ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Dengan Izin Allah, RM45 Jadi RM200,000 !!

Posted by kurator on April 3, 2013

Ifa Food1

TIADA perkataan lain selain kecewa yang membalut hati tatkala impian untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terhalang walaupun memperoleh pangkat satu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kedudukan ekonomi keluarga mengajar Faizah Mohd Zin, 46, pasrah dengan keputusan ibunya yang tidak membenarkannya meneruskan pengajian kerana kakak dan tiga saudara kandungnya yang lain sedang belajar.

“Ibu tidak membenarkan saya menyambung pelajaran disebabkan sumber kewangan yang sangat terhad kerana kakak sedang belajar di universiti dan adik-adik di sekolah menengah,” katanya dalam pertemuan pada bengkel memproses sos cili di Kampung Pandan Satu, Kuantan, baru-baru ini.

“Saya benar-benar merajuk dengan ibu ketika itu kerana semangat untuk menyambung pelajaran berkobar-kobar, tetapi kata-kata ibu seolah-olah merenggut kebahagiaan dan impian saya untuk menggenggam segulung ijazah.

“Tetapi Allah tetap memberi ‘bahagian’ saya walaupun dalam bentuk yang berbeza dan kini saya meniti kejayaan dalam bidang perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, Faizah terlebih dulu bekerja sebagai guru sementara dan berniaga makanan secara kecil-kecilan sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan bagi membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi rumah tangga selepas berkahwin.

“Dengan tugas suami sebagai pemandu lori di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pendapatannya tidak seberapa, saya berniaga kuih-muih di kawasan tempat tinggal. Walaupun untungnya tidak terlalu besar, sekurang-kurangnya saya dapat membantu meringankan beban kewangan suami,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Kuantan ini.

Ibu kepada lima cahaya mata, Mohd Izwan, 25, Fatin Izzati, 21, Mohd Amirul Hilmi, 20, Fatin Nabila, 14, dan Mohd Amir Irshad, 13, pada mulanya kurang yakin berikutan persaingan dalam produk sos cili terlalu sengit
di pasaran.

Faizah berkata, perniagaan yang dimulakan pada 1995 itu hanya berbekalkan wang RM45 yang diberikan suami tercinta, Ishak Mat Akib, 50.

“Dengan modal itu, saya berjaya menghasilkan 60 botol sos cili dan tambahan daripada itu, saya mula membuat cili kisar untuk keperluan keluarga,” katanya.

Faizah juga berterima kasih kepada bapa saudaranya yang memberi galakan untuknya menceburi bidang perniagaan berasaskan cili itu.

“Idea bapa saudara itu saya terima dengan hati terbuka dan saya mengambil peluang dengan menghadiri kursus anjuran Jabatan Pertanian Daerah Kuantan mengenai pembuatan sos cili.

“Saya juga memulakan perniagaan ini kerana tabiat anak sulung saya, Mohd Izwan yang begitu menggemari sos cili, malah dia boleh menghabiskan sebotol sos cili dalam tempoh sehari bersama nasi, mi, keropok atau biskut,” katanya.

Dorongan dan sokongan moral suami yang sedia mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga memudahkan rutin hariannya mengikuti kursus berkaitan penghasilan sos cili.

Selepas memulakan operasi, Faizah tidak jemu mendapat­kan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Daerah Kuantan bagi meningkatkan mutu dan menambah produknya.

“Saya juga mendapatkan khidmat nasihat daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia pada 1998 sebelum menghasilkan pelbagai produk lain seperti sos tomato, pencicah keropok, sos rojak dan cili boh,” katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Pengembangan Wanita Kampung Pandan Satu.

Kini, Faizah boleh berbangga dengan usaha yang dimulakan dengan modal yang sangat kecil yang mampu meraih pendapatan melebihi RM200,000 setahun di bawah nama Ifa Food Enterprise.

“Suatu hari nanti, saya berhasrat menyerahkan perniagaan ini kepada anak kedua saya yang kini mengikuti pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara Cendering.

“Dia menunjukkan minat dalam dunia perniagaan kerana bakat niaganya sudah terserlah sejak bersekolah rendah lagi,” katanya.

Ketika barang mentah me­ngalami kenaikan harga, Faizah turut menghadapi situasi yang sama, tetapi tidak mengambil jalan mudah menaikkan harga produk keluarannya.

“Harga produk saya masih kekal untuk tempoh dua tahun ini dan saya belum bercadang untuk menaikkan harganya kerana saya masih mampu bertahan dengan modal yang dikeluarkan bagi membeli bahan mentah.

“Ketika ini harga cili kering sebanyak RM12 sekilogram dan saya memerlukan kira-kira 30 kilogram untuk membuat cili boh berdasarkan permintaan manakala saya menggunakan tomato puri untuk membuat sos tomato.

“Untuk cili boh, saya me­ngeluarkan produk setiap hari manakala untuk sos cili dan keluaran lain, pengeluaran berdasarkan permintaan, tetapi kebiasaannya tiga kali seminggu,” katanya.

Meniti hari mendatang dalam bidang perniagaan yang diusahakan di kawasan luar bandar bukan sesuatu yang mudah bagi wanita bertubuh kecil molek ini kerana pasarannya yang terhad.

“Mahu tidak mahu, suami bertindak sebagai pegawai pemasaran dan tumpuannya adalah rakan sekerja dan kakitangan JKR sendiri selain memperkenalkan kepada kaum keluarga.

“Alhamdulillah, sos cili hasil tangan saya diterima dan saya mula memasang impian untuk membuka bengkel bagi meningkatkan pengeluaran,” katanya yang sudah membelanjakan hampir RM500,000 untuk mendirikan bengkel dan membeli pelbagai peralatan mesin memproses cili boh dan cili sos.

Faizah juga membuat pinjaman daripada bank untuk membeli mesin memproses cili selain wang simpanan sendiri.

Sebagai usahawan industri kecil dan sederhana, Faizah teruja kerana produknya kini men­dapat sambutan pelbagai pihak termasuk hotel bertaraf lima bintang di Cherating, Balok dan Kuantan selain menjadi pilihan kantin sekolah, kedai buah-buahan, kedai makan, kedai runcit dan pasar borong.

ifa“Saya juga mendapat soko­ngan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang, malah bengkel saya pernah menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, tiga tahun lalu,” katanya.

Produk keluaran Faizah juga mendapat pengiktirafan dalam pertandingan sempena Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan selama beberapa tahun.

Antaranya, ia muncul sebagai juara kategori sos rojak pada 1999, kedua (2002) dan ketiga (2003) manakala kategori jeruk di tempat pertama pada 1999 dan 2003.

-Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani, hMetro-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: