ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Tulang-Tulang Berserakan: Risalah Rausyanfikir Buat Penguatkuasa Bersenjata

Posted by kurator on February 26, 2013

Istimewanya karya ‘Tulang-Tulang Berserakan’  kerana ia merupakan satu-satunya karya SN Usman Awang yang dihasilkan  dalam bentuk novel. Ia merakamkan kenang-kenangan SN Usman Awang (Leman) semasa bertugas sebagai seorang Mata-Mata (polis/askar) sewaktu penjajahan British ke atas Tanah Melayu.

book_ttbfull

Tugas Leman sebagai Mata-Mata memberikannya kuasa penuh untuk menangkap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan. Mereka juga boleh menjatuhkan denda ke atas kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

Namun, ada suatu sisi di dalam diri Leman yang mempersoalkan keadilan di dalam sistem yang dijunjungnya. Manakan tidak, orang-orang besar yang berkereta mewah terlepas daripada denda kesalahan  cukup sekadar mengangkat tangan, orang-orang kecil pula  disaman habis-habisan walhal kesalahan mereka juga tidak disengajakan. Ada juga yang terpaksa melanggar undang-undang dunia demi mencari sesuap rezeki buat keluarga tercinta.

Selain daripada itu, ada babak-babak dalam ‘Tulang-Tulang Berserakan’  yang menceritakan proses berfikir yang berlaku terutamanya tentang hala tuju hidupnya. Ada juga kritik- kritik sosial yang mempersoalkan tentang perbezaan layanan antara darjat dan keturunan, tanggungjawab insan di dunia, erti persahabatan   dan perasaan cakna terhadap kebajikan orang yang sakit dan kurang upaya.

Pertemuannya dengan Anuar, seorang pejuang kemerdekaan yang dilokap, turut menjadi penyebab timbulnya musykil di  dalam hati. Digembar-gemburkan bahawa lelaki itu dikatakan seorang yang merbahaya. Anehnya, lelaki itu tenang sahaja di dalam tahanan. Dia tidak ganas, malahan sangat bersopan – santun dan mulutnya sentiasa ramah dengan senyuman. Anuar juga menulis sebuah puisi buat Leman yang berjaya menyentuh nuraninya.

Leman juga turut menjadi keliru tentang erti hidupnya. Leman dan sahabatnya yang lain memilih kerjaya sebagai Mata-Mata sekadar untuk mencari upah mengisi perut dan keperluan material. Lawan mereka pula adalah penentang-penentang British yang kesemuanya dilabel sebagai Komunis ( sekalipun ada yang datang dari kem AWAS, API, SEDAR dan PKMM).

Hairan benaknya memikirkan bagaimana penentang British ini boleh kekal cekal dalam perjuangan sekalipun hidup dalam hutan belantara, penuh cabaran dan tidak ada sebarang ganjaran setiap bulan sebagai upah. Mereka juga sentiasa tenang tanda yakin dengan kebenaran perjuangan  mereka.

Kejadian terbesar yang berjaya menganjakkan paradigma pemikirannya ialah sejurus selepas pulang daripada misi menyerang sebuah bukit yang menjadi markas penentang British. Kesemua batalion dikumpulkan untuk mengepung bukit tersebut. Tentera British dengan baculnya  mengebom bukit tersebut dan menembak bertalu-talu untuk menghapuskan penentang British secara total. Ramai penentang British berjaya dibunuh dan ditawan. Ada juga sahabat Leman yang terkorban dalam misi ini.

Nasib malang menimpa batalion mereka apabila mereka ditimpa kemalangan sewaktu pulang ke Ibu Pejabat. Kemalangan ini meragut lebih banyak nyawa daripada bilangan mata-mata yang terkorban di dalam peperangan melawan penentang British. Ada juga yang cacat anggota fizikalnya akibat kemalangan itu.

Bagi Leman inilah saat penentunya.

Leman memutuskan untuk tidak mahu lagi menjadi askar upahan British yang tugasnya menekan rakyat sendiri dan membunuh para pejuang kemerdekaan. Apa guna tembolok terisi namun tanah watan terjual dan tergadai.

Apa bezanya mereka dengan botai, tali barut era penjajahan Jepun. Botai mengganas dan menyiksa rakyat dan bersikap lebih Jepun daripada tentera Jepun sendiri. Malang benar jika dia  terkorban kerana mempertahankan kepentingan penjajah yang menyiksa anak watan.

Leman mahu bebas daripada penjajahan dan mahu menyuntik semangat kemerdekaan kepada bangsanya. Dia juga tidak lagi menjadi biduk-biduk tolol yang membunuh orang tanpa mengetahui apakah sebabnya dia membunuh.

Naskah  ‘Tulang-Tulang Berserakan’ ini amat sesuai sekali dihayati oleh sesiapa sahaja yang bergelar polis atau askar. Ini kerana ia mengangkat tema berfikir yang jarang-jarang dilakukan oleh bani Melayu.

SN Usman Awang - Intelek organik mencari kebenaran

SN Usman Awang – Intelek organik mencari kebenaran

Kepada pihak askar atau polis, apabila di tangan kita terhunus senjata, sepatutnya kita berhenti sejenak dan berfikir, apakah sebabnya aku membunuh? Sekiranya aku terbunuh, apakah sebab aku dibunuh?

Rasulullah SAW juga pernah menceritakan tanda akhir zaman iaitu : Orang yang membunuh tidak mengetahui apa sebabnya ia membunuh, Orang yang dibunuh tidak mengetahui apa kesalahannya hingga ia dibunuh.

Rasulullah SAW bersabda:

“Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, dunia tidak akan pergi (kiamat) hingga datang suatu masa, di mana seseorang yang membunuh, tidak mengetahui apa sebabnya ia membunuh, begitu juga orang yang dibunuh tidak mengetahui apa kesalahannya (hingga ia dibunuh).

Maka ada (sahabat) bertanya, “Mengapa hal itu boleh terjadi?” Baginda menjawab, “Al-Haraj (pembunuhan), yang membunuh dan yang dibunuh semuanya masuk neraka.”   (Riwayat Muslim)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: