Perpaduan Bani Melayu
Posted by kurator on March 9, 2013
Sejak akhir-akhir ini, seruan untuk umat melayu bersatu dan mewujudkan perpaduan yang utuh acap kali dilaung-laungkan.
Tapi, perpaduan yang bagaimanakah yang perlu kita laksanakan?
Firman Allah SWT:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah(agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai” (Ali-Imran: 103)
Iya. Memang umat Islam wajib berpadu dan bersatu. Tetapi hanya di dalam urusan berlandaskan arahan dan perintah Allah. Dalam hal ini, wajib bagi kita supaya tidak bercerai-berai dan saling bantu membantu.
Berpadu dan bersatu perlulah dilakukan atas nama Allah dalam menegakkan Islam dan keadilan.
Berpadu bukan di atas nama kaum/puak/bangsa.
Berpadu bukan untuk memelihara seorang dua pemimpin/pemerintah/sultan.
Berpadu bukan untuk melindungi sesetengah golongan yang melakukan angkara/ khianat /kezaliman.
Kerana pesan Rasulullah SAW :
”Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh”. (Riwayat Imam Ahmad)
Kadangkala, hidup kita bukanlah tentang berpadu semata-mata.
Semasa awal kedatangan Islam pun, Rasulullah SAW pernah diseru oleh Musyrikin Quraisy agar menghentikan dakwah. Kata mereka, dakwah Rasulullah memecah belahkan kaum Arab. Lalu ditawarkan kepada Nabi jawatan Ketua Kabilah, wanita yang cantik dan harta yang banyak. Jika Baginda setuju menjadi ketua, semua orang akan patuh kepada baginda. Namun, dengan syarat baginda mestilah menghentikan dakwah. Baginda dan para pengikut juga mestilah kembali pada agama nenek moyang mereka iaitu menyembah berhala.
Apabila tawaran itu disampaikan kepada Rasulullah, baginda pun berkata kepada bapa saudaranya: “Wahai bapa saudaraku, sekiranya mereka sanggup meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku sekalipun, tak akan aku meninggalkan dakwahku ini sehinggalah Allah menzahirkannya atau aku musnah kerananya.”
Maka kaum Arab Mekah pun terpaksalah berpecah-belah untuk membuat pilihan yang bijak. Mereka terpaksa memilih samaada ‘Hidayah’ atau ‘Jahiliyyah ‘.
Anak terpaksa berpisah dengan ibu dan ayah, saudara-mara terpaksa berseteru, suami isteri terpaksa bercerai berai.
Di dalam perang Badar dan Uhud, ada yang terpaksa mencederakan darah daging sendiri. Sedih? Memanglah sedih. Pilu? Memanglah pilu. Sememangnya, perpecahan dan perpisahan membawa duka, sengsara dan kepahitan.
Tetapi kepahitan terpaksa ditelan untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Demi membuktikan cinta kepada Allah, kita perlu berpecah dan berpisah hatta dengan saudara kandung sendiri.
Atas nama Islam, saudara kandung sebangsa Quraisy dari Mekah sanggup diperangi, tetapi orang yang jauh seperti Salman Al-Farisi dari Parsi pula dimuliakan.
Perpisahan dan perceraian yang dilakukan atas nama kebenaran Allah gantikan dengan persaudaraan yang lebih manis berlandaskan Iman dan Islam. Allah meluaskan konteks perpaduan melebihi sempadan perkauman, dengan menjadikan perpaduan umat Islam bersifat universal. Islam menyatukan Arab, Parsi, Romawi, Yunani, Jawi, Hindi, Cina, Qibti dan semua kaum di bawah satu bumbung.
Usah sempitkan makna perpaduan, kerana dalam Islam, sesetengah isu memerlukan kita mufaraqah dan berseteru terutamanya dalam konteks memerangi kezaliman.
_I beg to differ_
Leave a Reply