ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Bagaimanakah Caranya Syaitan Mengawal Manusia?

Posted by kurator on May 16, 2013

Jalan-jalan untuk syaitan menyusupi hati manusia amat banyak. Imam Al-Ghazali Rahimahullah telah menyenaraikan 7 cara utama  yang menyebabkan seseorang manusia itu dikawal oleh syaitan:

1) MARAH

Kemarahan yang meluap-luap dapat menutup akal kewarasan. Marah mendedahkan seseorang itu menjadi sasaran syaitan. Sebab itulah akal yang waras perlu dilindungi, kerana ia adalah benteng yang paling kukuh dalam menghadapi hasutan syaitan dan tipu daya iblis.

Seorang wali Allah bertanya kepada iblis: “Cuba engkau terangkan bagaimana engkau menawan anak Adam?”

Iblis menjawab: ” Aku tawan dia ketika dia marah dan ketika dia bernafsu.”

Rasulullah SAW berpesan supaya jangan dilayan nafsu marah. Baginda SAW menegaskan: “Jangan dikuasai marah.”

2) NAFSU SYAHWAT

Ini merupakan pintu yang paling terdedah bagi syaitan menyelinap masuk dalam diri seseorang. Ia merangkumi nafsu syahwat terhadap makanan, hubungan kelamin, memiliki harta dan lain-lain.

Menyedari hal ini amat serius, Islam telah mengatur cara-cara untuk memenuhi tuntutannya dan menerangkan tatacara dan batasan yang patut dijaga. Dengan demikian, syaitan tidak ada peluang untuk merosakkan anak Adam melalui pintu-pintu nafsu syahwat.

Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya jangan makan keterlaluan : ” Tidak ada bekas yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih buruk dari perutnya sendiri.”

Rasulullah SAW juga menyuruh kita mengawal keserakahan nafsu seks: ” Jika anda dapat menjamin kepadaku dengan menjaga anggota antara misai dan janggutmu dan (anggota) antara dua pehamu, maka aku jamin syurga untukmu.”

Rasulullah SAW juga menerangkan tentang erti kekayaan: ” Kaya bukan (semata-mata) banyak harta, tetapi kaya yang sebenar ialah kaya budi dan tenang jiwa.”

3) TERGESA-GESA

Sifat tergesa-gesa menyebabkan seseorang itu terjebak dalam kesusahan dan syubhah. Sifat gelabah juga boleh mendatangkan masalah.

Selain daripada itu, tergesa-gesa dan tidak berhati-hati terutamanya dalam mengadili dan menjatuhkan hukuman juga boleh menyebabkan fitnah dan tragedi dalam kepada jemaah.

Rasulullah SAW telah memberikan amaran: ” Sifat tergesa-gesa itu datangnya dari syaitan (manakala) sifat cermat dan berhati-hati datangnya dari Allah SWT.

4) HASAD DENGKI

Antara senjata syaitan yang paling ampuh ialah hasad dengki. Sifat ini memudarkan kewarasan dan kebijaksanaan. Seseorang boleh berubah dan dikongkong oleh sifat hasad dengkinya.

Ini boleh mendorongnya melakukan apa sahaja, walaupun secara menyeleweng untuk menjebak manusia yang dia  mempunyai hasad dengki kepadanya. Hasad dengki wujud kerana beberapa sebab: Perasaan Permusuhan, Perasaan Benci, Merasakan Diri Lebih Mulia, Takabbur, ‘Ujub, Takut Terlepas Sesuatu Habuan, Ghairah Menjadi Ketua, Ghairahkan Populariti dan Busuk Hati.

5)KEDEKUT

Syaitan berpeluang mudah untuk menguasai anak Adam dengan sifat kedekut dan takut papa. Kedua-dua sifat ini menghalang seseorang daripada berkorban harta dan nyawa di jalan Allah SWT. Ia menghalang seseorang membantu orang yang susah. Ia juga melemahkan rasa simpati dan sifat peri kemanusiaan seseorang.

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (Jika kamu bersedekah atau berderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut) sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” (Al-Baqarah ; 268)

Sufyan berkata: Tidak ada senjata yang ada pada syaitan yang paling ampuh daripada senjata takut miskin. Kalau termakan dengan senjata itu, maka seseorang akan mula menurutkan kebatilan, tercegah daripada menyatakan kebenaran, mulalah ia bercakap menurut nafsu dan menyangka buruk terhadap Tuhannya.”

6) TAKABBUR

Sifat takabbur dan ghurur juga merupakan penyakit yang merbahaya. Sifat inilah yang menyebabkan iblis digugurkan darjatnya sebagai malaikat dan ia dicampakkan ke bumi dari langit. Kerana itulah Rasulullah SAW selalu berlindung daripada sifat ini.

Di kalangan manusia, ramai yang tidak sedar mereka boleh terjebak bila-bila masa dalam perangkap takabbur. Mereka diperdayakan oleh sifat takabbur dengan harta, pangkat, kedudukan, ilmu, ibadah, jawatan, gelaran, dan ramainya pengikut dan penyokong.

7) BURUK SANGKA TERHADAP MUSLIM YANG LAIN

Ini juga merupakan laluan Syaitan untuk mencantas tali mahabbah dan silaturrahim. Ia menggugat keutuhan ummat Islam dan menjadi punca fitnah, dan berleluasanya bala bencana.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat; ayat 12 :”Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Rasulullah SAW juga menasihatkan: ” Jauhilah tempat-tempat yang menimbulkan sangkaan ( yang bukan-bukan)”

Atasi kehangatan hasutan syaitan dengan berwuduk dan bersolat

Atasi kepanasan api kemarahan dan hasutan syaitan dengan berwuduk dan bersolat

Daripada; Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah, Oleh Syeikh Fathi Yakan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: