Bagaimana Mendamaikan Orang Islam Yang Bersengketa?
Posted by kurator on May 13, 2013
Salah faham dan konflik di kalangan manusia sesama Islam memang merupakan sesuatu yang tak dapat dielakkan. Kata orang, sedangkan lidah lagikan tergigit. Konflik dan salah faham merupakan rencah dan resam kemanusiaan.
Kadangkala sesuatu konflik yang kecil itu boleh merebak menjadi persengketaan yang besar. Apatah lagi jika ada campur tangan pihak ketiga yang gemar mengambil kesempatan di atas masalah orang lain.
Sejarah juga telah mencatatkan begitu banyak persengketaan yang berlaku di kalangan umat Islam. Ia merupakan suatu kerugian yang amat besar kerana persengketaan umat Islam telah menyebabkan golongan kuffar berjaya mengambil kesempatan dan menjana keuntungan dengan mengeksploitasinya.
Bagaimanakah pula caranya untuk mendamaikan Orang Islam yang bersengketa?
Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Mengetahui sebenarnya telahpun menggariskan beberapa kaedah yang amat tepat dan paling adil di dalam proses mendamaikan Orang Mukmin yang bersengketa. Kaedah-kaedah ini dijelaskan di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 9-10:
(1) Dan kalau ada dua golongan dari kalangan Orang Mukmin itu bersengketa, hendaklah kamu damaikan antara keduanya!
Menjadi tanggungjawab umat Islam untuk meleraikan persengketaan di kalangan saudara seagama mereka. Allah SWT menyuruh setiap Muslim agar mengambil peduli. Masing-masing perlu memainkan peranan. Terutamanya untuk mengelakkan persengketaan itu daripada berlarutan dan melibatkan lebih ramai mangsa keadaan. Tidak mustahil api yang kecil boleh menghanguskan sebuah rumah yang besar, jadi bertindaklah sebelum terlambat.
(2)Tapi kalau salah satu daripada keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan)yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu itu kembali kepada perintah Allah.
Di dalam sesuatu konflik, pastilah ada pihak yang menzalimi dan dizalimi. Oleh sebab itulah, Allah SWT menekankan aspek yang amat penting dalam proses perdamaian iaitu nasihatkan pihak yang zalim supaya bertaubat terlebih dahulu. Orang yang berlaku zalim wajib mengaku kesalahannya dan kembali kepada perintah Allah SWT.
Jika si zalim itu mengambil harta atau merampas tanah yang bukan haknya, dia wajib memulangkannya. Jika si zalim menipu, memfitnah dan berbohong, wajib baginya meminta ampun kepada orang yang difitnah dan memaklumkan kepada masyarakat tentang pembohongannya. Jika si zalim menindas saudaranya, wajib baginya menerima hukuman dan membayar ganti rugi. Jika si zalim mengkhianati perjanjian, wajib baginya mematuhi semula perjanjiannya. Jika si zalim menyekat proses keadilan, dia wajib membebaskan proses keadilan daripada dikongkong dan diperkudakan.
Jika orang zalim itu berdegil, menjadi kewajipan kita pula untuk memerangi si zalim sehinggalah dia bertaubat.
Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini, walaupun orang yang berlaku zalim itu orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat ataupun dia merupakan kawan karib kita.
Jika si zalim masih meneruskan kezalimannya, umat Islam perlu menumpukan usaha untuk memerangi kezaliman tersebut sehinggalah dia sedar akan kesalahannya dan kembali kepada perintah Allah SWT.
(3) Jika golongan itu telah kembali(kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil.
Hanya setelah orang yang berlaku zalim itu bertaubat, meminta ampun dan memulangkan hak kepada pihak yang dizalimi, barulah boleh diteruskan proses perdamaian dan perpaduan. Selagi si zalim belum bertaubat, berlaku sombong dan enggan mengaku kesalahan, selagi itulah kita wajib menentangnya.
Ramai yang keliru dalam hal ini. Mereka menyangka perpaduan umat Islam itu cukup dengan bermaaf-maafan dan bersalam-salaman. Ramai juga yang menyeru kepada perpaduan umat Islam tetapi terlupa untuk menentang kezaliman.
Walhal perdamaian sebenar tidak akan terjadi jika kita tidak menghentikan kezaliman dan memulangkan hak orang yang dizalimi. Proses perdamain bermula apabila orang yang dizalimi itu berpuas hati dan mendapat ketenangan dan orang yang zalim itu berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.
Hanya setelah kesemua proses di atas dilakukan, barulah boleh kita teruskan dengan mendamaikan kedua-duanya dengan berlandaskan prinsip keadilan.
Dan Allah SWT mencintai orang yang berlaku adil. Antara sebab umat Islam diangkat martabatnya ialah kerana mereka konsisten menjunjung keadilan dan menentang kezaliman dan tidak prejudis terhadap status, bangsa ataupun warna kulit.
(4)Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.
Sekali lagi Allah SWT mengingatkan bahawa orang beriman adalah bersaudara, dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyelesaikan pertelagahan mereka sehinggalah terhasil perdamaian. Ia juga merupakan salah satu lambang ketaqwaan terutamanya dengan menjunjung tinggi prinsip keadilan berasakan ajaran Islam. Perpaduan dan kedamaian tidak akan terlaksana tanpa tertegaknya keadilan. Hanya dengan perdamaian dan keadilan, barulah Allah SWT akan menurunkan rahmatNya kepada kita.

Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara. Pelajarilah erti persaudaraan daripada persahabatan kanak-kanak yang lebih ikhlas tanpa sebarang prejudis dan agenda peribadi.
Leave a Reply