ARKIB CERITA

Ketahuilah Bahawa Semua Yang Berlaku Adalah Ketetapan oleh ALLAH SWT. Maka Carilah Redha Allah SWT.

Kerajaan adil datangnya daripada pemimpin yang adil

Posted by kurator on February 11, 2013

Keadilan didambakan oleh seluruh manusia

Keadilan didambakan oleh seluruh manusia

Keadilan merupakan suatu  perkara yang amat dititik beratkan oleh Islam. Ia adalah elemen penting yang menautkan rukun  kasih di antara pemerintah dan rakyat. Ia juga menjadi tiang utama yang mengukuhkan sesebuah pemerintahan. Selain itu, keadilan adalah jaminan utama sesebuah negara itu kekal aman, damai dan harmoni di bawah lembayung rahmat Allah S.W.T.

Di dalam Al-Qur’an, terdapat banyak ayat yang menegaskan tentang konsep keadilan agar manusia dapat merasakan kepentingannya. Allah  menggunakan pelbagai istilah  untuk mengungkapkan makna keadilan seperti kalimah ‘Al-Adl’, ‘Al-Qisth’, ‘Al-Wajnu’, ‘Al-Wasth’ dan ‘Al-Mizan’. Ini kerana keadilan  yang dituntut  oleh Al-Quran mempunyai konteks yang lebih luas, bukan hanya dalam proses menetapkan hukuman  atau menyelesaikan perselisihan sahaja. Bahkan  Al-Quran  menuntut keadilan terhadap diri sendiri, baik dalam penulisan, pertuturan atau amal perbuatan.

Keadilan tidaklah patut ditafsirkan dengan  kesama rataan atau kesaksamaan semata-mata. Ia juga tidak bermakna semua individu diberikan kebebasan sepenuhnya. Memahami definisi keadilan secara dangkal dan sembrono mengakibatkan kita tenggelam di dalam pola pemikiran yang bersandarkan logik akal dan tenggelam dalam kemahuan hawa nafsu semata-mata.

Di dalam merungkaikan definisi keadilan, kita perlulah menjadikan wahyu Allah S.W.T sebagai rujukan utama untuk memandu kita memahami konsepnya yang sebenar. Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa; Ayat 58)

Berdasarkan ayat tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa definisi yang paling tepat untuk merungkaikan maksud ‘Keadilan’ adalah :  Proses meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya, serta menyerahkan amanah kepada orang yang berhak menerimanya serta menjatuhkan hukuman dengan adil berpandukan syariat.

 Melalui definisi ini, kita perlu memahami bahawa konsep keadilan memerintahkan agar sesuatu amanah itu diserahkan kepada pihak yang berhak. Keadilan tidaklah bererti semua rakyat jelata mendapat hak yang setara. Ada perkara-perkara yang perlu sentiasa dipertimbangkan dan diperhalusi. Sebagai contoh; Seorang bapa mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Satu hari, dia mahu menghadiahkan mereka pakaian. Untuk bersifat saksama, dibelikan kedua-dua mereka baju Melayu dan songkok. Adakah tindakan ini adil? Sudah pastilah tidak. Ini kerana si bapa menzalimi hak anak perempuan yang sewajarnya memakai baju kurung sebagai lambang kewanitaannya.

Islam amat menitik beratkan soal memilih pemimpin yang adil. Ini kerana soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah  tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T terhadap kita pada hari kiamat. Di dalam kitab ‘Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran’ , Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa,  “Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Umat Islam dinasihatkan agar menjaga keimanan dan menjauhkan diri daripada kezaliman. Allah menukilkan kisah Ashab Al-Kahfi yang gigih mempertahankan aqidah dan keimanan mereka dengan melarikan diri daripada kezaliman Maharaja Decius:“ Dan oleh sebab kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari sembahan-sembahan yang disembah mereka selain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di dalam gua nescaya Allah Tuhan kamu melimpah kurniaan rahmat Nya ke atas kamu dan menyediakan pertolongan terhadap  urusan kamu” (Surah Al-Kahfi ; Ayat 16)

 Allah SWT juga menegaskan bahawa urusan kepimpinan itu tidak akan diserahkan kepada orang yang zalim sekalipun mereka daripada keturunan yang mulia. Suatu ketika, Nabi Ibrahim berdoa memohon kepada Allah agar urusan kepimpinan diserahkan kepada zuriat baginda: “ Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam bagi umat manusia:”. Ibrahim berdoa: “(Dan saya mohon juga) daripada keturunanku”. Allah  berfirman:  “(Permohonanmu diterima tetapi) janji-Ku ini tidak mengenai orang yang zalim. ” (Surah Al Baqarah ; Ayat 124)

Sejarah Nabi Muhammad SAW yang berhijrah ke Madinah dari Mekah juga mempunyai kaitan yang amat signifikan.  Perjalanan baginda sejauh 320 km yang  penuh dengan ujian dan cubaan itu merupakan manifestasi kepada kepentingan membentuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama yang dikehendaki Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah ; Ayat 218)

Negara Madinah model negara berkeadilan

Negara Madinah model negara berkeadilan

Cuai memilih pemimpin boleh menyebabkan seseorang itu dimurkai Allah SWT, maka urusan memilih pemimpin bukanlah perkara main-main. Kerana itu kita perlu sentiasa berhati-hati. Tersalah pilih boleh menyebabkan kita terperangkap di dalam kesesatan. Sabda Rasulullah S.A.W: “ Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (HR. Al-Bukhari)   

Untuk membuatkan kita tidak memilih pemimpin yang salah, terlebih dahulu kita perlu memahami apakah ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin yang adil di sisi Islam:

1. Pemimpin yang adil wajib mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah. Dia seharusnya insaf bahawa mereka diciptakan oleh Allah S.W.T untuk menjadi hamba-Nya serta menggalas amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Prinsip ubudiyyah perlu diterapkan di semua peringkat pemerintahan. Firman Allah S.W.T:  “ Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Ku”.  (Surah  Az-Zariyat ; Ayat 56)

Kepimpinan yang adil wajib bersandarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras utama pentadbiran dan panduan untuk menggubal undang-undang negara. Dia juga hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip masuliyyah di dalam melaksanakan amanah. Ini termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”.                                                                                                                                           

Seseorang pemimpin itu perlulah menjadikan tuntutan Allah lebih diutamakan daripada tuntutan majoriti rakyat. Apatah lagi, manusia kebiasaannya hanya memandang aspek materialistik sebagai matlamat. Pemandangan mereka mudah dikaburkan dengan kemodenan teknologi, prasarana yang hebat dan seni bina yang gah.

Sejarah pernah merakamkan kisah Tamadun Babylon yang masyhur dengan   pencapaian yang hebat dalam bidang sains, matematik, seni bina dan astronomi. Ia juga dilengkapkan infrastruktur yang hebat seperti Menara Babil,  jambatan, kuil, bangunan pencakar langit  dan sistem saliran. Bagaimanapun, tamadun yang gemilang itu musnah binasa akibat sombong dan bongkak dengan perintah Allah SWT.

Babylon yang maju suatu ketika dahulu

Babylon yang maju suatu ketika dahulu

2.  Kekuatan fizikal, spiritual dan mental yang kuat juga amat penting. Ini kerana kekuatan fizikal dapat memastikan kepimpinannya sentiasa teguh dan tidak diganggu gugat oleh sesiapapun. Kekuatan spiritual juga penting untuk menjadikan pemimpin itu kental menghadapi segala fitnah dan cubaan yang melanda terutamanya dalam era teknologi dan maklumat hari ini.

Rakyat juga perlukan pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi agar  rakyat yakin bahawa mereka sentiasa dipandu dengan wawasan, misi dan visi yang jelas. Pemimpin yang hebat sentiasa pandai menggunakan segala peluang yang ada, bijak berdiplomasi dalam urusan antarabangsa, membuka lebih banyak ruang perdagangan,    perusahaan dan pertanian serta mentadbir hasil mahsul negara dengan efisien.

Ciri-ciri ini perlu ada pada setiap pemimpin seperti pujian Allah kepada Nabi Yusuf AS: “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil negara (Mesir), sesungguhnya aku sedia (berkuasa dan berupaya) menjaganya sebaik-baiknya lagi mengetahui (bijaksana) dalam mentadbirnya.  Dan demikianlah caranya Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kepada yang Kami kehendaki, dan kami tidak menghilangkan balasan baik bagi orang-orang yang berbuat kebaikan” (Surah Yusuf: Ayat55-56)

3. Seseorang pemimpin itu mestilah menjadikan kemaslahatan ummah sebagai  perkara utama yang perlu difikirkan di dalam setiap tindakan yang diambil.  Kemaslahatan ummah pula dapat dipelihara dengan menjadikan Maqasid Al’Syariah sebagai landasan utama pentadbiran.

Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Al-Mustashfa’,  terdapat lima perkara penting yang perlu dipelihara dalam Maqasid Al-Syariah  iaitu  Agama (aqidah), Nyawa, Akal, Nasab Keturunan dan Harta. Maqasid Al-Syariah ini menekankan agar kebajikan rakyat diutamakan dan menjauhkan kesusahan daripada menimpa mereka.

  Malangnya kebanyakan pemimpin hari ini lebih suka menyusukan kapitalis di hutan dan membiarkan rakyat mati kelaparan.

Di India, rakyat Plachimada terpaksa mengisytiharkan ‘perang air’ dengan Syarikat Coca-Cola kerana menyebabkan pencemaran serta ketandusan bekalan air.  Di Sukabumi, Indonesia, khidmat tentera digunakan untuk mengawal protes para pekerja Syarikat Nike yang menuntut gaji yang berpatutan.

Rakyat Plachimada menentang syarikat Coca-Cola

Rakyat Plachimada menentang syarikat Coca-Cola

Di Malaysia pula, Datuk Syed Ali Alattas, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, menyatakan bahawa 80 peratus dari tanah di Iskandar Malaysia dimiliki orang asing menyebabkan Melayu di Johor kian terpinggir.

Tegas beliau, “Pada tahun 1800, Melayu Johor adalah paling kaya di negara ini, tetapi kini yang paling miskin, kerana kedatangan orang asing yang membeli tanah di sini, kita tidak lagi mampu untuk menampung kos hidup, terutamanya di Johor Bahru.”

“Dalam resolusi Kongres Ekonomi Melayu Zon Selatan yang berlangsung pada 6 Januari lalu kedudukan orang Melayu di Johor jauh ketinggalan dari segi perbezaan ekonomi.

“Orang Melayu di Kelantan lebih kaya di Johor kerana setiap ringgitnya lebih bernilai, umpamanya mereka boleh beli rumah banglo RM200,000 sedangkan di Johor RM1.5 juta,” katanya lagi. Jadi, pemimpin perlu diingatkan, apabila bumi dipijak milik orang, menangis air mata darah pun tiada gunanya.

Ribuan rakyat Johor bersesak-sesak memohon bantuan BR1M menunjukkan ramai orang Melayu berada dalam paras kemiskinan

Ribuan rakyat Johor bersesak-sesak memohon bantuan BR1M menunjukkan ramai orang Melayu berada dalam paras kemiskinan

4.  Perbuatan pilih kasih perlu dijauhi oleh pemimpin yang adil. Para pemerintah dilarang untuk membeza-bezakan rakyatnya berdasarkan pangkat, darjat, keturunan, warna kulit, atau agama, bersesuaian dengan perintah Allah SWT:“Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al Ma’idah :Ayat 8)

Dunia hari ini menyaksikan kepincangan ekonomi yang maha dahsyat akibat pendekatan pilih kasih yang diamalkan kerajaan Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika Syarikat memastikan kepentingan golongan ultra-kaya dipelihara dengan menubuhkan Federal Reserve pada tahun 1913.

Federal Reserve memastikan agar bank-bank gergasi yang mengamalkan riba sentiasa dilindungi dengan menyediakan kecairan aset sekiranya krisis kewangan berlaku. Kuasa yang ada pada  Federal Reserve untuk mencetak wang juga menyebabkan golongan ini begitu berkuasa, terutamanya apabila standard ekonomi berasaskan emas dihapuskan oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1971.

Occupy Wall Street menentang minoriti ultra kaya yang mengawal dunia

Occupy Wall Street menentang minoriti ultra kaya yang mengawal dunia

Akibatnya, krisis kewangan yang teruk berlaku apabila hanya golongan kaya dibantu dan golongan marhaen dipinggirkan. Inflasi dan deflasi terus menerus menjadi wabak.  Abad ke 21 menjadi saksi keruntuhan sistem yang berat sebelah ini. Tahun 2007-2008 menyaksikan Great Recession berlaku hingga 2 juta orang kehilangan pekerjaan di Amerika Syarikat. Krisis itu juga menjadi kesan domino apabila merebak ke Eropah malahan di China juga dilaporkan sebanyak 6.7 juta orang telah kehilangan pekerjaan. Hingga kini, kesannya masih gagal dipulihkan.

5.  Pemimpin yang adil perlu bersifat jujur dan telus. Setiap janji yang diungkapkan perlulah ditunaikan. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh kawan dan lawan. Pemimpin yang berdusta menyebabkan masyarakat akan hilang kepercayaan kepadanya. Amaran Nabi S.A.W:

“Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya”.   (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Pemimpin yang menipu rakyatnya tidak layak untuk dihormati. Apatah lagi jika pemimpin itu mempergunakan segala kelebihan yang ada padanya untuk kekal berkuasa. Mengawal media massa agar sentiasa memaparkan kebaikannya dan menutup kelemahannya  juga adalah satu bentuk penipuan. Ia juga boleh  dianggap sebagai suatu proses membodohkan rakyat secara terancang.

Kejatuhan rejim-rejim yang rakus mengekalkan kuasa haruslah dijadikan iktibar. Nama-nama seperti Raja Louis XVI, Tsar Nikolay Alexandrovich Romanov, Raja Farouk I, Mohammad Reza Shah Pahlavi, Ferdinand Marcos, Jeneral Soeharto, Saddam Hussein, Zine El Abidine Ben Ali, Hosni Mubarak dan ramai lagi adalah contoh bahawa bangkai gajah tidak dapat disembunyikan dengan nyiru dan kemenangan mutlak akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.

Kejatuhan rejim yang rakus wajar dijadikan iktibar

Kejatuhan rejim yang rakus  dijadikan iktibar

6. Akhlak dan budi pekerti yang baik adalah permata insan. Pemimpin perlu menjadi tauladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. Seperti yang disebut dalam Surah Al Baqarah, ayat 44: “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa kan diri kamu sendiri. Padahal kamu semua membaca kitab Allah.Tidakkah kamu berakal?”

Secara logiknya, nasihat seorang pemimpin kepada rakyatnya untuk tidak boros   dan  berjimat cermat adalah lebih mudah diterima jika pemimpin itu terlebih dahulu mengamalkannya. Slogan “Kepimpinan melalui tauladan” ini perlu dijiwai oleh pemimpin, bukan sekadar meniti di tepian bibir. Rakyat akan menghayati nasihat pemimpin jika pemimpin itu terlebih dahulu menzahirkan uswatun hasanah.

Kesimpulannya, tugas membentuk kerajaan yang adil adalah tanggungjawab semua. Kerajaan yang adil akan membuka pintu kepada segala kebaikan dan ketaatan, menegakkan hak dan kebenaran, menghapuskan kebatilan dan kezaliman, memakmurkan semua lapisan masyarakat, menjanjikan sokongan rakyat yang berterusan, menyebabkan pemerintahan Islam dihormati disegenap pelusuk alam dan yang paling penting, menyebabkan pemimpin dan yang dipimpin mendapat redha Allah SWT. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa mengingati pesanan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Huzaifah R.A:

 “Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh”. (Riwayat Imam Ahmad)

Artikel ini antara pemenang Sayembara Penulisan Esei Berdasarkan Keadilan anjuran HarakahDaily.
Penulis Ibnu Ahmad berasal dari Kampung Sungai Petai, Kuala  Berang, Terengganu Darul Iman. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: