ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Hakikat Rezeki Dan Kejayaan Yang Sebenar.

Posted by kurator on May 2, 2013

Kebanyakan manusia cenderung untuk mendefinisikan rezeki sebagai perkara yang diperlukan untuk kemandirian hidup semata-mata seperti wang, makanan, minuman, pakaian yang bersifat kebendaan. Selain daripada itu, kita turut mempunyai kecenderungan untuk mengukur kejayaan hidup seseorang hanya berdasarkan aspek materialistik seperti harta, pengaruh, jawatan dan kemewahan. Kecenderung kita untuk menyempitkan makna rezeki dan kejayaan inilah yang telah menyebabkan kebanyakan manusia telah pun diprogram untuk melihat rezeki dan kejayaan daripada perspektif yang dangkal.

Ia bermula dengan sistem pendidikan kita. Sistem pendidikan kita telah diprogramkan untuk memesongkan maksud rezeki dan kejayaan yang sebenar. Dari tadika, sekolah hinggalah ke universiti, kita telah dipaksa untuk mempercayai bahawa untuk menjadi berjaya dalam hidup, kita perlu mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.  Kemudian kita pula dipaksa untuk percaya bahawa hanya beberapa jurusan atau bidang tertentu sahaja yang dapat memberikan pendapatan yang lumayan. Kita juga disuruh memilih universiti yang hebat kerana kita dimomokkan bahawa hanya universiti yang terkenal akan menjadikan kita orang yang hebat.

Institusi Pendidikan Hanya Menghargai Pelajar Yang Cemerlang Dalam Peperiksaan

Institusi Pendidikan Kita Lebih Bersifat Exam-Oriented dan Gagal Bersifat Holistik

Setelah itu kita pun berduyun-duyun masuk ke alam pekerjaan. Sewaktu bekerja pula, kita diprogramkan untuk percaya bahawa untuk mendapat rezeki yang banyak, kita perlu menuruti kehendak majikan. Kita terpaksa membodek, mengipas dan mengampu majikan untuk berjaya dan naik pangkat. Segala kesalahan dan kesilapan yang majikan kita lakukan diiyakan walaupun ia bertentangan dengan kehendak Allah SWT. Kita juga sanggup menipu dan menyalah guna kuasa semata-mata untuk naik pangkat. Sikap tikam belakang juga diamalkan semata-mata ingin menyelamatkan mata pencarian. Kita sanggup lihat orang lain merana semata-mata kerana  ingin menjaga periuk nasi sendiri. Yang penting, kita berjawatan tinggi, berpangkat besar, berpendapatan mewah, berkereta mewah, berumah besar dan berpengaruh hebat.

Hakikat Rezeki

Hakikatnya, yang menentukan rezeki bukanlah keputusan peperiksaan yang cemerlang, jurusan ataupun universiti yang ternama. Yang menentukan rezeki dan kejayaan seseorang juga bukanlah kerjaya, jawatan, gelaran, pangkat mahupun gred gaji seseorang. Yang menentukan kejayaan seseorang pula bukanlah rumah yang besar, kereta yang mewah, simpanan wang yang banyak dan penyokong yang ramai.

Hakikat sebenar yang perlu disedari adalah, rezeki dan kejayaan seseorang perlulah diukur daripada aspek yang telah ditetapkan oleh Pemberi Rezeki dan Pencipta Semua Makhluk iaitu Allah SWT.

Rezeki mempunyai pengertian yang amat luas bukan setakat pendapatan, makanan, pakaian semata-mata.  Bagi setiap hamba Allah, nikmat Islam, Iman dan Ehsan ialah rezeki yang paling besar. Bagi seorang pelajar, ilmu yang bermanfaat dan bertambah merupakan suatu  rezeki. Bagi seorang lelaki, isteri yang solehah dan mendamaikan jiwa adalah rezeki. Bagi seorang wanita, suami yang dapat membimbingnya ke jalan Allah SWT dan menyayanginya adalah rezeki. Bagi seorang ibu atau bapa, anak yang soleh merupakan rezeki yang amat bernilai. Bagi orang yang sakit, kesihatan adalah rezeki yang sangat bermakna. Sahabat atau jiran yang baik dan sentiasa membantu juga merupakan rezeki atau anugerah. Pengalaman hidup pun merupakan suatu rezeki yang berharga. Bagi setiap manusia pula, ketenangan jiwa dan fikiran merupakan rezeki yang tiada taranya.

Kejayaan juga tidak boleh disukat dengan ketinggian pangkat, gelaran-gelaran terhormat, besarnya kereta, besarnya mahligai kediaman atau banyaknya wang dan emas permata. Kejayaan perlulah berlandaskan skema pemarkahan yang telahpun ditetapkan oleh Pencipta kita, Rabbul Jalil, Allah SWT.

Ingin ditekankan, bukanlah mempunyai keputusan peperiksaan yang cemerlang itu tidak bagus. Bukanlah berjawatan besar itu tidak elok. Bukanlah bermakna berkereta besar atau berumah besar itu tidak baik. Tetapi, apa yang penting, janganlah beri’tiqad bahawa hanya kecemerlangan akademik sahaja yang boleh menyebabkan kita berjaya dalam hidup dan menganggap kawan kita yang kurang cemerlang bakal gelap masa depannya. Jangan pula apabila kita berjawatan tinggi, kita memperlekeh-lekehkan orang yang berada di bawah kita. Janganlah pula menjadi sombong, riyak dan takabbur bila dianugerahkan kemewahan, kekayaan dan kemasyhuran. Janganlah pula terpesong aqidah dengan mengatakan hanya majikan atau kerajaan sahaja yang mampu memberi rezeki, kerana itu boleh membuatkan kita jauh daripada Allah SWT.

Yang ingin ditegaskan adalah, kita perlu sedar tentang prinsip utama kehidupan kita iaitu; Hanya Allah SWT sahajalah yang mampu memberi segala rezeki, keberkatan dan kebaikan. Allah SWT jugalah yang berupaya menarik semuanya hingga hilang hatta dalam sekelip mata.

rezeki

Mengundang Rezeki Lebih Penting Daripada Mencari Rezeki

Setiap hari kita melihat manusia berpusu-pusu keluar mencari rezeki. Ada yang keluar dari pagi hingga malam. Ada yang mengembara beribu-ribu kilometer. Ada yang menuju nun jauh ke lautan. Ada yang meninggalkan keluarga berbulan-bulan. Ada yang bekerja setiap masa tanpa henti dari muda hingga ke tua.

Untuk mendapatkan rezeki pula, ada yang sanggup menipu dan merampas harta orang lain. Ada yang sanggup berbunuh-bunuhan. Ada yang sanggup melakukan pekerjaan yang terkutuk dan hina. Ada juga yang sanggup melanggar larangan Allah seperti riba dan rasuah.

Namun anehnya rezeki yang dicari tidak cukup-cukup. Makin dibanting kudrat, tidak cukup juga hasilnya. Makin dikumpul, makin berkurangan. Ada yang gaji berpuluh ribu, hujung bulan licin juga. Hutang-hutang pun bertimbun. Ke mana pergi wangnya pun tidak diketahui.

Semua ini terjadi kerana ramai yang tidak mengerti tentang hakikat sebenar rezeki. Kita perlu tahu bahawa rezeki kita sebenarnya ditetapkan oleh Pemberi rezeki iaitu Allah SWT. Yang menentukan rezeki kita bukan pekerjaan atau jawatan kita. Yang menentukan rezeki bukan majikan atau bos kita. Tetapi kita perlu yakin dan beri’tiqad bahawa yang menentukan qada’ dan qadar serta rezeki kita hanya Allah SWT semata-mata.

Apabila kita sedar bahawa Allah SWT ialah satu-satunya Pemberi rezeki dan  rezeki kita ditulis oleh Allah SWT, tidak ada gunanya kita mencari rezeki bermati-matian jika Allah SWT tetap tidak izinkan kita untuk memilikinya.

Oleh sebab itu, kita perlulah mendahulukan perbuatan mengundang rezeki sebelum mencari rezeki. Apabila sudah tahu dimanakah terletaknya rezeki, pastilah lebih mudah untuk kita mendapatkannya berbanding dengan membuang masa mencarinya.

Di manakah terletaknya rezeki? Rezeki terletak hanya di tangan Pemberinya semata-mata iaitu Allah SWT. Dialah yang membuka dan menutup pintu rezeki. Dialah yang menambah dan mengurangkan rezeki.

Bagaimanakah pula caranya untuk mengundang rezeki? Kita perlulah melakukan segala suruhannya dan tinggalkan semua larangan yang dikehendaki oleh Pemberi rezeki. Yakinlah dengan janji-janjiNya. Pujilah Dia. Bodeklah Dia. Ampulah Dia. Sayangilah Dia. Sayangilah orang yang disayangiNya. Mohonlah kepadaNya. Dan janganlah berputus asa dengannya. Berbuat baiklah sebagaimana disuruh sesama makhluk. Jalinkan silaturrahim sesama insan sebagaimana yang diperintahkanNya. Sebarkanlah dan berkongsilah kepada makhluk yang lain tentang perkhabaranNya dan ancamanNya. Ceritakanlah kepada manusia lain tentang kehebatanNya.

Janji-Janji Allah SWT dalam memberi rezeki:

1) Bertaqwa : Bertaqwa merupakan syarat utama untuk menjemput rezeki. Taqwa bermaksud takut kepada Allah dengan mengelakkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan menahan diri daripada dosa. Melakukan segala suruhan Allah SWT juga merupakan suatu bentuk ketaqwaan.

2)  Bersolat: Sabda Nabi Muhammad SAW: ” Solat ialah salah satu perkara yang disukai oleh Allah S.W.T. Ia juga perbuatan yang dicintai oleh para malaikat,dan ianya adalah sunnah Ambiyaa` Alaihi Mussolatu Wassalam, Nur (cahaya) kepada maar`ifah dicapai dan doanya diterima, dan keberkatan rezeki didapati.”

Sahabat Nabi juga penah berkata: “Apabila isi rumah dan bekalan makanan di rumah Nabi S.A.W berkurangan dan tidak ada, Baginda menyuruh isi rumahya menunaikan solah dan membaca ayat:

” Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah Yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan Yang baik adalah bagi orang-orang Yang bertaqwa.” (Taha :132)

3) Bersegera Untuk Allah SWT: Nabi Muhammad bersabda: “Tuhanmu telah berfirman: ‘Wahai anak Adam,sempatkanlah untuk beribadah kepadaKu, maka Aku akan penuhi hatimu dengan rasa kaya dan Aku akan penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki. Wahai anak Adam, janganlah kamu menjauhi Aku, maka Aku akan memenuhi hatimu dengan kefakiran dan kedua-dua tanganmu dengan kesibukan’.”- H.R Imam Al-Hakim daripada Mu’aqqal bin Yassar r.a.-

4) Istighfar:  Saidina Abbas R.Anhu meriwayatkan bahawa Nabi .S.A.W bersabda, “Seseorang yang kerap mengucapkan istighfar,yang mana ianya meminta keampunan dari Allah S.W.T atas dosa yang dia telah buat,maka Allah S.W.T akan membuka jalan-jalan penyelesaian dari kemiskinan dan kesusahan. Segala penderitaan dan kesusahan akan dialihkan dan pada tempatnya kemakmuran dan kesejahteraan akan didapati yang mana seseseorang itu akan menerima rezeki dari sumber yang tidak diketahui dan tidak dijangka sumbernya.”

5) Tawakkal:  Tawakkal pada Allah S.W.T boleh diterjemah dan ditakrifkan sebagai berharap sepenuhnya pada Allah S.WT di dalam penerangan yang lebih terperinci ianya bermaksud seratus peratus  berserah dan berharap pada Allah SWT akan memberi rezeki. Tawakkal juga menggesa kita   mempercayai bahawa jika semua mahluk ciptaanAllah S.W.T berkumpul dan datang untuk mengubah sesuatu, maka pasti mereka tidak mampu mengubahnya kecuali dengan izin Allah SWT

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”  (H.R Umar bin al-Khattab dari Imam Ahmad, At-Tirmizi.)

6) Infaq Di Jalan Allah SWT: Ramai yang hairan bagaimanakah harta akan bertambah jika kita memberikan harta kita kepada  orang? Disebabkan perasaan risau itu jugalah, ramai yang tidak sanggup bersedekah dan menderma kerana khuatir berkurangnya harta.

Anehnya, ramai pula orang yang tidak beriman yang rajin menderma kerana mereka percaya ia boleh menambahkan lagi kekayaan mereka. Robert Kiyosaki pernah menulis tentang antara rahsia kekayaannya ialah, sewaktu ekonominya tidak stabil, dia akan mencari apakah barangan yang paling disayanginya, lalu dia akan menderma barangan yang paling disayanginya dan dia akan dikurniakan rezeki yang berganda selepas itu.

Warren Buffet yang pernah tersenarai sebagai orang paling kaya di dunia pun yakin dengan amalan menderma dan bersedekah. Dia pernah menderma setengah hartanya berjumlah US 30 Billion semata-mata untuk kebajikan manusia.

Hairan bin ajaib. Sepatutnya orang Mukmin lebih terkehadapan di dalam bab bersedekah dan menderma. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” -Hadis Riwayat Bukhari & Muslim-

7) Menyambung Silaturrahim: Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Hurairah r.a., ia berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”

8) Berhijrah: Dalam al-Quran terdapat satu ayat yang menyatakan tentang orang yang berhijrah akan memperolehi banyak rezeki. “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.” (An-Nisa’: 100)

9) Tinggalkan perbuatan dosa : Tiada gunanya beristighfar jika masih melakukan dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” – [Riwayat at-Tirmizi]

10) Berbakti dan mendoakan ibu bapa: Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.

Baginda S.A.W. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya.” – [Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]

11) Berbuat baik dan menolong orang yang lemah : Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” – [Riwayat Bukhari]

12) Banyakkan berbuat kebajikan : Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

13) Melazimi solat malam (tahajjud) : Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T.

14) Melazimi solat Dhuha : Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” – [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]

15) Bersyukur kepada Allah S.W.T. : Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” – [Ibrahim: 7]

16) Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu : Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.

Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

17) Berdoa : Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

18) Berikhtiar sehabisnya : Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.

Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

19) Bertawakal : Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan (keperluannya).” – [At-Talaq: 3]

 

Banyak lagi amalan-amalan lain yang dapat menambahkan lagi rezeki dan keberkatan hidup kita yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Marilah menambahkan keyakinan kita terhadap kebenaran janji-janji Allah SWT.

KEJAYAAN SEBENAR

Allah SWT telah mengemukakan beberapa kriteria yang dikehendaki untuk menjadi Orang Yang Berjaya di dalam Surah Al-Mukminun:

 1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman
2. (Iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya
3. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna
4. Dan orang-orang yang menunaikan zakat, 
5. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, 
6. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki ; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. 
7. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas
8. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, 
9. Dan orang-orang yang memelihara solatnya
10. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi
11. (Iaitu) yang akan mewarisi surga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Nabi Muhammad SAW memberikan pesanan:

“Barangsiapa yang kehidupan duniawi menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dari tujuannya, dan meletakkan kefakiran di hadapan biji matanya. Ia tidak mendapatkan kehidupan dunia, melainkan apa yang telah ditentukan baginya.

Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi niat utamanya, nescaya Allah akan menyatakan dirinya dengan tujuannya, dan menjadikan kekayaan dalam hatinya sekaligus mendapat kehidupan duniawi. Dan (perlu diingat), kehidupan duniawi adalah hina.” –H.R. Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi-

enjoy-your-success

BERUSAHA

Setelah menyedari hakikat rezeki dan kejayaan yang sebenar, tibalah masanya untuk kita berusaha sedaya upaya untuk mengikut segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Kita juga patut berusaha untuk menambahkan amalan-amalan  yang dijanjikan oleh Allah SWT akan menyebabkan rezeki kita berlipat kali ganda. Yang paling penting, apa-apa sahaja yang kita lakukan perlulah diniatkan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Kita juga sememangnya dijadikan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini untuk bekerja dan berpenat lelah dengan tujuan semata-mata untuk menampilkan diri kita sebagai insan cemerlang di hadapanNya. Biar apa pun pekerjaan kita, baik pengutip sampah, penyapu lantai, pengawal keselamatan, guru besar, pemetik epal, penjual insuran, doktor pakar bedah, pengutip wang tol dan lain-lain lagi, buat segala-galanya perlulah dengan sehabis baik berlandaskan ajaran Islam. Amalkan konsep bersederhana, bertanggungjawab dan tekun berusaha sepanjang masa.

Janganlah takut untuk mencuba. Janganlah bimbang akan hilang mata pencarian sehingga sanggup mencari rezeki melalui jalan yang haram. Janganlah segan untuk menegur ketidak adilan. Janganlah risau dan runsing dengan masa depan. Janganlah mempertuhankan kerja. Janganlah mendewa-dewakan majikan. Janganlah menyembah kerajaan. Janganlah bergantung dengan makhluk untuk mencapai kejayaan.

Selain daripada itu, sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan kita supaya dapat meningkatkan kefahaman kita kepada kehendak Allah SWT. Siapa yang mahukan dunia, perlulah dengan ilmu. Siapa mahukan akhirat, perlulah berilmu, Siapa yang mahukan kedua-duanya, perlulah menambah ilmu pengetahuan. Dengan bekalan ilmu itulah, kita gunakan untuk memperbaiki amalan kita dan meningkatkan martabat kita.

Pautan Lain:

http://ghostridermujahid.blogspot.com/2011/05/janji-allah-swt-di-dalam-rezeki-setiap.html

http://rahsiarezeki.wordpress.com/tag/rezeki/

http://www.pakdi.net/mudahnya-menjemput-rezeki/

http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/2227-20-amalan-murah-rezeki.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: