa Berkat

Sistem ini juga digunapakai untuk pembinaan pusat-pusat komuniti seperti balairaya, masjid  serta kemudahan masyarakat yang lain seperti terusan, jambatan, jalan raya dan sebagainya. Terusan Wan Mat Saman merupakan suatu contoh bagaimana konsep Gotong-Royong berjaya membantu memakmurkan ekonomi masyarakat setempat dan menjimatkan kos yang memakan belanja yang besar. Perdana Menteri Kedah Wan Muhammad Saman telah membahagikan tugas membina terusan sepanjang 35 kilometer dari kaki Gunung Jerai hingga ke Tandop, Alor Setar kepada penduduk negeri Kedah. Seramai 5,000 orang terlibat membina terusan ini. Pembinaan dibina mengikut kampung yang terlibat dengan ketua kampung mengarahkan anak-anak buahnya memastikan projek berjalan lancar.

Terusan Wan  Mat Saman

Terusan Wan
Mat Saman

 

Sistem ekonomi Gotong-Royong ini sentiasa berkesinambungan dengan mengamalkan konsep Mengenang Budi. Masyarakat Bani Melayu amat sensitif dengan budi yang ditaburkan. Kerana itulah pepatah menyebut: ” Pisang emas dibawa berlayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati”. Apabila seseorang itu menerima bantuan, menjadi kewajipannya pula untuk menolong orang yang telah memberikannya bantuan sebelum ini. Amalan inilah yang menghidupkan sistem Gotong-Royong malahan merancakkan lagi ekonomi masyarakat. Apabila seseorang itu membantu membina rumah, dia pula akan membantu orang lain melakukan perkara yang sama.  Ia menghasilkan satu Vicious Cycle yang berulang. Perkara ini tidak terhad kepada membina rumah sahaja, malahan amalan ini juga digunakan untuk membuka kawasan pertanian, kawasan perladangan dan menuai hasil semaian. Pohon-pohon akan ditebang dan semak-samun ditebas bersama-sama, memugar tanah pertanian dilakukan beramai-ramai dan hasilnya dipungut dan dibahagikan sama-rata. Kerana itulah kemakmuran ekonomi dapat dicapai.

DSC09343

Masyarakat tradisional Melayu juga kreatif dalam mempelbagaikan sumber ekonomi.  Jika dilihat kepada pola pemakanan masyarakat tradisional Melayu, masyarakat tradisional Melayu merupakan antara bangsa yang mengamalkan gizi pemakanan seimbang. Manakan tidaknya, sumber alam yang melimpah ruah menjadikan masyarakat tradisional Melayu bijak menggunakan peluang dan sumber yang dikurniakan Tuhan.  

Pepatah Melayu mengatakan: “Berjagung-jagunglah dahulu sementara menantikan padi masak”

Pepatah ini mengajarkan masyarakat tradisional Melayu agar memperbanyakkan kegiatan ekonomi dan jangan hanya memfokuskan pendapatan hanya daripada satu sumber sahaja. Sebagai contoh, di samping menanam padi dan berhuma, penanaman tumbuhan lain seperti ubi, jagung, pisang, rambutan, kelapa, duku, langsat, durian, cempedak, nangka dan lain-lain amat digalakkan. Masyarakat Melayu juga biasanya menanam tumbuh-tumbuhan berkhasiat seperti pegaga, halia, lengkuas, kunyit dan sebagainya. Mereka juga masing-masing biasanya menternak ayam, itik, lembu dan kambing.

Bani Melayu juga kreatif memburu hidupan liar seperti landak, rusa, kijang, ayam hutan dan menjerat burung. Mereka juga turut memancing dan memasang lukah di sungai-sungai dan lautan untuk menangkap ikan dan pelbagai hasil tangkapan lain seperti udang, sotong, siput, ketam dan sebagainya. Kerana itulah, Bani Melayu mempunyai pelbagai petua yang diamalkan hasil kajian ilmu Alam dan pemerhatian mereka yang mendalam.

Sebagai contoh, aktiviti memancing udang galah tidak digalakkan ketika air pasang dan cuaca dengan hujan yang turun lebat.  Waktu terbaik memancing udang galah ialah pada saat kemarau dan air surut. Waktu udang galah sangat agresif ialah pada malam hari. Habitat biasa bagi udang ialah di antara longgokan kayu yang terendam di sungai. Selain itu Udang galah juga sering bermain-main di dasar sungai.

 Mereka juga memerhatikan beberapa faktor untuk membantu aktiviti memancing seperti:
1. Mengenali  struktur dasar sungai tempat  memancing. Selalunya dasar sungai berbentuk liku liku dan beralun-alun.
 2. Pada sungai lazimnya aliran air agak perlahan atau alirannya tidak terlalu deras.
3. Pada arus deras menandakan kawasan tersebut lebih dalam, manakala aliran perlahan pula adalah sebaliknya.

43641314 

Keakraban Bani Melayu dengan alam dengan mengkaji faktor ekologi, geografi, metereologi dan zoologi inilah yang membantu mereka dari segi ekonomi dan menjadikan mereka hidup sejahtera. Gizi makanan mereka juga seimbang mencakupi sumber karbohidrat, protein, vitamin, mineral yang lengkap.

Oleh sebab itu, bolehlah disimpulkan bahawa Bani Melayu antara bangsa yang amat rajin. Kebiasannya, seorang lelaki Melayu dewasa perlu sekurang-kurangnya mahir dalam mengetahui ilmu pertukangan, pertanian, perikanan, pemburuan, penternakan serta ilmu Alam. Kaum ibu pula biasanya mahir memasak, menjahit, bertani, mengawet makanan seperti menghasilkan ikan kering, pekasam serta pelbagai lagi kemahiran untuk kemandirian hidup dan menambah pendapatan. Ini merupakan suatu bukti bahawa Bani Melayu bukanlah suatu bangsa yang pemalas. Sesetengah pihak mengatakan bahawa orang Melayu dalam dilema kerana mereka secara tradisinya adalah pemalas adalah satu gambaran yang salah dan jelek untuk merendah-rendahkan Bangsa Melayu.  Corak ekonomi masyarakat Melayu tradisional membuktikan masyarakat Melayu pada zaman dahulu hidup selesa lagi sejahtera dan mereka tidak pernah berada dalam dilema. 

Kelebihan Bani Melayu Tradisional yang paling utama ialah mereka mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan. Mereka bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan walaupun ia sedikit cuma. Bani Melayu Tradisional tidak suka bermewah-mewah atau bermegah-megah. Ini dapat dilihat dari struktur binaan rumah yang berasaskan pokok kayu yang mudah diperolehi dan menggunakan bahan binaan yang semulajadi seperti daun nipah, daun rumbia, buluh dan rotan. Bani Melayu Tradisional juga jarang membina mahligai agam yang besar atau mengumpul bahan galian seperti emas, perak atau berlian seperti sesetengah kaum yang lain. Gaya hidup ringkas mereka menjadikan mereka bebas daripada perasaan tamak haloba, dengki-mendengki, khianat apatah lagi mempunyai nafsu untuk menjajah atau menindas bangsa lain.

Rumah tradisional Melayu

Rumah tradisional Melayu

Sistem Ekonomi Gotong -Royong dan Berkemahiran Mempelbagaikan Sumber Pendapatan menyebabkan masyarakat Bani Melayu Tradisional tidak memerlukan mata wang untuk meneruskan kehidupan. Mereka sejahtera dan harmoni dengan cara hidup mereka yang bebas daripada cengkaman hutang-piutang  dan tidak perlu bergantung kepada bank atau institusi kewangan untuk memenuhi keperluan hidup. Tidak seperti masyarakat moden, mereka hidup secara individualistik dan terpaksa berhutang kepada institusi kewangan demi memenuhi keperluan kehidupan menyebabkan ramai yang sengsara dan menderita. Tanah Melayu sejahtera dan kaya-raya bukanlah disebabkan bahan-bahan galian tetapi gaya hidup dan sistem ekonomi tradisionallah yang membantu kerukunan mereka. Sifat ekonomi tradisional Bani Melayu  juga amat jauh daripada sistem ekonomi kapitalis yang tamak haloba dengan mempergunakan sumber semaksimum mungkin untuk menjana kepentingan individu. Sistem kapitalis inilah yang banyak membuatkan dunia ini sengsara dengan hanya segelintir individu mengaut keuntungan dan sistem kapitalis jugalah yang merancakkan budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam masyarakat.

Contoh bagaimana sistem kapitalis yang gilakan keuntungan merosakkan masyarakat

Contoh bagaimana sistem kapitalis yang gilakan keuntungan merosakkan masyarakat

Malangnya hari ini, bangsa Melayu menjadi suatu bangsa yang lemah akibat mereka mengabaikan Sistem Ekonomi Gotong-Royong.  Mereka membiarkan hidup mereka dikuasai sistem ekonomi kapitalis yang menjerat diri mereka sendiri lalu mebuatkan mereka lupa peranan masing-masing dalam membina komuniti yang madani. Walaupun hasil galian yang ditemui di Malaysia semakin banyak seperti emas, perak dan petroleum, tetapi Bani Melayu di Malaysia menjadi semakin miskin dan terhimpit. Mereka lupa bahawa sistem Gotong-Royong yang diamalkan oleh nenek moyang merekalah yang mandatangkan keberkatan lalu menjadikan Tanah Melayu ini kaya-raya sebenarnya, bukanlah bahan-bahan galian yang dijumpai. Bahan-bahan galian ini menjadikan sesetengah mereka semakin tamak hingga menindas golongan yang lain. Mereka juga tidak betah untuk hidup berdikari tetapi hanya mengharapkan bantuan kerajaan.

Pada kurun ke-21 ini, masyarakat yang masih mengamalkan sistem ekonomi tradisional hanyalah Bangsa Amish ( sekumpulan Kristian Protestan dikenali sebagai Anabaptist) yang berasal dari Switzerland. Bangsa Amish dipercayai wujud pada tahun 1693 dan mereka berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1727. Kebanyakannya menetap di Pennsylvania dan Lancaster County.

 

Bangsa Amish tegar mengamalkan cara hidup kurun ke-17 walaupun hidup di kurun ke-21

Bangsa Amish tegar mengamalkan cara hidup kurun ke-17 walaupun hidup di kurun ke-21

Sekalipun mereka hidup secara ortodoks,  beberapa kajian yang dijalankan mengenai bangsa Amish berkaitan ekonomi menghasilkan penemuan  yang amat mengejutkan. Menurut kajian Erik Wesner dari AmishAmerica.com, ramai golongan Amish berjaya dalam perniagaan serta tidak menghairankan jika ramai daripada  mereka bergelar jutawan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka berpendapatan tinggi, antaranya:

1. Mereka mementingkan gotong-royong dan kerjasama dalam masyarakat – Seperti amalan masyarakat Melayu, kaum Amish mementingkan kerjasama dan bantu-membantu. Apabila ada pasangan  yang muda ingin berkahwin, ahli keluarga akan menyediakan tapak untuk membina rumah serta mengumpulkan wang  untuk membeli bahan-bahan binaan. Selepas itu, mereka akan brgotong-royong untuk membina rumah untuk pasangan tersebut. Melalui kaedah ini, mereka tidak perlu berhutang untuk membiyai keperluan perumahan mereka. 

Bangsa Amish bergotong-royong membina rumah

Bangsa Amish bergotong-royong membina rumah

2. Mereka menanam sendiri keperluan makanan harian mereka. Mereka bercucuk tanam, bertani, menternak dan bertukang untuk kemandirian hidup.  Mereka juga menjual hasil-hasil tanaman dan ternakan mereka dan menjana pendapatan lumayan. Kerana mereka menternak secara organik, kebanyakan mereka hidup sihat dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. 

3. Mereka tidak terpengaruh dengan jenama dan hanya membeli barang keperluan yang penting. Mereka tidak membazirkan wang untuk hiburan atau keseronokan. Kadangkala mereka membeli barangan terpakai yang lebih murah.

4. Disebabkan mereka tidak dibenarkan membeli kereta moden, mereka hanya menggunakan pedati kuda untuk pengangkutan dan pertanian. Mereka juga hanya menggunakan eletrik untuk keperluan yang minimum dan tidak dibenarkan membeli peralatan elektronik yang mahal seperti televisyen, telefon dan komputer. Jadi mereka boleh menjimatkan wang yang banyak.

Kaum Amish menggunakan haiwan ternakan untuk bertani. Ini dapat mengelakkan penemaran daripada petrol dan gasolin.

Kaum Amish menggunakan haiwan ternakan untuk bertani. Ini dapat mengelakkan pencemaran daripada petrol dan gasolin.

5.  Golongan Amish ialah antara yang mempunyai simpanan kewangan yang tinggi. Mereka menyimpan sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan, berbanding 6% bagi kebanyakan rakyat Amerika yang lain.

6. Golongan Amish tidak suka berhutang. Jika mereka berhutang sekalipun hanya dalam keadaan terdesak dan mereka akan segera melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin. Berbanding rakyat Amerika yang lain, kebiasaannya mempunyai 3 atau 4 kad kredit setiap seorang dengan hutang  purata US 16,000 seorang.

7. Mereka tidak suka membazir dan suka mengitar semula setiap bahan yang berlebihan. Mereka kekal mengamalkan hidup yang sederhana.  Mereka tidk makan di rangkaian restoran makanan segera atau berbelanja di butik yang mahal mahupun minum di kedai kopi moden yang menghidangkan kopi biasa tetapi harganya terlajak mahal. 

8. Golongan Amish biasanya akan menyumbang semula kekayaan mereka kepada masyarakat. Kebiasaannya, komuniti Amish akan menggunakan wang yang dikumpulkan bagi menyediakan kemudahan pinjaman kewangan bagi golongan muda untuk keperluan hidup dan memulakan perniagaan. Kadar faedah yang dikenakan juga rendah.  Melalui program ini, mereka dapat berbakti dan membantu golongan yang memerlukan.

Jika dilihat dari pelbagai sudut, gaya hidup masyarakat Amish tidak banyak bezanya dengan masyarakat Melayu Tradisional. Namun Bangsa Amish berjaya mengekalkan jati diri mereka sekalipun mereka diasak kemodenan manakala Bani Melayu tewas dalam mengekalkan gaya hidup mereka bahkan mereka telah hanyut dibawa arus kemodenan dan telah lama meninggalkan ajaran nenek moyang mereka.

Kesimpulannya, bolehlah dirumuskan bahawa Corak Ekonomi Masyarakat Melayu Tradisional yang berdasarkan 3 konsep utama iaitu: Gotong-Royong, Mempelbagaikan Sumber Pendapatan dan Kesederhanaan ialah rahsia yang menyebabkan Masyarakat Melayu Tradisional hidup selesa dan sejahtera lalu melahirkan sebuah negara yang madani lagi harmoni. 3 konsep utama inilah yang menjadi rahsia kemakmuran ekonomi Tanah Melayu sekalipun tanpa kewujudan bahan-bahan galian seperti emas, perak, berlian atau petroleum. Ia juga menjadi bukti bahawa kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa, bukannya pada banyaknya harta yang dimiliki.

~RAZI AHMAD~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: