ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Sepinggan Nasi, Segelas Air: Terima Kasih Atas Rezeki-Mu Ya Allah

Posted by kurator on May 8, 2013

makana

Alhamdulillah Ya Allah, atas rezeki Mu, Sepinggan Hidangan ini.

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim..

Terima kasih Ya Allah di atas rezeki Sepinggan Hidangan yang Kau kurniakan ini..

Di atas  pingganku  ini, ada beratus-ratus butiran nasi. Asal bijiran ini tidaklah aku ketahui dari mana? Mungkin dari Kedah. Mungkin dari Thailand. Atau dari Vietnam. Atau dari India. Mungkin juga dari Pakistan. Berpenat lelah para petani menanamnya. Ada yang menggunakan kerbau lembu untuk membajak. Ada juga yang menggunakan jentera berat. Para petani bertungkus lumus  menyemai benih, menuai dan mengutip hasil dengan kudrat dan keringat mereka. Ia mengambil masa berbulan-bulan dengan penuh sabar dan ikhlas. Lalu diproses, dipaket di kilang-kilang dan dibungkus. Lalu dihantar ke seluruh dunia dengan lori, kapal atau kapal terbang. Lalu dengan izin-Mu, terhasillah beratus-ratus butiran nasi di atas pingganku ini.

Di atas pingganku ini juga, ada seekor ikan kembung. Asalnya mungkin bukan dari Laut China Selatan?  Mungkin datangnya dari Lautan Hindi. Mungkin dari Lautan Pasifik, atau Lautan Atlantik. Tiada siapa yang tahu. Jauh ia merantau. Mungkin ia sudah pernah singgah ke laut Hitam, laut Baltik, atau ke Laut Maditerranean, Laut Carribean, Semenanjung Crimea mahupun ke Kepulauan Bermuda. Tapi disebabkan takdir yang telah Engkau suratkan, jadilah ia makanan tengahariku kini.

Alhamdulillah di atas rezekiMu sambal sotong ini. Aduh enaknya. Sotong ini pun seperti saudaranya, ikan kembung, datangnya dari lautan yang luas. Sang Nelayan bermudik ke lautan meredah ombak dan halilintar demi mencari rezeki. Walaupun di dalam hati mereka terselit rasa bimbang apakah nasib yang bakal menimpa, namun segala-galanya diserahkan kepadaMu. Dengan takdir-Mu, dapatlah sotong ini dipukat, lalu dibawa ke darat. Di pelabuhan, tersedia menanti para peraih yang bangun seawal 3 pagi menunggu hasil tangkapan. Lalu dingkut hasil tangkapan itu dan di bawa ke pasar-pasar. Alhamdulillah, sampai jua seekor sotong di atas pingganku dengan izinMu.

Dengan rahmatMu juga, dapatlah aku mencicip sup ayam ini. Asalnya dari telur ayam yang dieram, ada yang menetas  ada yang pecah di tengah jalan. Ada juga telur yang diambil oleh penternaknya. Setelah telur itu menetas, diternak pula beberapa tahun, diberi makan serdak, jagung ataupun beras. Sungguh sedikit ilmu kami ya Allah, hingga kini kami masih lagi belum tahu, tentang yang manakah wujud terlebih dahulu. Telurnya  atau ayamnya yang dijadikan terlebih dahulu? Sungguh, hingga kini kami masih keliru. Hanya Engkau sahaj yang tahu jawapannya. Tetapi dengan rahmatMu, dapat ku rasa sedapnya daging ayam ini.

Belum lagi dihitungkan nikmat-nikmatMu yang lain. Ada pula sambal belacannya dari Bandar Hilir. Ada pula budu ikan bilis dari Ketereh. Ada pula cencaluk dari Alor Gajah. Ada pula tempoyak durian Musang King dari Taiping. Begitu juga dengan ikan sepat pekasam dari Chenderoh yang diperam lama. Masya Allah. Luas sungguh nikmatMu.

Begitu juga dengan ilham yang kau berikan kepada insan yang memasak makanan ini. Bukannya mudah. Bertahun-tahun pengalaman dan proses pembelajaran diperlukan untuk menghasilkan makanan sesedap ini. Seimbang masin, manis, masamnya. Ada resepi yang berasal beratus tahun dahulu dari tamadun Cina. Ada yang berasal dari India. Ada juga resepi yang berasal dari tamadun eropah. Ada juga yang berasal dari Thailand. Ada juga yang menjadi resepi rahsia nenek moyang kami yang terdahulu. Belum lagi dengan rempah ratus dan bahan-bahan masakannya. Ada kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, jintan, garam halus, garam kasar, gula pasir, gula kabung, gula Melaka, kerisik, minyak kelapa sawit, minyak zaitun, cuka, lada putih, lada hitam, lada sulah, rempah sup, rempah kurma, serbuk cili, cili kering, rempah kari, kicap pekat, sos tiram, sos ikan, santan dan macam-macam lagi. Masya Allah.  Sungguh, amat besarlah nikmat yang Engkau kurniakan.

Tak dapat difikirkan dek akal betapa besarnya jumlah manusia yang terlibat demi menjayakan proses menghasilkan Sepinggan Hidangan di hadapanku ini.

Bermula dengan petani-petani, nelayan dan awak-awaknya, penternak,  penanam sayur, penanam buah-buahan, penjual baja, penjual racun rumpai, para saintis yang mengkaji hal-ehwal pertanian, peraih-peraih, peniaga-peniaga, penjaja-peniaga, tauke kilang beras, pekerja kilang beras, tauke kilang budu, pekerja kilang budu, mandur, kuli, kontraktor kilang, pembawa lori, pembawa kapal, nakhoda kapal, kelindan, tukang masak,  pengajar sekolah kulinari, pensyarah universiti pertanian, pegawai pertanian, pegawai jabatan perikanan, pengusaha kedai makan, tukang angkut, pekerja sambilan, pekerja kontrak, tukang cuci, tukang kira, tukang lap meja  dan lain-lain lagi. Mungkin beribu-ribu jumlahnya. Wallahi, tak dapat ku hitung betapa ramainya jumlah mereka.

Sesudah makan, dapat pula aku nikmati segelas air sirap limau yang sejuk. Dengan izin-Mu, kau kurniakan air yang bersih tanpa perlu aku bersusah payah menggali perigi. Kau juga ilhamkan manusia dengan ilmu mencipta peti sejuk beku, walhal suatu ketika dahulu, untuk mendapatkan ais, Maharaja Parsi terpaksa menyuruh hamba-hambanya mengambil ais dari puncak gunung-ganang. Manusia juga terpaksa menggali tanah yang dalam untuk menyimpan makanan daripada rosak. Lalu kau ilhamkan kepada Ibnu Sina untuk mencipta kondensor (refrigerated coil) yang pertama.  Lalu ciptaan itu dimajukan William Cullen pada tahun 1748. Pada tahun 1805 pula,  Kau ilhamkan Oliver Evans untuk  menghasilkan mesin penyejuk beku berasaskan proses vapor-compression. Hinggalah pada tahun 1834, Jacob Perkins berjaya diizinkan untuk menghasilkan sebuah unit mesin sejuk beku yang lengkap. Kau jugalah yang mengurniakan kepandaian mencipta pati minuman dengan menggunakan daun pandan, sejenis daun daripada beribu-ribu jenis daun-daunan yang Engkau ciptakan. Masya Allah, di dalam segelas air sirap limau yang sejuk ini, ada nikmatMu yang sangat besar.

Oleh sebab itu, aku yang kerdil lagi hina ini, merasa amat terharu betapa Engkau  masih lagi sudi menganugerahkanku Sepinggan Hidangan yang amat bermakna ini, sekalipun aku ini bukanlah seorang hambaMu yang taat dan tunduk kepadaMu. Banyak sungguh kesalahan yang aku lakukan kepadaMu.

Sungguh, aku merasa malu kepadaMu. Banyak sungguh dosa-dosaku kepadaMu, Ya Allah. Aku ini amat jahil dan degil terhadap perintahMu. Ampunilah dosa-dosa hambaMu yang kerdil ini. Dosa-dosaku tak dapat menandingi nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku.

Sungguh hina aku di hadapanMu, Ya Allah. Aku masih lagi malas beribadah kepadaMu. Anggota tubuh badanku sungguh liat untuk menyembahMu. Lidahku tidak lancar kugunakan untuk berzikir mengingatiMu. Pandangan dan pendengaranku tidak aku gunakan sebaiknya untuk mempelajari ilmu yang bermanfaat kepadaku. Dahiku jarang sekali aku gunakan untuk bersujud kepadaMu. Sebaliknya aku menyalah gunakan anggota tubuhku yang Engkau kurniakan untuk melakukan maksiat kepadaMu.

Mulianya Engkau, Ya Allah, Engkau  masih lagi sanggup mengurniakan rezekiMu yang luas kepada hambaMu yang berdosa ini. Benarlah Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Jadikanlah  aku Ya Allah, hambaMu yang Bersyukur.

Ya Allah, berkatilah kami, atas apa jua kurniaan yang Kau rezekikan ke atas kami , dan jauhkanlah kami daripada azab api nerakaMu.

Ya Allah bantulah aku dalam mengingatiMu, dalam mensyukuri nikmatMu dan beribadah sebaiknya kepadaMu.

Amin Ya Rabbal Alameen.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: