ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Dah besar nanti nak jadi apa? Ke Mana Halatuju Selepas SPM? Kerjaya apa yang sesuai untuk saya?

Posted by kurator on March 23, 2013

pening-kepala

Seringkali para remaja tertanya-tanya ke mana hala tujuan mereka selepas SPM? Aliran apa yang perlu mereka ambil? Universiti mana yang paling sesuai? Perlukah ke luar negara? Perlukah mencari biasiswa? Perlukah isu ini saya fikirkan atau saya biarkan sahaja ibu bapa, kawan-kawan atau nasib menentukan ke manakah arah tujuan hidup saya?

Ramai yang sebenarnya mengabaikan kepentingan tentang berfikir dan memilih jurusan/aliran yang sesuai.  Ini kerana, kita mungkin tidak sedar tentang kemungkinan yang kita akan bergelumang dalam kerjaya/ profesion kita buat masa yang lama atau  hingga ke akhir hayat. Jadi, tidak wajar bagi kita membiarkan orang lain menentukan masa depan kita.

Untuk nasihat dan pedoman dalam memilih aliran yang sesuai selepas meninggalkan bangku sekolah, terdapat banyak aspek yang perlu diambil kira. Maka fikir-fikirkanlah tip-tip berikut:

1) Setiap manusia dilahirkan dengan bakat, minat dan kemahiran tersendiri. Tanpa ketiga-tiganya, amat mustahil kita boleh fokus dan kekal dalam sesuatu bidang.

Apakah yang kita suka lakukan? Apakah perkara yang membuatkan kita sanggup menghabiskan masa yang lama untuk melakukannya? Apakah perkara yang kita sanggup lakukannya sepenuh hati walaupun tidak dibayar? Kenalilah diri kita dengan bertanya diri sendiri apakah bakat, minat dan kemahiran kita kerana itulah anugerah semulajadi kepada kita.

Contohnya, Imam Sibawaih suatu ketika pernah cuba mendalami Ilmu Hadith, tetapi beliau  terpaksa menukar bidang apabila didapati mengalami kesukaran menghafal. Akhirnya , beliau menemui bidang yang sesuai dengan bakatnya iaitu tatabahasa Arab dan berjaya menjadi seorang Ulama yang hebat dalam Ilmu Nahu.

Chef Wan , sebelum memasuki bidang masakan merupakan seorang graduan dalam bidang Akauntan. Akhirnya kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia masakan menyebabkannya meninggalkan kerjaya sebagai akauntan dan mempelajari bidang yang baru di California Culinary Academy. Berkat minat dan usaha gigihnya, akhirnya beliau kini gah seantero dunia sebagai pakar dalam bidang kulinari malahan dilantik sebagai Duta Masakan Malaysia.

chef_wan-695x350

Chef Wan, bekas akauntan

Kisah pengasas iluvislam.com, Mohd Imran Koyube juga amat menarik untuk dikongsikan. Dia sebelum ini pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Leicester. Pada masa yang sama, dia juga turut memajukan portal iluvislam.com dalam usaha menyebarkan ilmu dan dakwah ke seluruh dunia. Imran berkata, pembabitan serius memajukan iluvislam.com bermula penghujung 2008. Sebaik menyedari potensi iluvislam.com untuk maju, dia mengambil tindakan drastik berhenti daripada pengajiannya dalam bidang perubatan di Universiti Leicester. Katanya, dia tidak berasa terkilan meninggalkan impian masa kecil untuk bergelar doktor kerana iluvislam.com.

“Saya tekad berhenti belajar daripada jurusan kedoktoran setelah mendapati iluvislam ‘is my passion’ (keghairahan saya). Saya sedikit pun tidak menyesal kerana saya yakin ia boleh menjadi peluang perniagaan berjaya. Mungkin orang fikir tindakan saya meninggalkan dunia kedoktoran tidak berasas, tetapi saya perlu lakukan sesuatu yang berbeza. Saya rasa ia boleh dikatakan sumbangan saya kepada generasi muda dan agama,” katanya.

Pengorbanannya berbaloi kerana dia mampu menggaji 20 pekerja dan hampir 300 sukarelawan untuk menggerakkan iluvislam.com.  Perkembangan iluvislam.com mendadak sehingga menjadi organisasi dikenali memberi cabaran pada dirinya. Dia tetap giat memajukan syarikat dengan terus menawarkan khidmat laman web, bahan bacaan dan cenderahati, malah maju setapak apabila dia melancarkan stesen radio untuk syarikatnya baru -baru ini. Berkat kecekalan dan komitmen menyebarkan ilmu dan berdakwah, dia juga berjaya menjadi seorang jutawan muda!

imran koyube

imran Koyube, bekas pelajar perubatan

Kisah Steve Jobs juga boleh kita jadikan panduan. Pada usia 17 tahun, Jobs berhenti belajar dari Reed College kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya dengan yuran yang mahal. Tetapi Jobs tidak pernah berhenti daripada mempelajari bidang yang digemarinya iaitu pengatur caraan dan reka bentuk komputer secara berdikari dan tunjuk ajar kawannya. Akhirnya pada usia 23 tahun, Jobs berjaya bergelar jutawan walaupun tidak mempunyai ijazah. Dia juga tokoh penting yang merevolusikan bidang teknologi maklumat  terutamanya dalam mengemudikan 3 syarikat gergasi dunia iaitu Apple, NeXt dan Pixar. Kekayaannya hampir bernilai US $ 7 Billion.

Kerana minat yang mendalam jugalah Steve Jobs sanggup bekerja semula di Apple walaupun telah ditendang keluar daripada syarikat yang diasaskannya itu pada tahun 1985. Kerana minat dan cinta jugalah Steve Jobs mahu bekerja di syarikat Apple sebagai CEO pada tahun 1997 dengan gaji US$ 1.00 (1 Dollar) setahun. Hingga ke akhir hayatnya, beliau masih terus belajar untuk menjadi seorang yang cemerlang dalam bidang yang diminatinya.

kkk

Secara amnya, minat/ bakat/kemahiran kita boleh dikategorikan kepada beberapa jenis:

A. Realistik (Realistic)  Berkemahiran dalam athletic dan mekanikal. Mereka ini suka bekerja dengan objek, mesin, peralatan, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Juga berminat bekerja di dalam situasi out door berbanding di dalam pejabat

B. Siasatan (Investigative)  – Amat berminat dengan pemerhatian, mempelajari, menyelidik, menganalisa, menilai dan menyelesaikan masalah melalui penyelidikan serta berkamahiran dalam bidang saintifik dan matematik serta meminati kerjaya-kerjaya bercorak teknikal

C. Kesenian (Artistic) –Memiliki kebolehan kesenian, sangat kreatif dan berinovasi. Juga mempunyai kebolehan intusi dimana suka bekerja di dalam situasi tidak atau kurang berstruktur. Dalam ertika “bebas” kerana tidak minat dan tidak suka bekerja di dalam keadaan yang rutin atau berulang-ulang. Sentiasa menggunakan daya imiginasi dan daya kreativiti.

D. Sosial (Social) – Suka bekerja dan beinteraksi sesama manusia. Suka memberitahu, menolong, melatih, memperkembang, mengubati dan membuat kerja-kerja kebajikan untuk orang lain. Berkemahiran menggunakan tutur kata serta mahir dalam komunikasi dan mempunyai matlamat, terutamanya adalah membuat kebajikan.

E. Berdaya Usaha (Enterprising)– Suka dan minat bekerja dan berinteraksi sesama manusia. Berminat dalam mempengaruhi, mengarah, memimpin dan menguruskan orang lain juga mahir dalam memanipulasi. Namun matlamatnya adalah bagi mencapai keuntungan organisasi dan keuntungan ekonomi.

F. Konvensional / Kelaziman (Conventional)-Suka bekerja dengan data dan nombor. Mereka ini mempunyai kemahiran dalam bidang perkeranian serta mempunyai kebolehan dam kemahiran dalam menggunakan nombor dan melakukan sesuatu secara terperinci, bersifat akur dan mengikut arahan.

Ingin tahu jurusan apa yang sesuai untuk anda? Kenali bidang yang sesuai dengan anda dengan mengambil ujian online RIASEC (Holland Code). Jangan sampai tersalah pilih. Kelak menyesal merana badan.

2) Biarlah kita berbeza dan tidak perlu mengikut mainstream (arus semasa) asalkan kita tahu apa yang ingin dibuat dalam hidup ini. Ini hidup kita. Kita yang perlu menjaganya. Bukan orang lain.

Di Malaysia, sudah menjadi trend masyarakat untuk memandang hanya sesetengah profession sahaja seperti doktor, jurutera, peguam atau akauntan sebagai kerjaya yang berjaya. Mereka juga biasanya suka jika anak-anak mereka mengambil jurusan mengikut mainstream tanpa memahami keseluruhan pakej yang dimiliki oleh anak-anak mereka.

Kita perlu sedar, dunia ini bukan hanya ada doktor, peguam, jurutera atau arkitek sahaja. Banyak lagi peluang pekerjaan yang ada dan wujud tanpa kita sedar. Usahlah terlalu memandang gelaran, jawatan atau kemegahan. Mungkin kita tidak sedar, seorang peniaga pasar malam juga boleh menjadi jutawan walaupun tidak mempamerkan kemewahannya. (seperti yang dikongsi oleh Dato Chef Li dalam bukunya, Jutawan Senyap). Apa yang penting, kita dapat gunakan ilmu, kelebihan, minat dan hobi kita untuk menjana pendapatan yang berterusan dengan cara yang halal.

Mungkin kita meminati bidang sastera dan penulisan?- jadikan J.K. Rowling sebagai idola. Atau minat berbahasa asing? – jadikan  Mahadzir Lokman sebagai contoh. Atau minat bidang fesyen?- jadikan Jimmy Choo sebagai tauladan. Atau minat bidang sukan seperti badminton?- belajarlah dari Sidek’s brothers atau Safee Sali. Atau minat menjadi usahawan?- bacalah buku-buku Robert Kiyosaki. Menggemari kulinari dan masakan?- Ikuti semangat Chef Wan. Minat melukis? – tirulah Dato’ Lat. Yang penting, kita sudah tahu apa matlamat kita dan pekakkan telinga jika ada yang memandang rendah impian kita.

Kisah Bill Gates juga boleh dijadikan contoh. Dia terpaksa berhenti daripada Universiti Harvard apabila tidak meminati bidang undang-undang sebagaimana yang disuruh oleh bapanya. Pada masa yang sama, dia amat meminati bidang perisian komputer dan sedang membangunkan sebuah perisian untuk kegunaan komputer peribadi bersama rakannya. Oleh kerana tidak dapat memberikan sepenuh fokus terhadap bidang undang-undang, dia berhenti separuh jalan di Harvard. Dia juga mengalami kesukaran untuk membuatkan keluarganya faham tentang punca dia berhenti separuh jalan dari universiti.

Tetapi Bill Gates tidak putus asa dan terus belajar dan memajukan bidang software programming yang amat disukainya. Dia sentiasa berusaha memastikan agar dia dapat menghasilkan suatu software yang akan digunakan di setiap rumah suatu hari nanti. Akhirnya, Bill Gates berjaya menjadi seorang tokoh yang dihormati dalam bidang IT. Walaupun tidak mendapat ijazah dalam bidang undang-undang sebagaimana dinginkan keluarganya, dia tetap berjaya dalam hidup kerana dia tahu apa yang ingin dilakukannya dengan hidup. Bill Gates juga seorang majikan yang baik dan amat mementingkan kebajikan kakitangannya serta berkongsi kekayaannya dengan mangsa kebuluran di serata dunia.

images (5)

3) Jangan belajar untuk mengejar peluang pekerjaan, tetapi jadilah orang cemerlang yang sentiasa melakukan yang terbaik. Niatlah untuk menjadi orang yang memberi pekerjaan kepada orang lain.

Satu lagi perkara yang mempengaruhi pemilihan jurusan yang diambil adalah peluang pekerjaan. Oleh kerana itu, ramai yang mengambil jurusan secara tangkap muat asalkan jurusan itu boleh memberikan peluang pekerjaan di masa hadapan. Kerana itulah, ramai rakyat Malaysia diserang stress kerana jiwa mereka tidak sehaluan dengan kerjaya yang mereka pilih.

Thomas Elva Edison ialah contoh seorang manusia hebat yang berdedikasi mencari ilmu dan mencipta sesuatu yang kreatif dan inovatif tanpa menjadikan wang sebagai motif. Tahukah anda, insan terkenal ini hanya berjaya bertahan di sekolah selama 3 bulan sahaja? Dia tidak tahan kerana dianggap bodoh dan telur oleh gurunya kerana fikirannya selalu menerawang. Dengan bantuan ibunya, dia belajar sendiri di rumah dan mengkaji silibus dari buku School of Natural Philosophy oleh R.G.Parker. Ibunya meyakinkan Edison bahawa dia tidaklah telur seperti yang sangka. Tohmahan gurunya dipekakkan.

Akhirnya, Thomas Edison dikenali dunia sebagai seorang inventor dan usahawan  yang paling berjaya di dunia. Dia telah mematenkan 1093 ciptaan untuk kegunaan manusia. Antaranya termasuklah telegraf, ticker tape, phonograf, kamera gambar bergerak, mesin rekod undi, bateri kereta, perekod muzik dan banyak lagi. Dia ialah orang yang merevolusikan bidang  perindustrian untuk menghasilkan produk dalam skala yang besar terutamanya dengan memperkenalkan makmal ujikaji industri.  Walaupun hanya 3 bulan bersekolah dan tidak memiliki  ijazah, sarjana atau PhD, tetapi tanpa Thomas Alva Edison, dunia kita ini mungkin lagi akan diliputi kegelapan kerana dialah yang memperkenalkan mentol elektrik yang tahan lama, tahan haba, tidak mahal dan boleh dihasilkan untuk kegunaan komersil.

Inilah manusia hebat yang sentiasa belajar untuk memajukan dirinya sendiri dan memberikan sepenuh perhatian terhadap setiap perkara yang diusahakannya. Dia belajar bukan kerana ingin mengejar peluang pekerjaan, dia belajar bukan kerana ingin mengejar 20A+, atau untuk menjadi pelajar terbaik. Dia belajar dan terus belajar  atas minat dan rasa ingin tahu yang tinggi. Hasil kajiannya pula menyebabkan ramai orang mendapat manfaat dan peluang pekerjaan. Siapa sangka budak yang tidak memiliki pendidikan formal, tiada diploma atau ijazah ini akhirnya  mempunyai kilang-kilang perusahaan dan menjadi bos kepada ramai orang yang memiliki ijazah dan kelulusan tinggi?

thomas edison quote jpg

 

4) Beristikharahlah dan berdoalah kepada Allah SWT agar menunjukkan kita jalan yang benar. Setelah diberikan petunjuk maka beristiqamahlah dan sentiasa bersabar atas segala dugaan.

Hakikat kehidupan ialah bersusah-susah, hidup ini bukanlah tempat untuk kita bergembira dan berseronok sahaja. Kita hanya bermusafir sementara di dunia ini sebelum berpindah ke alam akhirat yang abadi. Namun, dalam hidup yang sementara ini jugalah kita akan dihadapkan dengan pelbagai pilihan, dugaan dan cabaran. Yang dapat memandu kita ke arah yang benar hanyalah Allah SWT.

Sebagai hamba Allah SWT yang lemah, kita perlu sentiasa merasakan diri kita kerdil, lemah dan hina di hadapan Allah SWT dan kita ini sentiasa mengharapkan bantuan-Nya. Oleh itu, sentiasalah kita memohon bantuan kepada Allah SWT supaya tidak tersalah pilih dan sentiasa berjalan di atas muka bumi ini mengikut  petunjuk hidayah. Antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah SWT di dalam rangkaian Doa Al-Ma’thurat sewaktu meminta pertolongan di dalam membuat pilihan adalah:   “Ya Allah, janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri walaupun dengan kadar sekelip mata atau kadar yang lebih mudah”

Quote-about-the-world_1

5) Menuntut Ilmu bukan untuk mengejar kekayaan dan kemewahan hidup. Ini kerana rezeki adalah daripada Allah SWT, bukan disebabkan jurusan/aliran/bidang yang kita pilih. 

Pada alaf ke 21, Malaysia  mula mencari identiti dalam mengejar impian untuk menjadi sebuah negara yang maju dan gah di persada dunia. Lalu mulalah pelajar-pelajar di arahkan agar memasuki bidang-bidang sains dan matematik serta berkaitan dengan teknologi maklumat.

Lalu kolej-kolej berasaskan jurusan sains seperti kolej kejuruteraan, sains perubatan dan teknologi maklumat mulalah tumbuh bagaikan cendawan untuk memenuhi hasrat kerajaan ini. Selepas beberapa tempoh, kita dapati berlakunya lambakan pelajar-pelajar lulusan kejuruteraan, teknologi maklumat atau sains perubatan di Malaysia yang mencapai tahap tepu. Ada juga kolej-kolej yang terkubur selepas beberapa tahun kerana gagal memenuhi standard yang ditetapkan kerajaan. Selepas ini, mungkin kerjaya seperti doktor juga bakal mengalami ketepuan kerana banyaknya kolej swasta yang dilahirkan tetapi kerajaan kekurangan persediaan untuk melatih doktor siswazah.

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Ini tidaklah menghairankan kerana sepatutnya kita sedar bahawa sistem pendidikan kita cuba memprogramkan para pelajar supaya hanya memfokuskan cita-cita mereka untuk menjadi golongan profesional. Tak percaya? Cubalah adakan satu soal-selidik secara rawak. Tanyakan sekumpulan pelajar; Dah besar nanti nak jadi apa? Nescaya kita akan mendapat jawapan yang cliche; saya nak jadi doktor/peguam / jurutera / arkitek / pensyarah / tentera/ polis.

Sistem pendidikan kita telah disetkan supaya menghasilkan golongan kelas pekerja / profesional seramai yang mungkin. Menurut G. Edward Griffin, sistem pendidikan bersistematik yang pada awalnya diperkenalkan oleh General Education Board of America bertujuan untuk: ” The object was to use the classroom to teach attitudes that encourage people to be passive and submissive to their rulers. The goal was-and is- to create citizens who were educated enough for productive work under supervision but not enough to question authority or seek to rise above their class. True education was to be restricted to the sons and daughters of elite. For the rest, it would be better to produce skilled workers with no particular aspirations other than to enjoy life” 

Perlukah sistem pendidikan kita sedaya upaya berusaha menghasilkan lebih ramai golongan profesional? Ini kerana, ironinya, mengikut kajian Brian Tracy International, golongan yang mengawal kekayaan dunia bukanlah golongan profesional, sebaliknya pembahagian golongan jutawan  di dalam dunia terdiri daripada:

74% adalah usahawan/pemilik perniagaan

10% adalah golongan eksekutif senior dalam sektor korporat

10% adalah golongan profesional merangkumi doktor, jurutera, peguam dan sebagainya

5%  adalah jurujual berkomisen atau konsultan jualan

1% adalah golongan selainnya

Oleh sebab itu, kita perlu memahami dan meyakini suatu fakta iaitu: rezeki itu datangnya daripada Allah SWT.

Kerjaya yang hebat, pendidikan yang tinggi, jawatan yang besar tidak mampu menjadi penjamin rezeki dan kejayaan.

Kisah Saudara Mohamad Azlan Abdullah@Ali dari Pantai Timur wajar dijadikan iktibar. Pada asalnya, insan yang berasal daripada keluarga susah ini pernah menjadi seorang pengutip sampah untuk memenuhi keperluan hidup. Hidupnya sangat susah tetapi hatinya cekal.

Kerana kesusahan hidup juga dia terpaksa berhenti belajar dari KIST. Malangnya bertimpa, apabila ladang jagung yang diusahakannya dilanda ribut lalu menyebabkan dia hilang segala-galanya. Tetapi dia tidak mudah patah semangat. Dengan izin Allah SWT, suatu hari dia diberikan ilham untuk  memulakan kerjaya sebagai ejen hartanah berbekalkan modal RM 50. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah SWT, dia berjaya menjadi seorang jutawan dalam tempoh setahun pada usia 25 tahun. Sekarang dia semakin rancak berbisnes melalui syarikatnya Ombak Murni Holdings Sdn Bhd. Terbukti, Allahlah sebaik-baik pemberi rezeki, bukannya manusia ataupun kerajaan.

Mohamad Azlan dan kakitangannya

Mohamad Azlan dan kakitangannya

Kisah Faizah Mohd Zin juga boleh kita jadikan iktibar. Pada awal usianya, dia berasa amat kecewa kerana impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terhalang walaupun memperoleh pangkat satu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana kedudukan ekonomi keluarga.

Dia pasrah dengan keputusan ibunya yang tidak membenarkannya meneruskan pengajian kerana kakak dan tiga saudara kandungnya yang lain sedang belajar. Faizah berkata, hatinya bertambah kecewa apabila ibunya meminta dia berkahwin walaupun ketika itu belum bersedia kerana baru menamatkan zaman persekolahan.

Bagaimanapun, Faizah terlebih dulu bekerja sebagai guru sementara dan berniaga makanan secara kecil-kecilan sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan bagi membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi rumah tangga selepas berkahwin. Suaminya pula bekerja sebagai pemandu lori.

Faizah berkata, perniagaan yang dimulakan pada 1995 itu hanya berbekalkan wang RM45 yang diberikan suaminya. “Dengan modal itu, saya berjaya menghasilkan 60 botol sos cili dan tambahan daripada itu, saya mula membuat cili kisar untuk keperluan keluarga,” katanya.

Faizah juga berterima kasih kepada bapa saudaranya yang memberi galakan untuknya menceburi bidang perniagaan berasaskan cili itu. Dia memulakan perniagaan ini kerana tabiat anak sulungnya, Mohd Izwan yang begitu menggemari sos cili.

“Alhamdulillah, sos cili hasil tangan saya diterima dan saya mula memasang impian untuk membuka bengkel bagi meningkatkan pengeluaran,” katanya yang sudah membelanjakan hampir RM500,000 untuk mendirikan bengkel dan membeli pelbagai peralatan mesin memproses cili boh dan cili sos.

Kini, Faizah boleh berbangga dengan usaha yang dimulakan dengan modal yang sangat kecil yang mampu meraih pendapatan melebihi RM200,000 setahun di bawah nama Ifa Food Enterprise.

Kisah Faizah menjadi iktibar betapa kejayaan hidup bukanlah disebabkan oleh kecemerlangan akademik tetapi disebabkan kehendak dan keizinan Allah SWT semata-mata.

images (9)

6) Belajar bukan untuk mengejar status, gelaran atau darjat. Kemuliaan seseorang itu terletak pada ketaqwaannya, bukan pada ijazah atau jawatan yang dimilikinya.

Antara penyakit masyarakat pada hari ini ialah berlumba-lumba untuk mencapai kemegahan di mata masyarakat dengan mencapai kejayaan yang tinggi dalam bidang akademik. Lalu ramailah yang melanjutkan pelajaran sehingga ke tahap PhD  semata-mata untuk dipandang hebat dan mendapat kenaikan jawatan dan pangkat. Ada juga yang sanggup mengeluarkan modal yang besar untuk mendapatkan gelaran tersebut.

Tetapi ramai yang lupa, gelaran dan status tidaklah menyebabkan seseorang itu hebat dan sentiasa benar. Ia juga tidak bermakna segala buah fikirannya tidak boleh dibangkang. Di hospital misalnya, kita dapat lihat betapa ramai yang bergelar Doktor Pakar atau Ketua Jabatan mudah menjadi seorang yang takabbur dan sombong. Ini kerana kuasa yang ada di tangan mereka menyebabkan mereka boleh berbuat sesuka hati atau menyalahkan sesiapa sahaja untuk menutup kesalahan mereka.

Penghormatan berlebihan daripada masyarakat juga membuatkan mereka lupa bahawa status yang ada pada mereka hanya pinjaman. Mereka lupa, Allah SWT mampu menarik kuasa yang ada di tangan mereka sekelip mata sahaja samada dengan menyabitkan mereka dengan kejadian yang boleh menjatuhkan imej mereka seperti khalwat atau rasuah,  dan boleh pula menyebabkan mereka ditimpa penyakit berbahaya sekalipun mereka adalah doktor ternama. Tahukah anda, di dunia ini, 10% doktor pakar barah (Oncologist) di dunia  menghidap penyakit barah? Nyata, Allahlah yang berkuasa memberi dan menyembuhkan penyakit, bukannya dunia perubatan atau ubat-ubatan.

Marilah kita renung kisah Wan Abu Bakar Wan Omar dari Kelantan. Dia telah menghasilkan sebuah mesin yang dapat menghasilkan beras optik ‘tiruan’ hasil campuran bahan mentah seperti isi ikan, ayam, jagung, sayur-sayuran dan ubi kentang. Dengan ciri fizikalnya persis beras biasa, beras optik ini juga siap dimasak seawal lima minit. Ia juga boleh dinikmati dengan ditambah air panas – sekali gus menjadikannya sesuai bagi kegunaan anggota tentera dan polis yang bertugas selain pihak hospital.

Selain penghasilannya menepati syariat Islam, beras gentian yang diberi nama BVita ini juga menyihatkan. Pada masa sama, ia juga mampu menambah hasil pendapatan petani dan peladang menerusi pembelian bahan mentah yang diperlukan.

Paling mengagumkan, latar belakang pendidikan Wan Abu Bakar bukanlah seorang graduan bidang kejuruteraan mahu pun sains. Dia hanya berkelulusan Sijil Pengajian Perniagaan selain pengalaman sebagai tukang masak dan berkemahiran dalam bidang teknikal, pemasaran dan teknologi maklumat.

Produk ini pernah dipersembahkan Wan Abu Bakar kepada seorang pegawai tinggi kerajaan bergelar profesor. Pada waktu itu, dia memerlukan bantuan kerajaan untuk memasarkan produknya. Malangnya bukan bantuan yang diberikan malahan pegawai berkenaan menempelaknya dengan alasan bagaimana seseorang yang tiada asas pertanian boleh menghasilkan beras gentian sedangkan dia yang bergelar profesor tidak mampu berbuat demikian. Beliau juga pernah dilabel gila. Bukan sekali malah dua kali menjadi bahan ketawa pegawai yang kononnya lebih berkelayakan.

Ini tidak mematah semangatnya yang sanggup berkelana ke China selepas seorang usahawan negara itu tertarik dengan ideanya menghasilkan mesin pengeluaran bagi menghasilkan produk mengikut keperluan. Kilang pertama hasil buah fikirannya didirikan di Shandong, China dan selepas lebih 10 tahun, barulah kilang pertama dapat dibina di Pangkalan Chepa, Kelantan.

Lebih membanggakannya, PBB melalui UNCHR turut mengiktiraf produk yang dihasilkannya. UNCHR menunjukkan minat terhadap beras Bvita Asas berkenaan untuk mengatasi masalah kebuluran di seluruh dunia. Malangnya, permintaan PBB yang mahukannya menyediakan bekalan sehingga dua tan sehari atau bersamaan 10,000 beg yang setiap satunya seberat 50 kilogram, tidak mampu ditunaikan. Ini kerana dia kekurangan modal dan di Malaysia, ciptaannya masih lagi tidak diiktiraf hanya kerana latar belakang pendidikannya. Pun begitu, dia terus tabah dan terus berinovatif  dalam menghasilkan mesin terutamanya untuk  menghasilkan produk makanan ikan, ternakan dan haiwan peliharaan serta makanan ringan yang kini sudah menembusi pasaran India, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Thailand, Singapura dan Arab Saudi melalui syarikatnya WAB Warnasari Mekar Ent (M) Sdn Bhd (WAB Warnasari).

Mesin Pembuat Beras Gantian

Mesin Pembuat Beras Gantian

Penyakit takabbur yang menular di kalangan manusia yang berjawatan tinggi dan berstatus hebat di Malaysia semakin parah. Ini kerana kebanyakan daripada mereka bersikap bodoh sombong, mempunyai fikiran yang tidak berkembang, merasakan diri serba sempurna dan enggan menerima pendapat orang lain. Kebanyakan mahasiswa di Malaysia pula diajar untuk dengar dan patuh kepada pensyarah dan profesor mereka. Tiada ruang untuk berdiskusi dengan sihat. Ruangan untuk kritikan juga ditutup.

Terdapat juga golongan yang berpendidikan tinggi dalam bidang agama sanggup mengeluarkan pendapat atau fatwa yang amat bertentangan dengan ajaran agama Islam. Ia disebabkan mereka ingin menjaga periuk nasi dan kedudukan mereka daripada ancaman. Kerana itulah golongan ‘Professor Kangkung’ makin bercambah di kalangan masyarakat. Tidak hairanlah pemikiran masyarakat Malaysia agak ketinggalan berbanding dengan prasarana dan infrastruktur yang disediakan.

7) Sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT, tugas utama kita adalah menjadi hamba Allah SWT yang taat serta menjadi khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan dan memajukan bumi ini. Maka, sentiasa belajar ilmu agama yang boleh membawa kita paling hampir kepada matlamat kita diciptakan olehNya. 

Kita seharusnya memahami tujuan kita dijadikan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini. Agama Islam membantu kita memahami tujuan kita wujud dan membantu kita menjadi seorang yang sempurna mengikut acuan yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Agama bukan untuk dijadikan ritual atau diguna pakai sekali-sekala tetapi agama adalah untuk perjuangan hidup kita sehari-harian. Oleh sebab itu, umat Islam perlu mengukuhkan dahulu kefahaman mereka terhadap agama Islam sebelum mendalami bidang-bidang lain. Inilah yang diamalkan oleh cendekiawan Islam pada era kegemilangan Islam yang kebanyakannya menjadi hafiz Al-Qur’an dan memahami ajaran Islam dengan mentap sebelum menceburkan diri dalam bidang yang lain seperti sains, matematik, falsafah dan lain-lain. Ilmu agama haruslah dititik beratkan terlebih dahulu berbanding ilmu duniawi yang lain.

Kita harus mengakui bahawa di dalam dunia ini, kita masih lagi kekurangan ilmuan Islam yang berwibawa. Dunia Islam memerlukan lebih ramai lagi Ibnu Sina, Al-Kindi, Ar-Razi, Al-Khawarizmi, Al-Farabi, Jabir Ibnu Hayyan dan Al-Jaziri serta lain-lain  ulama’ yang hebat ilmu duniawi dan ukhrawi. Mereka bukan sahaja menguasai sains, matematik, kejuruteraan, muzik, sosiologi, falsafah dan lain-lain  tetapi ilmu agama telah  memandu pengetahuan duniawi mereka di atas jalan yang benar.

Kefahaman umat Islam kebanyakannya berdasarkan ikut-ikutan hanya menurut apa yang diamal oleh ibu bapa dan masyarakat mereka. Di Malaysia misalannya,umat Islam menyangkakan apa yang diajar di sekolah itu sudah cukup bagi mereka. Oleh sebab itulah, ramai yang tidak berminat untuk menghadiri kuliah-kuliah agama kerana umumnya, rakyat Malaysia berhenti mempelajari agama sebaik selesai SPM. Kerana itulah ajaran Islam masih banyak yang tidak difahami kerana masing-masing keliru dan tidak memahami Islam sepenuhnya.

Kebanyakan masyarakat masih lagi skeptikal dengan aliran agama. Bagi mereka, pelajaran agama Islam tidak mampu bersaing , tidak ada peluang pekerjaan malah tidak mempunyai nilai terhadap ekonomi negara. Tambahan pula, beberapa dekad yang lepas menyaksikan bagaimana kerajaan terlalu fobia dengan agama dan menyifatkan agamalah yang menyebabkan kemunduran. Situasi-situasi inilah yang menyebabkan kita perlukan lebih ramai ilmuan Islam yang berkaliber dan holistik untuk  mencerdikkan masyarakat.

Tetapi kita lupa, dunia kita sangat-sangat perlu kepada ilmu agama Islam. Ini kerana Islamlah mengajarkan kepada kita bagaimana untuk menjadi seorang yang seimbang dalam segala hal. Islam jugalah yang menyebabkan dunia menjadi maju dan bertamadun selepas berlakunya Zaman Gelap (Dark Ages) di Eropah, malahan cendekiawan Renaissance seperti Leonardo Da Vinci telah mempelajari ilmu daripada ilmuan Islam seperti Al-Jaziri sehinggalah tamadun Eropah akhirnya berjaya keluar daripada kejahilan dan mencapai tahap Enlightenment. Masalah yang melanda dunia seperti masalah ekonomi, sosial dan politik memerlukan agama Islam untuk memberikan penyelesaian.

Kisah Dr. Tawfique Chowdhury boleh dijadikan iktibar. Dia merupakan penerima Anugerah Pelajar Australia bagi kecemerlangan akademik dan mendapat tempat ketiga tertinggi untuk Peperiksaan Kemasukan Universiti di Australia, seterusnya dia melanjutkan pelajaran dalam bidang Perubatan di University of Melbourne.

Sebelum tahun akhir di kolej perubatan, beliau menarik diri daripada kursus perubatan. Dia membuat keputusan untuk mempelajari ilmu agama Islam di Universiti Islam Madinah. Di sana, dia telah mendapatkan diploma dalam bahasa Arab dan lulus dari Kolej Syariah dengan pangkat cemerlang. Gurunya termasuklah Sheikh Abdul Muhsin Al-Abbad, Syeikh Muhammad Mukhtar Ash-Shanqeeti, Sheikh Ahmad Rashid Ar-Ruhaily, dan Sheikh Abdur Razzaq Al-Abbad. Setelah itu, dia menyambung kembali pengajiannya dalam bidang perubatan di Australia.

Pada masa yang sama, dia menjadi Pengurus Projek IT yang bergiat di peringkat multinasional dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dengan syarikat antarabangsa yang mengkhususkan diri dalam pembangunan perisian dalam talian pelbagai bahasa. Dr. Tawfique Chowdhury juga aktif berdakwah  di Eropah, Timur Tengah, Asia dan Australia. Beliau telah menulis banyak buku dalam pelbagai topik, termasuk perspektif Islam mengenai transaksi perniagaan dan hukum Islam dalam profesion perubatan. Dia juga mentor untuk usahawan dan jutawan yang popular.

images (8)

Orang yang ikhlas belajar agama juga tidak akan disia-siakan oleh Tuhan. Kisah Ustaz Azhar Idrus yang sanggup meninggalkan kerjaya tetapnya semata-mata ingin mempelajari ilmu agama Islam dengan lebih mendalam wajar dijadikan tauladan. Beliau mengabadikan berbelas-belas tahun hidupnya untuk mentelaah ilmu daripada ulama-ulama besar di sekitar negeri Terengganu. Beliau belajar dengan ikhlas dan ilmunya disampaikan kepada masyarakat. Akhirnya, keikhlasannya terbalas. Peminatnya juga makin bertambah dan kita dapat saksikan setiap kuliahnya pasti akan dihadiri berpuluh-puluh ribu orang pendengar. Kata beliau, orang yang belajar agama,   tidak perlu runsing kerna pasti Allah SWT akan cukupkan rezekinya. Jadi, Ustaz Azhar menyedarkan kita bahawa tiada had umur untuk belajar ilmu agama Islam.

Janji Rasulullah SAW kepada kita: “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu semua adalah yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.”  (riwayat Al-Bukhari dari Utsman bin Affan)

ustat

“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan memberikan kekayaan kepada hatinya, memudahkan urusannya dan dunia akan datang kepadanya, dan barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuannya, maka Allah akan memberikan (rasa) fakir kepadanya, mempersulit urusannya dan dunia tidak akan mendatanginya kecuali apa yang sudah ditetapkan baginya.” (HR At-Tirmidzi).

 Kesimpulannya, carilah ilmu dan pengetahuan yang dapat menjaga kita di dunia dan akhirat. Tidak kiralah apa jua bidang yang kita pilih, jadikan ia sebagai landasan untuk berbakti dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Teruskanlah usaha mencari Ilmu dan Guru yang benar. Ini kerana pencarian yang tepat boleh menyebabkan:

– hilangnya syak wasangka dan datangnya keyakinan yang mantap

– menghapuskan kebatilan dan melahirkan kebenaran

– menjauhkan takabbur, mewujudkan tawadduk dan taqwa

– melunturkan kefasikan, menguatkan keimanan

Paling penting, sediakan bekalan secukupnya untuk ke akhirat sana. Jangka hayat kita di dunia ini mungkin hanya 60, 70 atau 80 tahun, tetapi di akhirat nanti, hidup kita akan kekal selama-lamanya di sana. Dunia ini hanya persinggahan, rumah kita yang abadi ialah di alam akhirat nanti.

Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita semua dan menemukan kita dengan hidayah-Nya. Ameen.

-arkibcerita.wordpress.com-

3 Responses to “Dah besar nanti nak jadi apa? Ke Mana Halatuju Selepas SPM? Kerjaya apa yang sesuai untuk saya?”

  1. Greetings from Ohio! I’m bored at work so I decided to check
    out your blog on my iphone during lunch break. I love the knowledge you provide
    here and can’t wait to take a look when I get home.
    I’m shocked at how fast your blog loaded on my phone ..
    I’m not even using WIFI, just 3G .. Anyways, wonderful site!

  2. wenn said

    Assalamualaikum..trma ksh atas ilmu yg d kongsikan sangat bermanfaat & mampu memberi kesedaran pada saya. teruskan perjuangan. : ]

  3. fantasia94 said

    Terima kasih, info yang sangat berguna kepada saya. Terutama sekali terhadap kerjaya yang perlu saya cari dan apa minat saya, nasihat yang berguna kepada saya, kerana saya mempunyai masalah tidak tahu kerjaya apa yang saya ingin tempuh di alam dewasa. Selepas baca semua ni saya dah nampak arah tuju dan minat saya. Terima kasih banyak-banyak kepada owner blog ni.🙂 Assalamualaikum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: