ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Memberi dan Merahsiakan Pemberian; Kisah Yossele Si Bakhil Yang Mulia

Posted by kurator on May 13, 2013

Kisah Yossele yang digelar Si Bakhil Yang Mulia merupakan suatu kisah yang amat terkenal di kalangan masyarakat Eropah Timur pada zaman pertengahan. Yossele dan kaumnya, Yahudi Kazimierz, tinggal di Krakow, Poland.

Kisah Yossele ini dirakamkan di dalam kisah lagenda kaum Yahudi sebagai suatu tauladan tentang kepentingan sifat ‘Memberi Dan Merahsiakan Pemberian’. Sifat ini merupakan tahap tertinggi dalam amalan melakukan kebajikan (tzedakah).

Si Kedekut

Yossele Si Bakhil?

Lagenda Yossele

Menurut ceritanya, pada abad ke-17 kebanyakan penduduk Krakow hidup dihimpit kemiskinan. Yang kaya-raya hanya seorang iaitu Yossele. Dialah satu-satunya Yahudi yang paling kaya di Kraków .   Tetapi, di kalangan masyarakat, namanya amat busuk dan dia cukup dibenci kerana sifatnya yang bakhil. Ini kerana dia  enggan untuk menyumbang kepada kebajikan  dan menderma walaupun dia hidup kaya-raya. Setiap yang datang meminta pasti akan dikecewakannya.

Dia dikenali sebagai Si Bakhil hinggalah tiba saat kematiannya.

Sewaktu di ambang kematian, beberapa pendita Yahudi mendatanginya; ” Yossele, kau tahu bahawa harta tak dapat mengikutmu ke kubur. Selama ini, kau tidak pernah bersedekah sepanjang hayat. Bersedekahlah beberapa ribu Rubles, dapatlah kami bersiap sedia untuk pengebumianmu. Selebihnya, dapatlah diberikan kepada fakir miskin. Nescaya harumlah namamu.”

“Maafkan aku. Aku hanya mampu beri dua puluh Rubles.”

“Kalau begitu, kami enggan menguruskan jenazahmu.”

“Tidak mengapa. Aku akan uruskan jenazahku sendiri.”

Melihatkan kedegilan Yossele, pendita-pendita Yahudi itu pun berlalu meninggalkannya. Setelah beberapa ketika, maut pun menjemput Yossele. Terbaringlah dia di kamar perbaringan seorang diri.

Kerana kebencian penduduk bandar kepadanya, mayatnya dibiarkan. Tiada sesiapa yang mahu menguruskan dan mengebumikan jenazahnya.

Hari demi hari berlalu. Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu. Sudah beberapa hari mayat Yossele tidak dipedulikan. Semua penduduk bandar mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan jenazah Yossele.

Atas dasar kasihan, seorang jirannya berasa bertanggungjawab menguruskan mayat  Yossele. Senyap-senyap dia mengangkat mayat Yossele ke atas pedatinya. Supaya perbuatannya tidak diketahui, dia terpaksa menggali kubur Yossele jauh di belakang kawasan tanah perkuburan Yahudi, di suatu kawasan perkuburan orang-orang buangan masyarakat serta golongan gelandangan. Tanahnya digali, mayatnya dicampakkan dan jasadnya dikambus dengan tanah. Setelah siap, jirannya pun berlalu pergi.

Keanehan Berlaku

Seminggu selepas kematian Si Bakhil itu, kejadian aneh mula terjadi di bandar. Semua orang miskin tiba-tiba berkumpul mengerumuni Pendita Yahudi (Rabbi) bandar itu untuk meminta bantuan daripadanya.

“Reb Kalman. Bantulah saya. Saya tidak ada wang nak beli makanan. Sudah beberapa hari saya tidak makan,”kata seorang miskin dalam lingkungan lima puluhan.

“Saya akan cuba usahakan. Tapi sebelum ini saya tidak pernah lihat wajahmu meminta bantuan. Apa yang terjadi?”

“Sebenarnya, setiap hari Khamis, seseorang akan menyelitkan sampul berisi wang 15 Rubles di bawah pintu saya sejak 10 tahun yang lalu. Siapa orangnya, saya pun tidak tahu. Minggu lepas, tiba-tiba tiada lagi wang yang diberikan. Saya pun amat terdesak sekarang.”

Setelah beberapa minit, datang pula seorang wanita yang tua berpakaian lusuh menemui Rabbi.

“Tuan, tolonglah saya. Cucu-cucu saya di rumah sedang menangis kelaparan. Kami di rumah hampir kebuluran.”

“Ya, nenek. Apa yang berlaku?”

“Begini. Selama ini, setiap minggu, saya akan menjumpai sampul surat berisi 20 Rubles di celah pintu. Dengan wang itulah kami meneruskan kehidupan setiap hari. Tetapi minggu ini tiada lagi wang yang diselit. Sudah beberapa hari saya tunggu tetapi tetap tidak kunjung tiba. Saya pula sudah tua dan tiada pekerjaan. Bantulah kami, Rabbi.”

Selepas nenek itu berlalu, makin ramai yang datang mengerumuni Rabbi.  Barulah dia sedar rupa-rupanya golongan miskin amat ramai di bandar Krakow. Setiap seorang daripada mereka menceritakan bagaimana mereka mendapat bantuan setiap minggu oleh seseorang yang misteri.  Orang itu tidak pernah menunjukkan wajahnya tetapi hanya meningggalkan wang derma di pintu rumah mereka.

Penemuan mengejutkan

Rabbi yang musykil itu mula menjalankan siasatan untuk mencari penderma yang dermawan tersebut. Setelah diselidiki, Rabbi mendapati bahawa segala derma yang diberikan kepada orang-orang miskin di Krakow itu datangnya daripada Yossele.

Setiap kali didatangi peminta sedekah, Yossele akan menjemput mereka masuk ke rumah. Dia akan bertanya nama mereka, rumah kediaman, masalah mereka dan berapakah wang yang diperlukan. Selepas dicatat kesemua maklumat yang diperlukan, Yossele tiba-tiba menjadi garang dan menghalau mereka keluar dari rumahnya. Tidak cukup dengan itu, dia akan menghina mereka dengan kata-kata kesat.

Anehnya, bantuan berupa sampul berisi wang akan ditinggalkan di rumah mereka tidak lama selepas mereka bertemu Yossele. Rupa-rupanya, Yossele yang terkenal dengan gelaran Si Bakhil itulah yang membantu mereka selama ini. Dia sebenarnya  merupakan seorang  Tzadik  (orang budiman) yang sejati.

Serta-merta, Rabbi memerintahkan seluruh bandar untuk berkumpul di kubur Yossele dan memohon ampun kepadanya. Pada batu nisan yang tertera “Yossele Yang Bakhil,” Rabbi menambah perkataan HaTzadik– orang yang budiman.

Kubur Yossele; batu-batu sekeliling kuburnya menggambarkan penghormatan terhadapnya

Kubur Yossele; batu-batu sekeliling kuburnya menggambarkan penghormatan terhadapnya

Menurut kisahnya, Rabbi itu bernama Yom Tov-Lipmann Heller. Dia  meminta untuk dikebumikan bersebelahan dengan kubur Si Bakhil Yang Mulia itu.  Kerana itulah, kubur Rabbi Yom Tov dapat ditemui bersebelahan dengan kubur Yossele di belakang Perkuburan Remuh hingga ke hari ini.

Kisah ini menjadi contoh tentang amalan sedekah yang paling hebat iaitu: ‘Memberi Dan Merahsiakan Pemberian’

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: